NORAINI…..Kecam ibubapa yang bersekongkol dengan anak gadis mereka buang bayi.
Oleh : SHAIMON S JUMADI
KETUA Biro Hal Ehwal Wanita PEMADAM, Bahagian Sandakan Puan Noraini Sulong berkata, pihaknya menyokong cadangan Kabinet Malaysia untuk mengenakan hukuman gantung sampai mati bagi kes pembuangan bayi yang akan disiasat sebagai kes bunuh atau percubaan membunuh bagi memastikan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu menerima hukuman berat.
“Saya harap, pasangan (lelaki) yang terlibat melakukan penghamilan dan juga mereka yang bersubahat juga wajar diburu dan dihadapkan ke muka pengadilan bagi mengurangkan gejala yang meruntuhkan tamaddun manusia ini,” ujar Noraini lagi.
Menurut Noraini, tiba masanya kerajaan memandang serius kegiatan berkenaan yang berlaku akibat daripada kegiatan sosial yang terlalu bebas di kalangan remaja perempuan khusus di Sandakan yang terlalu meruncing sehingga menyebabkan berleluasanya gejala pembuangan bayi.
Ekoran daripada pergaulan terlalu bebas tanpa batas-batasan dan tata susila, kata Noraini, maka timbullah aktiviti maksiat dan amalan zina di sana-sini dengan pasangan masing-masing tanpa segan silu.
Menurut Noraini terdapat beberapa kawasan Taman Peranginan yang telah dikenal pasti dan telah dicap sebagai tumpuan sarang maksiat di kalangan remaja perempuan dengan pasangan mereka antaranya; Taman Chong Thien Voon Bukit Bendera, Taman Peranginan Indah Jaya, Tangga Seribu, Taman Peranginan Taman Rimba dan Taman Peranginan Grand View serta sepanjang Jalan Costal di Pusat Bandar.
Sementara di lorong-lorong bangunan yang menjadi tumpuan maksiat yang membabitkan remaja sekolah perempuan ialah Bangunan Bandar Kim Fung, Bangunan belakang Giant Supermarket dan Bangunan Bandar Leila.
Kata Noraini lagi, punca pergaulan yang terlalu bebas menyebabkan penuntut sekolah menengah yang masih remaja (perempuan) mudah diajak melakukan zina dengan pasangan masing-masing dalam keseronokan tanpa memikirkan akibatnya apabila hamil nanti.
“Lebih memalukan kita, ibubapa turut bersubahat menyembunyikan perbuatan keji anak-anak mereka sehingga melahirkan anak dengan alasan malu dengan masyarakat sekeliling,”ujar Noraini yang memberitahu pihaknya sedang merangka pelan tindakan susulan untuk menangani masalah ini dengan kerjasama beberapa NGO dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am.
Oleh kerana tiada pilihan lain jelas Noraini, maka demi untuk menyelamatkan maruah (kalaupun masih ada maruah) lantaran anak/bayi tidak berdosa yang dilahirkan oleh anak perempuan mereka dibuang begitu sahaja ke mana-mana tempat yang difikirkan selamat, semata-mata untuk menyembunyikan jenayah mereka.
Dalam hubungan ini kata Noraini, pihaknya dan beberapa jabatan kerajaan begitu bersungguh-sungguh memainkan peranan untuk membanteras gejala pembuangan bayi yang kini semakin meningkat khususnya di daerah Sandakan.
“Kita sokong langkang kerajaan mengenakan hukuman dan tindakan undang-undang yang cukup berat terhadap mana-mana remaja mahupun masyarakat yang terbabit melalukan pembuangan bayi, “ namun kata Noraini tanpa kerjasama semua pihak ianya masih tidak berkesan.
Sebagai ibubapa, kata Noraini, mereka seharusnya sentiasa mengawasi gerak geri anak-anak gadis mereka sebelum terlambat kerana pergaulan yang bebas menyebabkan mereka berpeleseran bersama kawan-kawan yang akhirnya akan mengaibkan anak mereka sendiri.
