Oleh : PEMERHATI POLITIK
LAWATAN Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Abdul Razak selaku Pengerusi BN melancarkan 'Gelombang Janji
Ditepati' Peringkat Negeri Sabah pada 14 Oktober 2012 di Kudat Sabah dan
seterusnya ke Istana Tun Mustapha dilihat oleh beberapa Pemerhati Politik
Negeri ini sebagai lawatan terdesak seorang Perdana Menteri yang mengakhiri
saat-saat penghujung pemerintahan BN di Malaysia.
Kerajaan BN nampaknya
terdesak di Negeri Sabah pada hari ini dengan mengadakan lawatan ke rumah
mantan Bapa Kemerdekaan Sabah itu yang juga Pengasas Parti keramat Perjuangan
rakyat Sabah iaitu USNO.
Para pemerhati politik
melihat tindakan itu dari berbagai sudut dan tidak kepada soal Pelancaran Janji
ditepati. Sejarah perjuangan panjang Tun Mustapha memerdekakan negeri Sabah
daripada penjajah British 1963 masih segar dalam ingatan rakyat Sabah.
Walaupun beliau telah pergi
untuk selamanya sejak 17 tahun yang lalu (2 Februari 1995) namun karisma dan roh
perjuangan Tun Mustapha terus hidup di kalangan pemuda pemudi Sabah, Generasi
ke 2 dan ke 3 penduduk negeri ini.
Beliau yang lahir sebagai
Pemimpin Islam yang ternama dan terbilang daripada keturunan Diraja Kesultanan Sulu
yang pernah mengadaikan negeri ini kepada Alfred Dent sejak 1881; merupakan
seorang pemimpin yang sangat dihormati disanjungi dan disayangi oleh rakyat negeri
ini; di samping mempunyai karisma yang amat tinggi dalam hubungan antarabangsa,
khasnya Pertubuhan Negara Negara Islam Sedunia.
Beliau dilahirkan pada 31
Julai 1918 di Kampung Tampakan, Kudat, Sabah. Beliau adalah anak ke-3 Datu
Harun Datu Nasaruddin dan Norani Abdul Rahim. Bapanya bebangsa Suluk dan ibunya
adalah Bajau Bannaran.
Beliau mempunyai 8
adik-beradik iaitu Dayang Bidari, Dayang Siti Sarah, Datu Mustapha, Dayang
Karum, Datu Aliudin, Datu Muhammadun, Dayang Tahiyah & Dayang Khadijah.
(sumber lisan dari adik bongsunya, Dayang Khadijah).
Tun mempunyai 5 orang isteri
dan antaranya ialah Toh Puan Hajah Rahmah Haji Zulkarnain dan dikurniakan
beberapa cahaya mata. Isteri yang pertama meninggal (tiada anak). Allahyarham
Datu Abdul Hamid, Dayang Maimunah (dari isteri ke-2 sumber lisan dari anaknya,
Dayang Maimunah); Datu Badaruddin, Datu Kamaruddin (dari isterinya ke-5, Toh
Puan Rahmah kacukan Bajau Kagayan-Suluk); Dayang Zulfah (dari isteri berbangsa
Cina); Dayang Zauyah, Dayang Rosnah, Dayang Aminah, Dayang Marina dan Datu
Harun (dari isterinya orang Inggeris).
Perjuangan beliau terhadap
Islam telah berjaya mengislamkan rakyat Negeri Sabah golongan Pagan (Tiada
Agama) hingga 80,000 orang (Rekod yang tidak pernah dicapai oleh pemimpin Islam
di Malaysia) untuk menjadi Islam sejati; khasnya di kawasan pedalaman Sabah.
Walaupun beliau difitnah
oleh beberapa pihak golongan fanatik dan dituduh menahan beberapa paderi dari
luar negeri tanpa bicara, namun beliau juga adalah seorang Mujahid Islam yang
sangat berjaya di zamannya dan seterusnya meninggalkan kepada rakyat Sabah satu
Pertubuhan Islam yang amat berpengaruh di negeri ini USIA (United Sabah Islamic
Association).
Tun Mustapha yang pernah
dijatuhkan oleh bapa Najib sendiri pada tahun 1976 dengan meluluskan Parti
Berjaya Pimpinan Haris Salleh dan bersubahat Donald Stephen untuk menjatuhkan beliau, melalui rancangan
licik dari Kuala Lumpur adalah sebahagian daripada sejarah perjuangan panjang
rakyat Sabah, khasnya USNO.
Sebenarnya tiada keperluan
untuk melawat rumah mantan bapa Malaysia dan bapa Kemerdekaan Sabah itu jika
dilihat dari sudut sejarah. Najib tidak perlu melawat rumah itu jika bertujuan
mengenang jasa beliau, sebab bapa najib sendirilah yang menjatuhkan Tun
Mustapha dan kerajaan USNO pada 1976, namun keikhlasan Tun Mustapha jugalah
yang memperlihatkan setelah bapa Najib menghembuskan nafas terakhirnya di
London, Tun Mustapha yang membawa jenazah Tun Abdul Razak balik ke Malaysia.
