Friday 25 November 2011

RATING AAA, BUKTI FISKAL SABAH MANTAP



Oleh : DATUK SERI PANGLIMA MUSA HAJI AMAN

DENGAN mengambil kira keadaan kewangan yang kukuh, anggaran hasil sebanyak RM3,690.53 juta dan Objektif Bajet seperti yang disebutkan tadi, saya mencadangkan sejumlah RM4,048.28 juta wang negeri disediakan bagi Perbelanjaan Perbekalan untuk tahun 2012. Ia melibatkan kenaikan sebanyak RM979.62 juta ataupun kenaikan 31.92% berbanding Anggaran Perbelanjaan bagi tahun 2011 iaitu sebanyak RM3,068.66 juta.

Ikuti Ucapan Penuh saya dalam PEMBENTANGAN BAJET 2012 di Dewan Undangan Negeri Sabah pada 18 November 2011.

Bismillahir Rahmannir Rahim,

Tuan Speaker,

01. Saya mohon mencadangkan Bajet negeri Sabah bagi tahun 2012 untuk kelulusan Dewan yang mulia ini.

Pendahuluan

02. Alhamdulillah, puji dan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya jua, saya dapat terus menunaikan amanah serta tanggungjawab dalam membentangkan Bajet negeri Sabah bagi tahun 2012 di Dewan yang mulia ini.

03. Seperti yang kita sedia maklum, dalam Bajet Nasional 2012 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, kerajaan telah menyediakan pelbagai insentif dan kemudahan untuk kepentingan dan manfaat kepada semua lapisan rakyat. Seperti tahun-tahun sebelum ini, negeri Sabah turut mendapat manfaat melalui penyediaan peruntukan yang agak besar dalam Bajet Nasional 2012. Untuk ini, Kerajaan Negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Pusat khususnya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Malaysia, yang bukan sahaja meneruskan, bahkan telah meningkatkan lagi keprihatinan dan komitmen yang tinggi terhadap pembangunan dan kesejahteraan rakyat di seluruh pelusuk negeri. Sebagai melengkapkan agenda pembangunan negara, melalui Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi dan Model Baru Ekonomi, Kerajaan Negeri melalui strategi Bajet Negeri 2012, antara lain akan menyediakan peruntukan yang diperlukan bagi melaksanakan program-program pembangunan di negeri Sabah demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri yang tercinta ini.

Ekonomi Dunia

Tuan Speaker,

04. Pembentangan Bajet 2012 ini adalah mengambilkira senario ekonomi global, negara dan negeri. Kadar pertumbuhan ekonomi dunia dijangka sederhana iaitu menghampiri 4% pada tahun 2012 berbanding lebih 5.1% pada tahun 2010 dan 4% pada tahun 2011. Ekonomi Amerika Syarikat dijangka berkembang pada kadar 1.5% pada tahun 2011 dan 1.8% pada tahun 2012. Ekonomi Kesatuan Eropah dijangka berkembang pada kadar 1.6% pada tahun 2011 dan 1.1% pada tahun 2012. Sementara itu, bencana gempa bumi, Tsunami dan kebocoran loji nuklear yang melanda Jepun bukan sahaja telah menjejaskan nyawa dan harta benda, bahkan turut menjejaskan ekonomi negara tersebut. Pertumbuhan keseluruhan ekonomi Jepun dijangka berada pada kadar negatif 0.5% pada tahun 2011 dan 2.3% pada tahun 2012. Manakala ekonomi negara-negara maju diramalkan berkembang pada kadar 1.6% pada tahun 2011 dan 1.9% pada tahun 2012.

