Saturday 26 November 2011

SHAFIE, DARI PUTRAJAYA KE ISA?


Oleh : NUR EHSAN MOHD ZAKI

KEHADIRAN 600 Perwakilan dan lebih 2,000 pemerhati UMNO Sabah di Pusat Dagangan Dunia Putera akan memberi impak yang cukup besar kepada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Haji Apdal yang menjadi fokus utama perwakilan sejak Ketua Audit Negara membentangkan laporannya di Parlimen pada 24 November 2011.

Walaupun laporan Ketua Audit Negara 2010 hanya menimbulkan isu remeh dan kecuaian akauntabiliti banyak Kementerian dan Jabatan, namun isu MARA dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), terutama dalam Projek NKRA Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) menjadi isu prima yang dicanang begitu hebat, bukan sahaja oleh Wakil Pembangkang, malah oleh pemimpin UMNO.

Shafie yang tersepit antara tugasnya sebagai Naib Presiden UMNO dan Menteri KKLW, keliru dengan akauntabiliti kerajaan yang mengutamakan tadbir urus berkonsepkan 3E iaitu ekonomik, efisien dan efektif; telah membelakangkan semua prosedur dan tatacara pengurusan tender, terutama kriteria pemilihan tender.

Mengikut siasatan Sabahkini.net, sistem tender di KKLW terlalu konservatif dan tidak mematuhi akauntabiliti kerajaan, sebaliknya memberi pemusatan kuasa kepada Menteri KKLW membuat keputusan muktamad; sekaligus meletakkan Ketua Setiausa Kementerian Kewangan sebagai ’Peon’ atau ’Post Master’.

Majoriti kontraktor yang dipelawa menyertai tender terbuka, tertutup atau terhad bukan sahaja tidak layak menjalankan kontrak kerja berkenaan, malah tidak layak untuk membeli borang tender kerana tidak mempunyai kelayakan sebagai kontraktor, terutama dari segi pengalaman, kewangan dan goodwill; lebih mudah dinamakan sebagai untuk mencukupkan korum.

Akibatnya, walaupun setiap tender mega terutama NKRA, borang tender dimonopoli oleh satu atau dua kontraktor kroni yang menggunakan antara lima hingga sepuluh lesen PKK Kelas A, termasuk Kelas Kambing (Tidak berdaftar dengan PKKK dan Subkontraktor) serta kontraktor bukan bumiputera bagi kontrak kerja yang hanya diperuntukkan kepada Kontraktor Bumiputera, selaras dengan Dasar Ekonomi Baru yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Daripada pemeriksaan rambang yang dilakukan, ramai pemilik lesen PKK mengakui bahawa lesen mereka dipinjam oleh kontraktor besar; sama ada untuk mencukupkan korum atau mendapatkan tender yang kemudiannya disub-kontrak kepada kontraktor besar dengan komisyen antara 2.5 % hingga 10 % daripada nilai kontrak.

Projek mega NKRA terkini yang menjerat Shafie ialah kontrak KKLW.T.67/2011 iaitu Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Sistem Solar Hibrid Fasa II Di Pulau Banggi yang diberikan kepada kontraktor bertaraf ‘muflis’ dan bukan bumiputera; Usaha Serimas Sdn.Bhd dengan kos RM 81,475,281.42; sedangkan sebuah anak syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) iaitu TNBES turut menyertai tender berkenaan menawarkan harga RM55,520,848.

Perbezaan harga RM25,954,433.42 merupakan satu kesalahan jenayah terancang kerana sebelum ini TNBES turut melaksanakan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Sistem Solar Hibrid Fasa I di Pulau Banggi dengan kos RM21 juta sahaja; sekalipun menyerahkan kontrak tersebut kepada empat subkontraktor iaitu Usahasama Shapadu Properties Sdn Bhd dan Berestu Corporation Sdn Bhd untuk kerja Sivil dan Bangunan dan Unimodal Sdn Bhd; Restu Indah Sdn Bhd dan Power Technologies Sdn. Bhd untuk kerja bangunan.

Terkini, projek Sistem Solar Hibrid Tambisan yang dilaksanakan oleh Kinabalu Powers dengan kos RM28.21 juta bagi membekalkan elektrik ke 187 buah rumah adalah terlalu mahal kerana kerajaan terpaksa membelanjakan RM130,000 bagi setiap rumah, sedangkan nilai rumah penduduk kampung yang akan menikmati kemudahan elektrik solar hibrid antara RM2,000 hingga RM30,000.

Tidak dikenalpasti sama ada projek Solar Hibrid di Tambisan adalah hadiah Shafie kepada TYT Sabah, Tun Juhar Mahiruddin atas anugerah S.P.D.K atau projek untuk rakyat Tambisan yang menunggu selama 48 tahun sebelum dapat menikmati ’besi buruk’ daripada Jerman; sekaligus meracuni kanak-kanak Tambisan yang tidak berdosa selepas enam bulan atau satu tahun digunakan kerana bateri yang dijanjikan jangka hayat 10 tahun, hanya mampu bertahan selama enam bulan atau satu tahun.

Sindrom ’Ayam’ lebih mahal dari reban, menunjukkan kebocoran yang begitu ketara di KKLW dan sudah menjadi budaya sejak Shafie menjadi Menteri KKLW.

Anehnya ketika isu ini dibahaskan di Parlimen, tidak ada walau seorang wakil Kerajaan atau pembangkang yang membantah kerana KKLW menjelaskan bahawa walaupun harga projek Solar Hibrid Tambisan begitu mahal iaitu RM80,000 lebih tinggi daripada yang dibina Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang meletakkan harga RM50,000 bagi sebuah rumah; namun KKLW tetap melaksanakan projek berkenaan demi kesejahteraan rakyat.

