Wednesday 16 November 2011

AIM SALUR PINJAMAN MUDAH RM11.4 JUTA



SAMPAIKAN….. Sairin menyampaikan Anugerah Pusat Terbaik kepada salah seorang Ketua Pusat Sahabat AIM di Blok Bingkor.

Oleh : KENINGAU PRESS

AMANAH Ikhtiar Malaysia (AIM) Keningau telah memberikan manfaat pinjaman kepada seramai 3,235 golongan wanita sejak ditubuhkan 7 tahun lalu dan kini berkembang ke daerah Keningau, Sook dan Nabawan dan Tambunan.

Pengurus AIM Cawangan Keningau, Mohd Azlan Omar berkata, pinjaman yang diberikan kepada ahli sehingga setakat ini ialah RM11.4 juta; kebanyakan peminjam adalah golongan wanita dan masih aktif.

Beliau berkata demikian di Majlis Program Kasih Sahabat AIM Blok Bingkor bertempat di Taman Bandukan Resort, Keningau yang turut dihadiri Pegawai Rancangan Wilayah Sabah 1, Nordin Sutan.

Majlis itu dirasmikan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri Sabah, Datuk Haji Sairin Hj.Karno.

“Peserta AIM ada yang telah berjaya meraih status usahawan dengan pendapatan sehingga RM20 ribu sebulan. Kita berbangga dengan pencapaian yang diraih oleh para sahabat AIM yang berjaya meningkatkan prestasi mereka. Di Keningau, kita ada 6 orang Sahabat Usahawan,” kata Mohd.Azlan.

Bagi Blok Bingkor, kata Mohd.Azlan, seramai 420 0rang telah membuat pinjaman dengan AIM dengan jumlah sebanyak RM2.1 juta.

“AIM bukan sahaja membimbing peserta untuk menjadi peniaga, malah akan menumpukan kepada aspek kemahiran kerana kami sedang merangka kerja untuk meningkatkan lagi nilai tambah wanita di-sini,” kata Mohd.Azlan.

Dalam pada itu, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Haji Sairin Hj.karno dalam ucapannya turut memberi nasihat dan kata-kata perangsang, selain memberikan perkongsian ilmu dalam bidang perniagaan.

“Hidup kita sememangnya berliku-liku. Kalau kita gagal, jangan terus berputus asa, tetapi atasilah kesilapan itu,” kata Sairin yang juga Ketua Bahagian Umno Keningau.

Katanya, hutang tetap hutang yang tidak boleh dibiarkan. Untuk berjaya, harus tekun berusaha dan perbetulkan kesilapan secepat mungkin. Jangan berhenti berusaha, kerana ketekunan dan kesabaran adalah tangga kejayaan,” ujar Sairin.

Seorang peserta AIM dari Pusat Wanita Aktif Berusaha (Pusat Melidang), Mariani Gonolon, 34, berkata beliau mengusahakan tanaman halia dan getah.

“Pendapatan saya tidak menentu, tetapi kadang-kadang mencapai sehingga RM6 ribu sebulan,” kata Mariani yang turut menerima Anugerah Peserta Aktif Dan Berjaya AIM.

No comments:

Post a Comment