05. Prospek pertumbuhan ekonomi di negara-negara ekonomi membangun (developing economies) dan ekonomi baru muncul (emerging economies) dijangka agak teguh pada kadar 6.4% pada tahun 2011 dan 6.1% pada tahun 2012. Pertumbuhan ekonomi serantau akan terus diterajui oleh negara China dan India. Ekonomi China dijangka mencapai kadar pertumbuhan sebanyak 9.5% pada tahun 2011 dan 9.0% pada tahun 2012. Ekonomi India juga diramalkan berkembang pada kadar yang tinggi sebanyak 7.8% pada tahun 2011 sebelum menurun kepada 7.5% pada tahun 2012. Ekonomi ASEAN-5 yang terdiri daripada Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand, dan Vietnam dijangka berkembang pada kadar 5.4% pada tahun 2011 dan 5.7% pada tahun 2012.

Ekonomi Malaysia

Tuan Speaker,

06. Prestasi ekonomi Malaysia pula mencatatkan kadar pertumbuhan yang positif sebanyak 4.4% pada separuh tahun pertama 2011. Walaupun terdapat ketidakpastian dalam ekonomi global, ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 5.0% hingga 5.5% pada tahun semasa. Momentum pertumbuhan ini dijangka meningkat pada separuh kedua tahun 2011.

07. Dalam tempoh separuh tahun pertama 2011, nilai jualan sektor pembuatan Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 10.8% atau RM33.3 bilion daripada RM307.7 bilion kepada RM341.0 bilion. Sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar kepada ekonomi negara, menyumbang hampir 58% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Di bawah Rancangan Malaysia ke-10, Kerajaan mensasarkan sektor ini menyumbang 60% kepada KDNK menjelang tahun 2015.

Ekonomi Sabah

Tuan Speaker,

08. Walaupun ekonomi global tidak menentu, dalam tempoh separuh tahun pertama tahun ini, eksport negeri masih mencatatkan pertumbuhan dengan kadar sebanyak 4.0%. Manakala jumlah import meningkat sebanyak 13.2% disebabkan oleh kos import yang tinggi bagi bahan makanan dan keluaran-keluaran petroleum. Imbangan dagangan sebanyak RM8.31 bilion yang dicatatkan dalam tempoh separuh tahun pertama tahun ini adalah lebih rendah berbanding imbangan dagangan yang dicatatkan dalam tempoh separuh tahun pertama tahun lepas iaitu sebanyak RM9.18 bilion. Walaupun jumlah eksport bagi kebanyakan komoditi utama negeri telah berkurangan namun, nilai eksport negeri terus mencatatkan pertumbuhan positif disebabkan oleh harga komoditi yang tinggi bagi kebanyakan komoditi utama negeri ini.

09. Sungguhpun prestasi sektor luar negeri adalah kurang menggalakkan, namun, sukacita saya memaklumkan bahawa jumlah pelaburan swasta di negeri ini telah meningkat. Bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sector pembuatan di negeri ini ialah sebanyak RM955 juta berbanding RM270.15 juta dalam tempoh yang sama pada tahun 2010.

10. Pada tahun ini, walaupun terdapat peningkatan dalam pelaburan dan penggunaan swasta, ekonomi negeri yang didominasi oleh sektor luar negeri dijangka hanya berkembang sebanyak 3% hingga 4% disebabkan oleh permintaan global dan pertumbuhan eksport yang lemah.

11. Untuk tahun hadapan, suasana ekonomi negeri dijangka akan lebih mencabar akibat bertambahnya ketidakpastian dalam ekonomi global. Seperti mana yang telah dimaklumkan sebelum ini, sumber-sumber pertumbuhan negeri sebahagian besarnya dijangka akan disumbangkan oleh sektor domestik, kerana sektor luar negeri dijangka berkembang pada kadar yang sederhana dan perlahan. Pelaburan awam dan swasta serta penggunaan domestik dijangka akan terus merangsang pertumbuhan ekonomi negeri iaitu melalui pelaksanaan pelbagai projek awam dan swasta serta pemberian pelbagai insentif oleh kerajaan untuk merangsang penggunaan domestik seperti mana yang telah diumumkan dalam Bajet Negara 2012. Di sebalik senario ini, ekonomi negeri diramal akan berkembang di antara 4.5% hingga 5 % dalam tahun 2012.