Tiada keperluan melawat
Istana Tun Mustapha pada hari ini, kerana kerajaan UMNO dan BN Sabah tidak
pernah memberikan penghormatan kepada Tun Mustapha di saat pemergianya.
Bahkan orang yang beliau
percayai sendiri (Tun Sakaran) telah mengkhianati beliau walaupun pada masa itu
menjadi TYT Negeri Sabah dan boleh memberikan penghormatan Negara kepada Tun
Mustapha.
Namun ini semua tidak
terjadi, Tun yang sepatutnya dikembumikan di Makam Pahlawan di Masjid Negeri
Sabah seperti mana TYT sebelumnya; sebaliknya
di tanah perkuburan umum sedangkan beliau adalah TYT Pertama 'Negara' Sabah.
Tiada keperluan untuk
melawat rumah itu jika hendak menunjukkan kepada rakyat Sabah bahawa Tun
Mustapha pemimpin yang berjasa kepada rakyat Negeri ini dan perlu dicontohi
oleh rakyat Negeri ini kerana warisan Perjuangannya diteruskan oleh anak-anaknya
dan generasi ke 2 dan ke 3 tidak langsung dihargai.
Bahkan perjuangan untuk
menghidupkan semula USNO tidak ada dalam agenda UMNO dan BN semata-mata untuk memperkukuhkan
cengkaman mereka di Sabah; malah USNO terus dikekang supaya tidak boleh
menyertai Pilihanraya Sabah.
Rakyat Sabah faham siapa
Amir Kahar dan siapa Aminah dalam susurgalur perjuangan Tun Mustapha terhadap
Negeri ini. Tidak mungkin mereka boleh menghentikan semangat perjuangan anak-anak
Tun Mustapha yang bakal menyertai pilihanraya ke 13 nanti. Selepas ketiadaan
Tun Mustapha, bagi rakyat Sabah, Datu Badaruddin adalah orang yang layak
meneruskan perjuangan ayahnya.
Badaruddin pernah
mengistiharkan untuk menyertai PRU13 menentang Barisan Nasional di negeri ini
bersama rakan komponennya dalam UBA iaitu Parti STAR pimpinan Datuk Dr. Jeffry
Kititngan; tidak kelihatan dalam majlis lawatan ke Istana Tun Mustapha. Walhal,
hakikatnya beliau sepatutnya berada di sana kerana rumah itu dibangun oleh Tun
Mustapha bersama Ibunya Toh Puan Rahmah.
Badaruddin yang
mengisthiharkan 'Deklarasi Semporna 2012' pada 19 Mac 2012 di Semporna
bertujuan untuk menjalinkan kerjasama di antara USNO dan KDMR menghadapi
Piliharaya ke 13; akan menumpukan perhatian di kawasan bumiputera Islam;
khasnya Bajausuluk di Negeri Sabah.
Manakala STAR akan memfokuskan
perjuangannya di kawasan KadazanDusun, Strategi yang dilihat bakal menumbangkan
kerajaan BN dan UMNO di Sabah pada PRU13.
Deklarasi Semporna 2012
adalah strategi kedua-dua Kumpulan seperti mana mereka menumbangkan kerajaan BN
di Negeri Sabah pada 1985 dari Kerajaan Parti Berjaya Pimpinan Haris Salleh dan
Mempertahankan kerajaan Bumiputera Sabah PBS pada 1994 Pimpinan abang Dr.Jeffry
Kittingan; sebelum PBS jatuh kepada UMNO
hasil dari pengkhianatan Lajim dan Rubin Balang.
Lajim sekali lagi keluar
dari BN dan menyertai Pakatan pada julai 2012 lalu dengan menubuhkan APS
bersama mantan Timbalan Presiden Pasok Wilfred Bumburing yang menubuhkan PPS.
Dengan perkembangan terbaru ini menunjukan bahawa Kerajaan BN Sabah bakal
tumbang PRU ke 13 tidak lama lagi.
Bajausuluk (USNO), KDMR
(STAR), BruneiBisaya (PPS), DusunRungus
(APS) yang bergerak di segenap pelusuk Negeri Sabah hari ini sudah cukup
membayangkan kepada kita bahawa sebenarnya Najib terus terdesak untuk balik ke
Sabah bagi kali 5 sejak tahun 2012 ini dan menjadikan orang yang pernah
menerima UMNO masuk ke Sabah itu sebagai simbol kekuatan mereka mempertahankan
kuasa di negeri Sabah selamanya.
Namun nasi sudah menjadi
bubur kerana perbuatan dan dosa-dosa UMNO kepada Rakyat Sabah, khasnya kepada
Wira Sabah Tun Datu Mustapha adalah amat sukar untuk dimaafkan; apatah lagi
untuk memberikan sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional.
