Saudara Pengarang,
SETELAH sekian lama tidak
menjejakkan kaki ke pekan Tuaran, akhirnya pada hujung minggu lalu, kawan sejak
di bangku sekolah telah menjemput kami sekeluarga menghadiri majlis perkahwinan
anaknya.
Sememangnya amat menakjubkan
dan dalam masa yang sama menyedihkan juga setelah hampir 25 tahun meninggalkan
daerah ini. Kali terakhir semasa bertugas di sini sekitar 90-an, pekan Tuaran jauh telah
berubah wajah daripada seorang jelitawan menjadi nenek tua yang berkerepot
seribu.
Bila kereta kami mula
memasuki pekan ini, kami sangat terkejut dengan jalan pekan yang semakin sempit
dan banyak bulatan pula; tiada tanda arah sehingga sangat menyulitkan orang
luar yang pertama kali datang.
Kami juga mengambil masa agak
lama berpusing-pusing di sekitar pekan ini dan melihat sekitarnya. Kami agak
terkejut dengan keadaan sekitar pekan ini kerana sampah bertaburan. Hampir
setiap inci sudut pekan ini dipenuhi penjaja, sama ada haram atau berlesen.
Setiap sudut barisan kedai,
diubah suai untuk menjadi kedai kopi dan terdapat satu Medan selera makan, di mana
kami singgah untuk minum tetapi oleh kerana terlalu kotor dan berbau busuk
dengan bangkai ikan kerana terletak berdekatan
dengan pasar ikan, maka kami membatalkan hasrat kami untuk minum.
Persoalannya, kenapakah tiada
satu sistem perancangan bandar selari dengan kepesatan bandar seperti DBKK dan
Majlis Daerah Papar, yang kehijauan oleh landskap pepohon nan rendang jika kita
bandingkan dengan pekan Tuaran.
Tidak dinafikan MDT ada juga
menanam beberapa batang pokok di pekan tetapi seperti hutan belukar yang
terbiar atau baru diserang gajah liar kerana kebersihan langsung tidak terjaga.
Sudah pastinya pengunjung
pekan ini akan kecewa kerana ADUN Sulaman ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan
Perumahan iaitu Datuk Hajiji Haji Noor; mustahil tidak mampu memastikan Tuaran menjadi salah satu bandar
contoh dari segi landskap dan kebersihan.
Semoga Tuaran akan berubah
menjadi lebih baik dalam masa sepuluh tahun akan datang, sekalipun mungkin
ketika itu saya sudah uzur; namun anak cucu saya akan dapat menatapnya bagi
pihak saya.
Salam Hormat,
MOHD DANIAL ADULLAH
No comments:
Post a Comment