KERAJAAN Persekutuan akan
menyediakan peruntukan RM2.98 bilion bagi melaksanakan pelbagai projek
pembangunan di Sabah, tahun depan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata
peruntukan itu termasuk bagi melaksanakan projek meningkatkan bekalan elektrik
sejumlah RM400 juta, projek bekalan air bersih RM150 juta dan RM31.3 juta bagi
pembinaan jalan perhubungan desa.
Najib berkata projek
Agropolitan Kota Belud-Pitas juga akan dibangunkan dengan peruntukan RM66 juta
selain projek perumahan rakyat di Putatan dan Sandakan sebanyak RM65 juta.
"Selain itu, antara
projek lain ialah pembinaan Loji Air di Semporna (RM30 juta), Kolej Komuniti
Tambunan dan Institut Pendidikan Guru Kampus Tuaran (RM32 juta) dan pelbagai
projek kesihatan," katanya di hadapan lebih 50,000 rakyat yang datang dari
pelbagai kawasan berhampiran Kudat seperti Pitas, Matunggong, Kota Belud,
Tandek dan Pulau Bangi, ketika pelancaran program Jelajah Janji Ditepati di
Kompleks Sukan Kudat di Kudat, hari ini.
Beliau berkata kerajaan juga
meluluskan peruntukan RM3.06 juta untuk pembinaan Rumah Kedai di Karakit, Pulau
Banggi, projek perumahan rakyat di Jalan Apa, Kudat (RM3.5 juta) dan menambah
baik kemudahan di Hospital Kudat.
Najib juga berkata kerajaan
akan mengagihkan Bantuan Rakyat 1Malaysia kepada seramai 408,927 isi rumah bagi
seluruh Sabah termasuk 20,399 di Kudat, tidak termasuk golongan bujang berusia
21 tahun ke atas yang berpendapatan kurang RM2,000.
"..tidak kira pilihan
raya tahun ini atau tahun depan, janji ini tetap akan ditepati termasuk Klinik
1Malaysia di Kudat dan pembinaan Kudat Maju Shopping Centre," katanya
sambil turut mencadangkan pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
dikekalkan di Kudat.
Katanya, semua projek
berkenaan dilaksanakan sebagai usaha berterusan bagi memakmur dan memajukan
negeri di Bawah Bayu ini.
Sejurus pelancaran program
itu, Perdana Menteri turut diraikan dalam satu jamuan makan tengah hari di
kediaman Bapa Kemerdekaan dan Bapa Pembangunan Sabah, Allahyarham Tun Datu
Mustapha Datu Harun yang juga dinamakan 'Istana Tun Mustapha'.
Turut hadir isterinya Datin
Seri Rosmah Mansor dan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan anak Allahyarham,
Datuk Amir Kahar yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Banggi. (Bernama)
No comments:
Post a Comment