LAHAD DATU : Seorang lagi
pengganas Sulu dari selatan Filipina ditembak mati oleh pasukan keselamatan
dalam Operasi Daulat di Kampung Tanjung Batu di sini, hari ini, menjadikan
jumlah keseluruhan musuh yang terbunuh kepada 62 orang.
Panglima Medan Tentera Darat
Lt Jen Datuk Seri Zulkiple Kassim berkata dua pertempuran berlaku hari ini
iaitu pada 9.55 pagi dan 10.15 pagi apabila pasukan keselamatan bertembung
sekumpulan musuh di kawasan itu.
"Pada 10.15 pagi kita
sekali lagi bertembung dengan musuh dan salah seorang daripada mereka berjaya
dibunuh manakala tiga yang lain melarikan diri," katanya dalam sidang
media bersama Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib di markas operasi Felda
Sahabat 16, pada kira-kira 11 pagi, di sini.
Zulkiple berkata tiga lagi
musuh itu dipercayai masih berada di kawasan Tanjung Batu dan pasukan
keselamatan sedang giat menjejaki mereka. "Mayat musuh yang dibunuh itu
hanya akan dikeluarkan apabila keadaan benar-benar selamat," katanya.
Beliau berkata operasi
pembersihan masih giat dijalankan di Kampung Tanduo dan Tanjung Labian, sebelum
penduduk dibenarkan untuk kembali ke kampung masing-masing dalam tempoh
terdekat.
Pasukan keselamatan juga
sedang giat memeriksa dan menggeledah rumah-rumah di kawasan operasi bagi
memastikan tiada musuh berlindung di kediaman penduduk, kata Zulkiple.
Dalam pada itu Hamza
berkata, musuh kini dipercayai bergerak dalam kumpulan kecil di sekitar Kampung
Tanjung Batu. Beliau berkata orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada
pasukan keselamatan bagi memudahkan usaha menjejaki saki-baki kumpulan militan
tersebut dan tidak memasuki kawasan zon merah demi keselamatan. (Bernama)
No comments:
Post a Comment