UMNO yang masuk ke Negeri
Sabah setelah menerima restu Parti USNO melalui Formula 14 (USNO) 6 (BERJAYA)
nampaknya semakin terdesak dengan perkembangan terbaru iaitu tindakan mantan
pemimpin dari Parti Berjaya yang menyertai PKR; antaranya Datuk Yahya Lampong
bersama seorang tokoh Korporat dari Sabah Datuk Ibrahim Menudin yang dilihat
salah seorang penasihat ekonomi kumpulan Parti Berjaya.
Kemasukan beramai-ramai
pemimpin dari Kumpulan Parti Berjaya dan PBS yang menyertai Pakatan, nampaknya
sukar untuk dibendung lagi. Ketika Najib melawat Kudat baru-baru ini, beberapa
pemimpin dari kumpulan Parti Berjaya, PBS dan UMNO pada masa yang sama
dirasmikan kemasukan serta penyertaan mereka ke dalam Pakatan di Tawau dan
Lahad Datu Sabah.
Antara Pemimpin BN-UMNO dari
Tawau dan Lahad Datu yang menyertai PKR ialah Bekas Adun Lahad Datu yang juga
bekas Ketua PBS Bahagian Silam, merangkap Mantan Pembantu Menteri Luar Bandar
Sabah, Mohamadin Ketapi. Turut keluar ialah Mantan Pengerusi Tetap Umno
Bahagian Silam, Datu Halun Datu Abdul Karim; Mantan Ketua Daerah Lahad Datu
yang juga Ketua Umno Cawangan Sri Dewi Lahad Datu, Haji Onga Langadai; dan
bekas Ketua PBS Tungku, Bolongan Panasi.
Sementara Masyarakat Cina
Pimpinan Yong Teck Lee dari SAPP lebih awal telah keluar dari Barisan Nasional
dan mengisytiharkan diri untuk menentang BN di Negeri Sabah.
Manakala LDP yang pernah
dikecewakan oleh UMNO dalam kes dan Krisis Patung Ma Tzu di Kudat Sabah akan terus berdendam
dan tidak menyokong BN pada PRU13, bahkan telah mengisytiharkan bahawa LDP
tidak menyokong Pengerusi BN Negeri Datuk Musa Aman sebagai Ketua Menteri
Sabah.
Jalan akhir yang dihadapi
oleh UMNO dan BN di Negeri Sabah ialah balik pangkal jalan iaitu mengenang dan
rujuk semula kepada Tun Mustapha untuk mempertahankan legasi mereka di Negeri
Sabah.
Namun semua ini tidak
mungkin akan berlaku kerana UMNO terus meminggirkan USNO dan Perjuang USNO
melalui sekatan menghidupkan semula parti itu yang bakal memberikan malapetaka
yang amat besar dalam sejarah Politik Malaysia.
Barisan Pembangkang Sabah
Gabungan Mantap Pru13
USNO dan UMNO akan bertarung
di Kawasan merah. UMNO hanya bergantung peluang akhirnya iaitu mantan USNO
untuk meneruskan dan mengekalkan kuasa mereka
di Sabah, tetapi siapakah orang USNO itu?
UMNO dan Najib terdesak ke rumah
Tun Mustapha namun sukar menerima kenyataan kebangkitan USNO dalam bentuk
semangat perjuangan yang terus mereka kekang ini; bakal memecahkan undi BN di kawasan
KDMR dan China kerana mantan ahli USNO yang disekat itu akan memberikan undi
mereka kepada calon pembangkang.
Manakala di kawasan
Bumiputera Islam pula, UMNO akan menghadapi tentangan dari calon USNO dalam UBA
pimpinan Datu Badaruddin Tun Mustapha yang dilihat mendapat sokongan di pantai
Timur Sabah dan dari Calon APS dari Pakatan Rakyat pimpinan Datuk Lajim Okin
yang memberikan tumpuan di Pantai Barat Sabah.
Kerjasama mantap pasukan UBA
Sabah dan Pakatan Rakyat sudah meresap keseluruhan negeri Sabah dari Pantai
Timur, Utara, Pantai Barat dan Pedalaman Sabah yang diterajui oleh Badaruddin,
Dr. Jeffry, Yong Teck Lee, Lajim Okin, Wilfred Bumburing dan kumpulan pemimpin
mantan pemimpin PBS dan Parti Berjaya yang keluar beramai-ramai dari BN Sabah.
Trend ini akan menjadi lebih
hebat sebaik sahaja Parlimen dan DUN Sabah dibubarkan pada PRU13 kerana
dipercayai beberapa komponen Parti BN Sabah bakal menyertai pihak Pembangkang.
Mohon Pembetulan,...Al-Marhum Tun Datu Mustapha Datu Harun di lahirkan di Kg.Limau-Limauan Kudat...tQ.
ReplyDelete