TARGET.....Ahli Parlimen Silam, Dr Haji Salleh Kalbi (empat dari kanan) dipercayai salah seorang yang tidak lepas tapisan SPRM.
Oleh : MD IZWAN
KUALA LUMPUR : Langkah Umno
menghantar senarai nama calon kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) bukan kerana tekanan persepsi yang dihadapi oleh parti tersebut, kata
Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebaliknya
menegaskan ia adalah demi memastikan parti tersebut telus.
Menurut Tengku Adnan lagi,
langkah yang diambil oleh Umno itu bukan sesuatu yang baru malahan menegaskan
setiap pilihan raya umum saringan akan dilakukan keatas semua senarai
calon dikemukakan setiap negeri.
“Saringan ini bukan kerana
desakan atau tekanan persepsi keatas Umno. Ia tiada kaitan langsung. Umno sudah
lakukan saringan ini sejak dahulu lagi, setiap pilihan raya kami akan buat
saringan ke atas semua calon,” kata pemimpin Umno veteran tersebut.
Apabila ditanya sama ada
langkah tersebut bertujuan untuk menangkis skandal-skandal yang dihadapi Umno
sehinggakan menjejaskan imej parti utama dalam komponen Barisan Nasional
tersebut, Tengku Adnan menjawab: “Mana ada skandal, tiada langsung kena mengena
dengan skandal-skandal yang dihadapi oleh calon Umno.”
Menjelang pilihan raya, Umno
dan BN berhadapan dengan beberapa skandal besar didedahkan oleh lawan mereka
Pakatan Rakyat sehingga menjejaskan imej mereka sebagai sebuah parti yang bergelumang
dengan rasuah dan salahguna kuasa.
Antaranya skandal Pusat
Fidlot Kebangsaan (NFC), derma politik RM40 juta melibatkan Ketua Menteri Sabah
Datuk Musa Aman, skandal tanah di Bukit Raja melibatkan Ketua Wanita Umno
Selangor Senator Datuk Raja Ropiaah Abdullah dan banyak lagi.
Bagaimanapun, Tengku Adnan
mengecam pembangkang yang lantang mengkritik Umno tetapi tidak mengikuti
langkah yang diambil dengan menghantar senarai calon ke SPRM.
“Pembangkang yang tidak
hantar untuk saringan kepada SPRM, mengapa mereka tidak buat?” tambah beliau
lagi.
Pada November tahun lalu,
Tengku Adnan mendedahkan persepsi merupakan cabaran utama dalam mengukuhkan
imej parti itu di persada politik tanah air.
Beliau berkata selepas
pilihan raya 2004, Umno bukan sahaja berhadapan dengan tohmahan pembangkang
yang melabelkannya sebagai parti kronisme, elitis dan korup.
Malah Umno terpaksa
berhadapan dengan bekas anggota parti yang kecewa apabila gagal meraih
kedudukan politik semasa bersama Umno hingga menjadi manusia 'angkuh hati' dan sanggup menyebarkan
persepsi buruk mengenai parti.
Sebelum ini, Pengerusi Badan
Perhubungan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu Datuk Seri Ahmad Said
juga bertindak membidas pembangkang dan menyifatkan mereka sebagai takut dengan
bayang-bayang sendiri apabila tidak
bersedia menyerahkan senarai nama calon kepada SPRM untuk saringan.
Menjelang PRU yang akan
diadakan tahun ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merayu agar pengundi
memberikan mandat baru kepadanya untuk meneruskan dasar reformasi yang boleh
merangsang Malaysia ke hadapan dan lebih baik walaupun mengakui kelesuan parti
itu dan gabungan pemerintah BN itu ke arah perubahan.
Najib berkata mandat besar
diperlukannya jika Malaysia mahu meningkat dalam ekonomi global untuk menjadi
sebuah negara berpendapatan tinggi.
Di samping itu, Najib juga
mengakui bahawa BN dan parti utama, Umno kurang popular sejak tahun
kebelakangan ini disebabkan kelemahan tetapi menggesa pengundi memberinya
peluang untuk membuat perubahan yang diperlukan.
Hampir 13 juta pengundi
layak untuk membuang undi mereka jika pilihan raya umum dipanggil melibatkan
semua 222 kerusi persekutuan dan 505 kerusi di 12 negeri.
No comments:
Post a Comment