Saudara Pengarang,
BELUM PUN reda isu masalah
pengangkutan murid istimewa yang tinggal jauh daripada SK Matunggong, Kudat;
kini timbul pula isu keselamatan murid dengan peningkatan kes jenayah pecah rumah
sehingga menumpahkan darah!
Pada hari ini, Frederick
Maratim (tengah) dari Kg Rokam Darat, Parapat, dapat hadir ke sekolah dengan ditemani
ibunya. Murid ini antara yang saya beri kebenaran khas untuk hadir sekali dalam
seminggu kerana masalah kewangan dan pengangkutan.
Sebelum ini telah tersiar
keperitan Alexion Pinor, murid Thalassemia dari Kg Bonduk Parapat dan adik beradik
Harexson Raymond dari Kg Radtak Pinawantai.
Untuk makluman pembaca, adik
Frederick ini perlu berjalan kaki sejauh 2 kilometer melalui dua buah bukit jalan
berbatu kelikir untuk sampai ke jalan besar di Simpang Kg Kandawayon, Kudat.
Frederick juga mempunyai masalah
kesihatan yang serius kerana doktor menjelaskan Frederick tidak boleh terlalu
lama di bawah sinaran terik matahari kerana akan merosakkan otaknya; selain
masalah asma dan kekurangan G6PD.
Ironinya sudah jatuh ditimpa
tangga. Minggu lalu pada 11 Oktober 2012, murid ini dan ibunya hadir ke sekolah.
Apabila pulang ke rumah, didapati rumah mereka telah dipecah masuk oleh penceroboh.
Seluruh rumah berselerak dan
paling mengejutkan tragedi kematian haiwan peliharaan yang menjaga rumah iaitu
anjing. Ibarat pembunuhan kejam, anjing tersebut telah dipenggal kepala dan
ditetak bertubi-tubi menyebabkan keseluruhan ruang tamu dan bilik rumah
berlumuran darah.
Barang yang dicuri ialah
tabung syiling dan sebuah kamus Bahasa Inggeris. Ibu murid ini tidak melaporkan
kepada polis kerana menurut Ketua Kampung, tindakan hanya akan dibuat jika
perompak itu dapat ditangkap.
Mungkinkah sudah tiba
masanya, untuk menjamin keselamatan, hendaklah ditempatkan seorang askar atau RELA
berkawal di setiap kampung? Dari segi masalah pengangkutan, sekali lagi Asrama
Desa Mesra OKU mungkin wajar disegerakan di SK Matunggong atau penyediaan Bas
Sekolah Mini Istimewa diwujudkan segera.
Salam hormat,
MOHD HISYAMMIEDDY BIN ESA
Pengerusi Majlis Guru
Pendidikan Khas Kudat Merangkap Penyelaras Program Pendidikan Khas Integrasi SK
Matunggong Kudat dan Pengasas Badan NGO Suara Rakyat Tempatan (SURAT)
No comments:
Post a Comment