Mungkinkah ini wajah belanjawan berimbang dan transformasi kewangan yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib melalui NKRA dan Bajet 2012?

Terma ’Kesejahteraan’ KKLW ini mungkin memukau semua Ahli Parlimen dan Ketua Audit Negara kerana Solar Hibrid Pulau Banggi dan Tambisan tidak termasuk dalam Laporan Audit 2010; mungkin kerana Dasar Audit hanya menjalankan pengauditan terhadap projek yang sudah siap; apatah lagi Jabatan Audit Negara tidak mempunyai pegawai yang pakar dalam bidang teknikal dan kejuruteraan sehingga lebih 300 projek BELB di Sabah tidak pernah diaudit.

Jabatan Audit lebih berminat dengan gula yang berharga RM1.70 tetapi dibeli dengan harga RM170 sekilogram; namun tidak langsung berminat dengan kos projek KKLW yang melambung tinggi sehingga 700 %.

Bagi kes gula dan barangan peralatan kursus yang terlebih dibayar, MARA telah berjaya memungut kembali; tetapi dalam kes BELB, KKLW tidak melakukan sebarang usaha untuk mendapatkan semula bayaran yang terlebih dibayar, terutama dalam projek ’Top-Up’.

Senario ini bukan sahaja mengelirukan pembangkang, malah Ahli UMNO yang terkesima dengan pendedahan demi pendedahan media termasuk Sabahkini.net yang menghubung kaitkan Naib Presiden UMNO secara langsung dengan ’Projek Top-Up’ seolah-olah Shafie berbangga mensabotaj ekonomi negara dengan melakukan pembaziran yang begitu ketara terhadap dana awam.

Ramai rakyat yang menghantar email kepada Sabahkini.net bertanya kenapa tidak ada pihak yang berani menghentikan amalan songsang ini, terutama bagi kes yang telah dilaporkan kepada SPRM dan dimaklumkan kepada Perdana Menteri, merangkap Menteri Kewangan?

Bagi rakyat kebanyakan, Najib mewar-warkan projek NKRA untuk kesejahteraan rakyat, namun mungkin tidak sedar bahawa Shafie telah menggunakan projek NKRA ini untuk memperkayakan kroni atas motif yang tersirat, melunaskan agenda peribadi; sebaliknya membiarkan rakyat terus menderita kerana semua projek yang dilaksanakan tidak mencapai sasaran.

Dalam projek Solar Hibrid umpamanya, rakyat bukan sahaja dibebankan membayar bil elektrik, malah tidak menyelesaikan masalah rakyat yang memerlukan bekalan elektrik tanpa gangguan selama 24 jam.

Hakikatnya melalui projek Solar Hibrid KKLW, penduduk luar bandar hanya mendapat bekalan elektrik ala kadar, antara satu jam sehingga 5 jam sehari selama enam bulan sebelum sistem berkenaan rosak dan terbiar antara satu hingga tiga tahun sebelum menaiktaraf sistem berkenaan dengan belanja berkali ganda.

Natijahnya, Ahli UMNO tidak lagi mampu bertolak ansur untuk terus menyokong Shafie kerana bukan sahaja meletakkan UMNO sebagai sasaran kempen pembangkang, malah menyebabkan wujud beberapa kumpulan serpihan di dalam UMNO kerana usaha membeli kesetiaan perwakilan atau sokongan melalui projek KKLW.

Wang NKRA yang sepatutnya dinikmati secara saksama oleh rakyat di pedalaman dalam bentuk prasarana, terutama dalam projek BELB dan Bekalan Air Luar Bandar (BALB) kini hanya dinikmati segelintir individu, terutama Ketua Pemuda UMNO seperti Azis Jamman dan Jamawi Jaafar untuk membeli kereta mewah, rumah mewah dan hidup berfoya-foya.

Setelah berbilion wang dibelanjakan, rakyat miskin di pedalaman Sabah masih menggunakan lampu minyak tanah atau genset kerana projek BELB, terutama Solar Hibrid dan ’Stand-alone’ yang dibina KKLW uzur walaupun belum sampai enam bulan dipasang.

Sebagai Menteri KKLW, sewajarnya Shafie bertanggung jawab di atas kegagalan banyak projek BELB yang bukan sahaja membazirkan wang rakyat melalui projek Top-Up, malah menjadi projek ’Gajah Putih’ yang hanya seronok diperhati, tetapi sukar dinikmati.

Jika sebelum ini Mantan Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohammad pernah mencadangkan agar semua Ketua Bahagian UMNO ditahan di bawah ISA kerana yakin hanya ISA sahaja yang mampu mengajar agar mereka berdisiplin dan memahami hati nurani rakyat dan ahli UMNO; apatah lagi ISA juga berperanan menjaga keselamatan negara, menjaga perjalanan licin ekonomi negara dan menjaga ketenteraman awam.

Maka mungkin tiba masanya Shafie ditahan di Kemunting kerana kini sudah jelas bagi rakyat jelata dan ahli UMNO di Malaysia bahawa Ketua-Ketua Bahagian UMNO tidak tahu menjalankan tanggung jawab mereka dan melakukan tindak tanduk ’subversif’ mensabotaj ekonomi negara sehingga keselamatan negara kita terancam dan sebagai mana kata Dr Mahathir, ISA boleh digunakan untuk 'membetulkan' keadaan ini.

Persoalan sama ada Najib akan bertindak terhadap Shafie atau tidak bukan menjadi isu besar kepada Ahli UMNO kerana Shafie terpaksa mempertahankan jawatannya sebagai Naib Presiden UMNO pada pemilihan akan datang, kerana jika beliau ingin menapak lebih jauh, terpaksa berhadapan dengan Muhyiddin!

No comments:

Post a Comment