Prestasi Kewangan Negeri

Tuan Speaker.

12. Kerajaan Barisan Nasional negeri Sabah sentiasa komited untuk mencapai sasaran yang kita rancang melalui disiplin kewangan dan perbelanjaan yang teratur. Sasaran jangka panjang kita untuk menjadi negeri yang maju dan makmur pasti dicapai kerana fundamental ekonomi adalah kukuh ditambah lagi dengan kekayaan hasil bumi negeri ini. Untuk makluman Ahli-ahli Dewan yang mulia ini, prestasi Kerajaan Negeri yang ditadbir oleh Kerajaan Barisan Nasional kian menyerlah seperti yang dicerminkan melalui pencapaian-pencapaian seperti berikut:

(i) Merupakan antara negeri yang terbaik dalam pengurusan kewangan dengan mempertahankan Sijil Bersih yang dianugerahkan oleh Ketua Audit Negara selama 11 tahun berturut-turut;

(ii) Mencapai penarafan tertinggi ‘AAA’ oleh RAM Rating Services Berhad selama 3 tahun berturut-turut kerana kedudukan fiskal negeri yang mantap dengan lebihan yang berterusan dan mengumpulkan rizab yang kukuh di samping hubungan baik dan sokongan padu daripada Kerajaan Pusat;

(iii) Mendapat persijilan ISO oleh Moody International untuk pengurusan bajet negeri yang efisien dan teratur bagi tempoh 3 tahun berturut-turut; dan

(iv) Laporan Ketua Audit Negara tahun 2010 menunjukkan beberapa angka sebenar yang merupakan pencapaian tertinggi dalam sejarah kewangan negeri seperti:

*Rizab Negeri melebihi RM3 billion;

*Hasil Negeri melebihi RM4 billion;

*Lebihan sebenar berjumlah RM730 juta;

*Perbelanjaan pembangunan sebanyak RM1.17 bilion; dan

*Tiada tunggakan bayaran ke atas pinjaman Kerajaan Pusat (we paid all the dues);

Tuan Speaker,

13. Dengan rekod-rekod yang begitu cemerlang, Kerajaan Barisan Nasional Negeri berasa amat bersyukur dan bangga serta akan terus komited dalam membangunkan negeri yang tercinta ini ke tahap yang lebih tinggi untuk kesejahteraan dan kemakmuran semua. Kerjasama dan ketekunan kita semua telah membuahkan hasil. Kita akan terus melipat gandakan daya upaya dan mencurahkan tenaga demi merealisasikan semua program dan agenda pembangunan yang telah dirancang.

14. Bagi tahun 2012, Kerajaan Negeri dijangka akan mengutip hasil yang tertinggi dalam sejarah penyediaan Bajet Tahunan negeri iaitu sebanyak RM3,690.53 juta. Dengan kedudukan kewangan negeri yang kukuh dan surplus sebenar yang berterusan, khasnya surplus sebanyak RM730 juta pada tahun 2010, maka untuk memesatkan lagi pembangunan dan memantapkan lagi kesejahteraan dan kemakmuran negeri yang dicintai ini, izinkan saya membentangkan perbelanjaan bagi tahun 2012 yang merupakan satu rekod perbelanjaan yang terbesar dalam sejarah kewangan negeri ini. Sejajar dan bertepatan dengan tema Bajet 2012 iaitu, ’MELONJAKKAN KESEJAHTERAAN DAN KEMAKMURAN NEGERI’, saya mencadangkan perbelanjaan tahun 2012 berjumlah RM4,048.28 juta.