Memang tidak dinafikan ada segelintir ibubapa mereka yang terlalu membiarkan anak-anak mereka bergelandangan ditengah-tengah malam tanpa rasa risau dan bimbang.
Yang menghairankan kata Noraini, hasil daripada pemantauan mereka, anak-anak gadis sekarang sudah pandai minum arak dan bergaul bebas dengan pasangannya kaki minum dan apabila sudah mabuk, mereka pergi hotel atau rumah tumpangan untuk melakukan zina.
“Kita amat malu kerana pada bulan Ramadan yang suci ini tidak menghalang mereka daripada melakukan maksiat. Mungkin jiwa mereka sudah rosak oleh arak, dadah sehingga ketagihan seks,” ujar Noraini yang merayu kerjasama ibubapa agar menghubungi Jabatan Kebajikan atau Rumah Perlindungan dan pihaknya jika anak-anak perempuan mereka terlibat dengan kegiatan yang tidak sihat agar dapat dipulihkan segera.
Sehubungan itu, Biro Wanita PEMADAM, kata Noraini, mengutuk habis-habisan terhadap gejala pembuangan bayi yang dilakukan oleh ibubapa yang bersekongkol dengan anak-anak gadis mereka.
“Saya yang mewakili Biro Wanita PEMADAM meminta jasa baik kepada pihak JHEAINS dan polis supaya mengadakan rondaan pada setiap hari untuk membanteras gejala ini daripada terus menular dari semasa ke semasa,” rayunya lagi.
Dalam pada itu, mengikut laporan Berita Harian, Kabinet memutuskan kes pembuangan bayi disiasat sebagai kes bunuh atau percubaan membunuh bagi memastikan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu menerima hukuman berat.
Kes bunuh disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, manakala kes percubaan membunuh mengikut Seksyen 307 kanun sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.
Sebelum ini, semua kes pembuangan bayi disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak yang boleh dihukum denda maksimum RM20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagi tempoh 2008 hingga 2009, sebanyak 181 kes pembuangan bayi dilaporkan manakala 60 kes direkodkan sejak awal tahun ini hingga semalam.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata bukan saja wanita terbabit dengan kes pembuangan bayi akan dikenakan siasatan tetapi juga lelaki yang menyebabkan wanita itu mengandung.
Katanya, polis juga diminta menggunakan kaedah ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk mengenal pasti ibu bapa bayi berkenaan.
Keputusan itu dicapai selepas kementerian sekali lagi membawa isu pembuangan bayi ke mesyuarat Jemaah Menteri kelmarin kerana perbuatan itu berleluasa walaupun kerajaan mengambil pelbagai inisiatif menangani masalah berkenaan.
Saya tidak mahu ada pihak mengambil ringan kes pembuangan bayi sehingga membiarkan menjadi budaya yang menular dalam masyarakat seolah-olah kita berada pada zaman jahiliah.
Sekian lama kerajaan menangani masalah kes pembuangan bayi menerusi pendekatan kebajikan termasuk kempen dan pelbagai program, malangnya masih ada manusia sanggup membunuh bayi, katanya selepas majlis penyerahan bantuan khas perbendaharaan kira-kira RM2.7 juta kepada 59 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di kementeriannya, semalam.
Shahrizat berkata, langkah itu wajar untuk membawa pihak bertanggungjawab membunuh bayi dihadapkan ke mahkamah, sekali gus diberikan hukuman setimpal dengan tindakan tidak berperikemanusiaan.
Jika ada pasangan yang terlanjur dan terdesak mendapatkan bantuan, mereka boleh datang ke pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), hospital, polis, NGO dan pemimpin politik terutama Barisan Nasional (BN) supaya mereka boleh dibantu.
“Oleh itu, tiada alasan dan maaf bagi mereka yang masih sanggup melakukan kesalahan membuang bayi kerana pelbagai program dan bantuan disediakan untuk golongan berkenaan. Saya juga mahu memberi amaran kepada lelaki yang bertanggungjawab menyebabkan wanita hamil luar nikah bahawa mereka tidak terlepas daripada tindakan undang-undang,” katanya.
No comments:
Post a Comment