Saturday 26 November 2011

SAPP KEMUKA USUL PEMBAIKAN PILIHANRAYA


WAKIL-WAKIL daripada parti pembangkang utama di Sabah, termasuk DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), menghadiri pendengaran awam hari pertama yang diadakan Jawatan Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya, di Kota Kinabalu, kelmarin.

Pendengaran awam selama dua hari, yang diadakan di Rumah Persekutuan, bermula dengan wakil daripada Parti Maju Sabah (SAPP), yang diketuai Presiden Datuk Yong Teck Lee, yang juga bekas Ketua Menteri Sabah.

Parti pembangkang yang berasal dari Sabah itu turut mengemukakan beberapa cadangan termasuk sokongan terhadap pelaksanaan sistem pengundian menggunakan dakwat kekal pada pilihan raya umum akan datang.

SAPP turut memohon tempoh menarik diri selama tiga hari selepas pencalonan dimansuhkan bagi mengelakkan mana-mana calon daripada mengambil kesempatan membuat ‘keuntungan’.

Parti berbilang kaum itu juga bersetuju dengan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat apa jua hal berkaitan yang didakwa sebagai ‘Projek IC’ di Sabah.

Sambil menyokong cadangan SAPP, wakil-wakil daripada PKR dan DAP Sabah meminta supaya sistem undi pos dikaji semula bagi memastikan ketelusan proses pengundian.

Kedua-dua parti politik itu turut merujuk akan keperluan mendesak bagi menangani masalah pengundi hantu yang sering menghantui rakyat Malaysia di Sabah.

Pendengaran awam, yang akan bersambung esok, dipengerusikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Maximus Ongkili, yang merupakan pengerusi jawatankuasa itu.

Anggota lain yang menghadiri perbicaraan adalah wakil BN Tan Sri Dr Fong Chan On dan P Kamalanathan, manakala pembangkang diwakili Pengarah Pilihan Raya PAS Dr Hatta Ramlee dan Anggota Parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong, mewakili Konsensus Bebas.

No comments:

Post a Comment