15. Salah satu objektif Bajet 2012 adalah untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negeri dengan penekanan ke atas penambahbaikan infrastruktur asas serta kemudahan prasarana awam bagi manfaat rakyat dan para pelabur. Dengan bajet yang begitu besar, beberapa perbelanjaan dan komitmen telah disusun untuk menyokong perkembangan ekonomi kita. Selain daripada sistem perbankan yang efesien dan infrastruktur asas yang mencukupi seperti jalan raya, jambatan, bekalan air dan elektrik serta kemudahan prasarana yang lain, kita juga komited dalam mengutamakan infrastruktur kewangan (financial infrastructure) yang berkualiti dengan menerapkan disiplin kewangan, urus tadbir yang baik termasuk juga sistem laporan dan kawalan kewangan yang berkesan.

16. Dengan amalan dan sistem kewangan yang teratur, semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan telah berusaha memastikan peruntukan-peruntukan dibelanjakan untuk maksud yang ditetapkan. Syabas kepada jentera kerajaan yang telah menunjukkan komitmen dan akauntabiliti mereka dalam memastikan penggunaan sumber kewangan dan hasil bumi secara telus dan berhemah (value for money).

Objektif dan Strategi Bajet 2012

Tuan Speaker,

17. Peruntukan-peruntukan bagi tahun 2012 akan dibelanjakan dengan beberapa objektif dan strategi yang sama seperti tahun lalu, iaitu seperti berikut:

a. mengukuhkan kewangan negeri;

b. mengekalkan momentum ekonomi negeri;

c. menambah baik infrastruktur asas dan kemudahan awam;

d. mempercepatkan pencapaian halatuju;

e. membangunkan belia dan modal insan yang berkualiti dan bernilai;

f. menghapuskan kemiskinan; dan

g. pembangunan seimbang antara kawasan.

Hasil Negeri 2012

Tuan Speaker,

18. Hasil negeri Sabah dianggarkan berjumlah RM3,690.53 juta pada tahun 2012. Anggaran Hasil disemak bagi tahun 2011 dijangka berjumlah RM3,820.45 juta iaitu peningkatan sebanyak RM1,072.51 juta atau 39% berbanding anggaran asal sebanyak RM2,747.94 juta. Lima sumber hasil utama iaitu Cukai Jualan atas Minyak Sawit Mentah, Royalti Petroleum, Perolehan dan Faedah dari Pelaburan serta Tanah dan Perhutanan menyumbang kepada peningkatan hasil disemak bagi tahun 2011. Kesemua sumber ini merangkumi lebih 80% hasil disemak. Kerajaan Negeri berkeyakinan bahawa hasil negeri akan mencapai prestasi yang sama pada tahun 2012. Namun demikian, Kerajaan Negeri haruslah berhemat dengan mengambil pendekatan konservatif dalam penyediaan anggaran hasil memandangkan kebanyakan sumber hasil utama negeri adalah di luar kawalan Kerajaan Negeri terutama dalam penentuan harga

dan pengeluaran bagi minyak sawit mentah dan petroleum.

19. Hasil Negeri diklasifikasikan kepada tiga kategori iaitu Hasil Cukai, Hasil Bukan Cukai dan Terimaan Bukan Hasil. Hasil Cukai dijangka menyumbang sebanyak RM1,165.10 juta atau 32%. Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM1,100.00 juta disumbangkan oleh Cukai Jualan. Cukai Jualan atas Minyak Sawit Mentah di bawah kategori ini dijangka menyumbang RM1,000.00 juta.

20. Hasil Bukan Cukai dijangka menyumbang sebanyak RM2,189.12 juta atau 59%. Dua penyumbang utama dalam kategori ini ialah Faedah dan Perolehan dari Pelaburan dengan anggaran berjumlah RM805.46 juta dan Royalti Petroleum dengan anggaran sebanyak RM774.46 juta. Sebanyak RM336.31 juta atau 9% adalah dari kategori Terimaan Bukan Hasil. Kategori ini kebanyakannya adalah geran dan sumbangan daripada Kerajaan Pusat.

