Saturday 14 August 2010

TAMAN SRI RUGADING KERING KONTANG



Oleh: ISMAIL MOHD ROSLI

PENDUDUK Taman Sri Rugading, Tuaran dekat sini mendesak Menteri di Kementerian Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Negeri Sabah supaya campur tangan menyelesaikan masalah ketiadaan bekalan air di kawasan perumahan itu sejak hari sabtu lalu dengan segera.

Perkara itu telah pun dimaklumkan kepada pihak Pengurusan Taman Sri Rugading, Majlis Daerah Tuaran dan Jabatan Bekalan Air.

Malangnya sehingga kini, tidak ada sebarang tindakan dibuat bagi menyelesaikan masalah tersebut selain memberi alasan yang tidak masuk akal.

Seorang penghuni taman itu, Haji Buragang Itam, berkata masalah ketiadaan air di taman itu membebankan semua penghuni yang menetap di taman berkenaan.

Menurutnya, masalah tersebut telahpun dilaporkan kepada pihak pengurusan taman itu, namun sehingga kelmarin masalah tersebut semakin meruncing.

"Kami mendesak Menteri di Kementerian Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Negeri Sabah agar dapat menyelesaikan masalah ini dengan kadar segera. Kasihanilah kami. Prihatinlah sikit wahai Menteri! Mau menunaikan sembahyang terawih pun tak dapat kerana Masjid di taman ini pun kering kontang," katanya lagi.

Tambahnya lagi, sesuai dengan konsep 1Malaysia Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan seharusnya masalah aduan ketiadaan air di taman itu dapat di atasi dengan segera.

Sebaliknya apa yag berlaku dalam masalah ini jelas beliau lagi, aduan sudah dibuat tetapi rakyat tetap dikebelakangkan.

No comments:

Post a Comment