LAHAD DATU : Pesuruhjaya
Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata anggota keluarga Jamalul Kiram antara 104
orang yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012
(SOSMA).
"Mereka yang ditahan
berada di sini dipercayai anggota keluarga (Jamalul) Kiram yang menggunakan
nama lain...di sini mereka guna nama lain, di Filipina mereka guna nama lain.
Ini kita sedang siasat," katanya dalam sidang media bersama Panglima Medan
Tentera Darat Lt Jen Datuk Seri Zulkiple Kassim di Felda Sahabat 16 di sini,
hari ini.
Beliau berkata operasi
membanteras pengganas tidak hanya tertumpu kepada keluarga Jamalul Kiram, yang
didakwa dalang insiden pencerobohan di Sabah sejak 12 Feb lepas, kerana polis
turut menjejaki kaum keluarga anggota militan lain yang dipercayai terlibat
insiden pencerobohan itu.
"Kita juga turut
menyiasat orang lain yang mempunyai kaitan dengan pengganas di bawah
SOSMA," katanya tanpa memberitahu bila mereka akan didakwa di mahkamah.
Mengenai kematian seorang
tahanan di bawah SOSMA di Semporna semalam, beliau berkata individu itu
meninggal dunia di hospital akibat sakit dan bukannya membunuh diri seperti
yang didakwa sesetengah pihak.
Sehingga kini seramai 104
orang telah ditahan di bawah SOSMA dan 232 lagi ditahan atas pelbagai kesalahan
lain. Dalam pada itu, Hamza berkata keadaan di seluruh Sabah adalah terkawal
termasuk di Semporna dan Lahad Datu, kecuali di kawasan operasi di gugusan
Tanjung Labian, yang kini dalam proses pembersihan. (Bernama)
No comments:
Post a Comment