Anggaran Perbekalan Dan Pembangunan Tahun 2012

Anggaran Perbekalan

Tuan Speaker,

21. Dengan mengambil kira keadaan kewangan yang kukuh, anggaran hasil sebanyak RM3,690.53 juta dan Objektif Bajet seperti yang disebutkan tadi, saya mencadangkan sejumlah RM4,048.28 juta wang negeri disediakan bagi Perbelanjaan Perbekalan untuk tahun 2012. Ia melibatkan kenaikan sebanyak RM979.62 juta ataupun kenaikan 31.92% berbanding Anggaran Perbelanjaan bagi tahun 2011 iaitu sebanyak RM3,068.66 juta.

22. Cadangan Anggaran Emolumen bagi tahun 2012 adalah sebanyak RM623.66 juta dengan kenaikan sebanyak RM26.10 juta atau 4.37% berbanding dengan anggaran sebanyak RM597.56 juta dalam tahun 2011. Peningkatan perbelanjaan emolumen antaranya disebabkan usaha Kerajaan memenuhi keperluan pewujudan dan pengisian jawatan yang benar-benar diperlukan sebagai jentera penggerak pentadbiran dan pemangkin pembangunan.

23. Anggaran sebanyak RM1,120.85 juta adalah disyorkan untuk Perbelanjaan Berulang bagi tahun 2012. Ini melibatkan kenaikan sebanyak RM63.14 juta atau 5.97% berbanding dengan anggaran sebanyak RM1,057.71 juta dalam tahun 2011. Peningkatan perbelanjaan berulang disebabkan oleh antaranya kenaikan perbelanjaan kos pengurusan operasi sektor awam bagi memastikan keberkesanan sistem penyampaian (delivery system).

24. Cadangan sebanyak RM2,303.77 juta untuk Perbelanjaan Khas bagi tahun 2012 menunjukkan kenaikan sebanyak RM890.38 juta atau sebanyak 63% berbanding dengan anggaran sebanyak RM1,413.39 juta bagi tahun 2011. Antara program/aktiviti yang mengalami peningkatan peruntukan ialah Pelaburan Ekuiti, Pembayaran kepada Konsesi Air, Bangunan Kerajaan, Perbelanjaan Untuk Penyediaan Infrastruktur Sokongan dan Caruman Kepada Kumpulan Wang Pembangunan.

Anggaran Pembangunan

Tuan Speaker,

25. Sejumlah RM881.87 juta peruntukan negeri akan disediakan untuk perbelanjaan pembangunan negeri pada tahun 2012.

26. Sesuai dengan teras dan halatuju pembangunan negeri, Bajet Pembangunan Negeri pada tahun 2012 akan terus memberi tumpuan kepada program dan aktiviti pembangunan yang dapat mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negeri dan mewujudkan suasana serta persekitaran yang lebih selesa, aman dan sekaligus mempertingkatkan lagi kualiti kehidupan di negeri ini.

27. Justeru, sebahagian besar bajet pembangunan tahun 2012, iaitu sebanyak RM545.91 juta atau 64.08%, adalah disalurkan kepada sektor ekonomi. Sektor sosial diperuntukkan sebanyak RM256.9 juta atau 30.16%. Pelan Strategik Pembangunan Negeri atau lebih dikenali sebagai Halatuju Pembangunan negeri Sabah akan mendapat peruntukan sebanyak RM617.43 juta atau 72.5% daripada jumlah keseluruhan anggaran peruntukan bajet pembangunan untuk tahun 2012.

Agihan Peruntukan Mengikut Kementerian

Tuan Speaker,

28. Sejajar dengan peranan, tanggungjawab dan fungsi masing-masing sebagai agensi pelaksana utama Kerajaan, agihan peruntukan Perbekalan dan Pembangunan 2012 yang dicadangkan mengikut Kementerian adalah seperti berikut:

ENTER GRAPHIC

Peruntukan Mengikut Sektor

Tuan Speaker,

29. Bajet 2012 akan terus menjurus dan memberi peruntukan yang besar bagi menaik taraf serta meneruskan pembangunan infrastruktur asas dan kemudahan awam bagi menyokong tiga sektor Halatuju yang meliputi sektor pertanian, pelancongan dan pembuatan. Penekanan juga akan diberikan kepada program-program pembangunan luar bandar yang berkaitan dengan pembasmian kemiskinan, modal insan serta programprogram sosial dan kebajikan am demi melonjakkan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri.

