TAWAU : Polis Sabah
sudah bersedia dari segi keperluan logistik dan anggota bagi melaksanakan Akta
Identifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) 2009 (Akta DNA 2009) apabila ia mula
dikuatkuasa September ini, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.
Beliau berkata bagi
melaksanakan akta itu, pihaknya juga telah mewujudkan Pifos di semua 20 Ibu
Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini sebagai pusat sehenti, melalui
peruntukan kerajaan persekutuan berjumlah RM635,000.
“Di bawah Akta DNA
2009 ini, ia memberi satu ruang kepada polis untuk mendapatkan sampel DNA dan
kami akan gunakan sampel DNA ini untuk meningkatkan kadar pertuduhan dan kadar
penyelesaian kes,” katanya.
Hamza berkata
demikian kepada pemberita selepas merasmikan Roadshaw Penguatkuasaan Akta DNA
2009 dan Pelancaran Pusat Identifikasi Forensik Setempat (Pifos) di sini hari
ini. Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Forensik/Databank)
Datuk Abdul Malek Harun.
Beliau berkata
melalui sampel DNA, polis akan mudah mengenal pasti suspek jenayah serta segera
menahannya seterusnya menghadapkannya ke mahkamah.
“Kalau dahulu,
(ketika menjalankan siasatan jenayah di lokasi kejadian) kami guna cap jari
tapi kadang-kadang cap jari ini tak cukup sifat hingga menyukarkan proses
membuat perbandingan. Tapi dengan DNA ini macam-macam (sampel boleh diperoleh),
daripada peluh, darah, rambut dan air liur.
“Tempatnya pula tidak
konklusif, kalau dia pegang botol pun dah ada DNA, pegang dinding pun ada DNA,
mana saja (suspek) sentuh ada DNA malah pada baju sekalipun,” katanya.
Malaysia merupakan
negara ke-45 memperkenalkan akta berkenaan daripada 161 negara di dunia yang
mempunyai akta itu. (Bernama)
No comments:
Post a Comment