Oleh : NIGEL AW
APA yang bermula sebagai
satu pertanyaan mudah berkaitan Laporan Ketua Audit Negara 2011 akhirnya
bertukar menjadi huru-hara apabila para ahli Parlimen menjadi emosional semasa jawapan Timbalan Menteri Kewangan,
Datuk Awang Adek Hussin di peringkat jawatankuasa dalam perbahasan belanjawan
Kementerian Kewangan.
Fong Poh Kuan (DAP-Batu
Gajah) berkali-kali mendesak mendapatkan jawapan dari Awang Adek apakah
tindakan yang akan diambil terhadap pegawai kastam yang membelibelah sebanyak
RM1.82 juta tanpa kebenaran, tetapi diejek oleh penyokong BN kerana ia
memanjangkan lagi sesi Parlimen yang sudahpun panjang.
Awang Adek berkata pegawai
tersebut telah meletak jawatan dan audit telah mengenal pasti masalah tersebut,
manakala (jabatan) kastam telah membuat laporan polis.
Tegasnya lagi, tindakan akan
diambil kerana tiada siapa pun yang mahu melindungi orang yang bersalah.
Fong pula berkata beliau
tidak berpuas hati dengan jawapan Awang Adek, sambil meminta penyokong BN
supaya senyap.
Katanya beliau mahu tahu
apakah tindakan yang akan diambil, dan bukan setakat berkata 'akan, akan,
akan', tetapi mahu jawapan yang konkrit.
Fong juga meminta supaya
penyokong (BN) menghormatinya kerana beliau sedang menjalankan tugasnya, sambil
menegaskan, jika mereka tidak berminat, mereka boleh balik.
Sementara itu, Awang Adek
berkata kesalahan telah dikenal pasti dan tindakan akan diambil, sambil
bertanya kepada Fong apa lagi yang dia mahu dan meminta ahli Parlimen DAP itu
mencadangkan kepadanya, apakah jenis tindakan yang dia mahu?
Fong: Apa tindakan? Hanya
laporan polis?
Awang Adek: Satu laporan
polis telah dibuat, apa ini ... Aiyo ... Okay, saya mengucapkan terima kasih
kepada semua, Wassalamualaikum.
Awang Adek yang kelihatan
berang duduk di kerusinya dan enggan menjawab sebarang soalan lagi, termasuk
soalan yang telah dikemuka oleh ahli parlimen lain sebelum itu, manakala Fong
pula terus mendesaknya.
Ini menyebabkan beberapa
ahli Parlimen Pakatan Rakyat membantah tindakan Awang Adek itu dan Dewan
menjadi riuh-rendah: "Tak boleh! Tak boleh! kami telah menunggu sepanjang
hari untuk mendapatkan jawapan!".
Timbalan speaker Datuk
Ronald Kiandee kemudian campurtangan, dengan menyatakan bahawa Awang Adek akan
memberikan jawapan bertulis dan berkata sesi tamat dan Awang Adek telahpun
menjawab selama satu jam 20 minit.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen
Pakatan termasuk Azan Ismail (PKR-Indera Mahkota), R Sivarasa (PKR-Subang) dan
Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) tidak puas hati.
Chong Eng berkata, mana
boleh Awang Adek menjadi emosional dan enggan menjawab soalan.
Azan pula mencelah, dengan
berkata mereka sering dijanjikan jawapan bertulis sebelum ini, tetapi tetapi
tidak pernah menerimanya.
Pada ketika ini, Ronald
memberi jaminan bahawa jawapan bertulis akan diberikan "secepat
mungkin" dan merayu kepada ahli Parlimen berkenaan supaya tidak bertengkar
tetapi usahanya itu tidak berhasil.
Timbalan speaker itu akhirnya
putus asa cuba untuk mengawal ahli Parlimen dan terus meminta undian dengan
suara untuk meluluskan bajet Kementerian Kewangan dan kemudiannya menangguh
sidang semalam dalam keadaan Dewan menjadi riuh-rendah dengan jeritan bantahan.
Ketika ditemui di luar Dewan
kemudiannya, Awang Adek menjelaskan bahawa tindakan selanjutnya terhadap
pegawai kastam itu hanya akan diputuskan selepas siasatan polis selesai.
"Satu laporan polis
telah dibuat, apa lagi yang (MP) Batu
Gajah mahu? Adakah dia mahu bunuhnya?" katanya.
Ditanya mengenai dakwaan
ahli Parlimen tidak menerima jawapan bertulis seperti yang dijanjikan oleh
kementerian lain, Awang Adek berkata beliau adalah seorang yang mengotai
janjinya.
'Saya kurang sihat'
Pada masa ini, Chong Eng
yang kebetulan lalu di situ, terus melepaskan rasa kecewaannya tetapi akhirnya
berbual dengan elok dengan imbalan menteri itu.
Chong Eng: Aiya, apa ini!
Awang: Jangan macam itulah
(MP) Bukit Mertajam, saya demam hari ini, anda tak tahu.
Chong Eng: Mengapa tak
cakap? (Beralih kepada media) Beliau sangat emosional hari ini, dia tidak boleh
terima cabaran
Awang: Saya demam...
Kedua-duanya kemudian
berdamai dan Awang Adek memberi jaminan beliau akan memberikan jawapan bertulis
kepada Chong Eng hari ini. (MKINI)
No comments:
Post a Comment