KUANTAN: Ketua Audit Negara
Tan Sri Ambrin Buang berkata pihaknya tiada apa-apa yang hendak disembunyikan
berhubung kelewatan pembentangan Laporan Audit Ketua Audit Negara 2011.
Beliau berkata kelewatan itu
adalah sesuatu yang biasa memandangkan Laporan Audit Ketua Audit Negara 2010
dibentangkan dua minggu selepas pembentangan Belanjawan 2012, pada tahun lepas.
Katanya, Menteri di Jabatan
Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz juga meminta pihaknya memberikan
sedikit masa bagi membolehkan ruang perbahasan yang lebih panjang diadakan
supaya pembentangan laporan audit tidak mencuri tumpuan Belanjawan 2013.
“Kita tidak selindungkan
apa-apa, tahun lepas pun kita hanya bentangkan laporan audit selepas dua minggu
pembentangan belanjawan, kali ini Nazri meminta Jabatan Audit Negara memberikan
sedikit masa untuk pihaknya,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Hari
Audit Se-Malaysia dan Persidangan Juruaudit Sektor Awam 2012 di sini, hari ini.
Ia disempurnakan Menteri
Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob. Baru-baru ini, Mohamed Nazri berkata
Laporan Audit Ketua Audit Negara 2011 akan dikeluarkan seminggu selepas
pembentangan Belanjawan 2013.
Mohamed Nazri berkata ia
membolehkan ruang perbahasan yang lebih panjang diadakan supaya pembentangan
laporan audit tidak mencuri tumpuan belanjawan selain memberi peluang kepada
anggota-anggota Dewan membincangkan dan memberikan lebih fokus tentang
kedua-dua perkara itu (pembentangan belanjawan dan laporan audit).
Dalam perkembangan lain,
Ambrin berkata mana-mana pihak yang terlibat dalam menyalurkan bantuan segera
kepada mangsa yang ditimpa bencana atau peristiwa luar jangka seperti banjir
perlu memahami dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan
Jabatan Audit Negara.
Menurutnya pihaknya sentiasa
fleksibel dan memahami bantuan segera perlu disalurkan kepada mereka yang
terlibat dengan sesuatu bencana atau peristiwa luar jangka.
“Kalau ada sesuatu peristiwa
di luar jangkaan berlaku, kita kena fleksibel tetapi orang atau pegawai yang
terlibat kena faham SOP di mana mesti ada pernyataan atau rekod apa yang
berlaku, jadi kita tahu dari mana duit itu datang dan pergi,” katanya.
Sebelum itu, dalam ucapan
perasmiannya, Adnan berkata pihaknya berkemungkinan tidak dapat mengikut
sepenuhnya peraturan yang ditetapkan Jabatan Audit Negara terutama jika berlaku
sesuatu bencana yang memerlukan bantuan segera disalurkan.
“Contohnya, dalam keadaan
bencana seperti banjir, kita tidak pasti sama ada dapat ikut semua peraturan
yang ditetapkan atau tidak dan saya harap Jabatan Audit Negara dapat melihat
perkara ini kerana apa yang penting bagi kita adalah bantuan segera kepada
mereka yang terlibat dengan bencana,” katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment