PAS Sabah membidas kenyataan
liar Presiden Persatuan Pemaju Perumahan Sabah (SHAREDA), Datuk Susan Wong,
yang anti-Islamik kerana tidak mengambil kira sensitiviti umat Islam apabila
mencadangkan supaya polisi yang diterima pakai selama ini yang memestikan sebuah surau dibina di atas taman-taman
perumahan yang baru, dimansuhkan.
PAS Sabah telah menerima
banyak rungutan dan bantahan dari pembeli rumah serta pemilik rumah sedia ada
di atas cadangan Datuk Susan Wong.
Dalam kenyataannya kepada
media, Hj. Hamzah Hj. Abdullah, Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah menegaskan
bahawa cadangan Datuk Susan Wong lahir dari sikap tamak yang hanya memikirkan
keuntungan semata-mata tanpa mempedulikan sensitiviti umat Islam.
"Surau adalah satu
tempat beribadah yang dituntut dalam Islam kerana disuraulah solat berjemaah lima
kali sehari semalam dapat didirikan oleh anggota masyarakat Islam di sesuatu
kawasan. Ia adalah tuntutan fardhu kifayah," kata Hamzah.
Surau juga kata Hamzah merupakan
tempat masyarakat melaksanakan sesuatu majlis seperti mengadakan kursus
memandikan jenazah dan ceramah-ceramah pada hari kebesaran Islam.
"Oleh yang demikian, katanya,
memansuhkan kawasan serba sederhana bagi didirikan surau di taman-taman
perumahan hanya menimbulkan suasana yang tidak menyumbang kepada hubungan
silaturrahim yang erat antara sesama anggota masyarakat di taman-taman
perumahan," tegas Hj. Hamzah.
PAS Sabah juga merasa kesal
di atas sikap membisu Pemuda UMNO Sabah dan juga Badan Perhubungan UMNO Sabah
yang seolah-olah bersetuju dengan dengan cadangan Datuk Susan Wong.
"PAS Sabah ingin
mencadangkan supaya satu mekanisme dapat diwujudkan pemaju-pemaju perumahan
tidak dikenakan premium di atas tanah-tanah yang terpaksa dikhaskan untuk
pembinaan surau," kata Hamzah.
Sebaliknya, tegas Hamzah,
kerajaan Negeri hendaklah menanggung kos premium tanah serta kos membina
sesebuah surau.
"Saya yakin kerajaan
Negeri bersedia menerima cadangan ini kerana selama ini kroni-kroni UMNO/BN
telah diberikan berpuluh ribu hektar tanah-tanah pertanian, kawasan-kawasan
balak serta tanah-tanah kuari," ujar Hamzah dengan nada sinis.
"Mustahil tidak dapat
meluluskan kawasan yang tidak sampai suku ekar pun untuk mendirikan Rumah
Tuhan?," sindir Hamzah yang meyakini hampir semua pemimpin UMNO Sabah beragama
Islam. (Media PAS)
No comments:
Post a Comment