Pembangunan Infrastruktur Asas Dan Kemudahan Awam

Tuan Speaker,

30. Infrastruktur asas dan kemudahan awam merupakan pemangkin kepada pembangunan negeri. Bajet 2012 akan memfokuskan kepada kemajuan infrastruktur bagi memastikan pembangunan seimbang di antara bandar dan luar bandar serta menepati keperluan pembangunan sektor pertanian, pelancongan dan pembuatan dalam memacu lagi perkembangan sosio ekonomi di negeri ini.

31. Dalam tahun 2012, usaha akan diteruskan untuk melaksanakan strategi terancang yang dikenalpasti iaitu antara lain untuk menaiktaraf dan menyelenggara rangkaian jalanraya, meningkatkan kapasiti loji-loji air dan kumbahan, memperluaskan lagi rangkaian paip air, mengurangkan kadar air tidak berhasil, meningkatkan lagi perkhidmatan dan operasi di jeti dan pelabuhan. Untuk membiayai program Pembangunan Infrastruktur asas dan kemudahan awam, sebanyak RM1,284.78 juta disediakan. Daripada jumlah di atas, sebanyak RM458.80 juta adalah untuk bekalan air, RM270.63 juta untuk jalanraya dan RM63.58 juta untuk pembetungan.

Pembangunan Sektor Pertanian

Tuan Speaker,

32. Sebagai salah satu pemangkin kepada pembangunan negeri, Kerajaan akan terus berusaha untuk memantapkan sektor pertanian agar ia dapat mengalami pertumbuhan yang pesat, bersifat lestari, relevan, berdaya saing dan diusahakan secara komersil. Dengan yang demikian, bagi merealisasikan hasrat kerajaan tersebut, sejumlah RM335.95 juta yang meliputi RM173.62 juta perbelanjaan mengurus dan RM162.33 juta perbelanjaan pembangunan diperuntukkan bagi pembangunan sektor pertanian termasuk perikanan, haiwan dan pengairan dalam Bajet 2012.

33. Penumpuan akan diberikan terhadap penggunaan sumber-sumber bagi menghasilkan pengeluaran tertinggi bahan makanan tempatan; pengukuhan jaringan integrasi perniagaan tani; peningkatan peranan sektor swasta dan pengukuhan khidmat sokongan utama.

34. Agensi-agensi seperti Korporasi Pembangunan Desa, Lembaga Industri Getah dan Ko-Nelayan memainkan peranan penting dalam memajukan sektor pertanian dan oleh yang demikian sejumlah RM39.20 juta akan disalurkan kepada agensi-agensi tersebut pada tahun hadapan.

Pembangunan Sektor Pelancongan

Tuan Speaker,

Pergi berkelah di tepi pantai,

Sambil membawa jiran sekampung;

Negeri Sabah indah dan permai,

Jadi tumpuan para pelancong.

35. Bagi memantapkan lagi pembangunan sektor pelancongan, pemeliharaan warisan budaya dan konservasi alam sekitar, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM158.84 juta kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar serta enam (6) agensi di bawahnya dan juga kepada Jabatan Perhutanan dan Sabah Biodiversity Centre yang meliputi RM139.70 juta untuk perbelanjaan mengurus dan RM19.14 juta bagi program pembangunan berkaitan pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar untuk dilaksanakan pada tahun 2012.

36. Bagi tempoh Januari hingga September 2011, Sabah merekodkan pendapatan pelancongan berjumlah RM1,450 juta bagi pelancong antarabangsa, RM2,212 juta bagi pelancong domestik menjadikan keseluruhan pendapatan sebanyak RM3,662 juta. Manakala, jumlah ketibaan pelancong ke Sabah dalam tempoh sembilan bulan tahun ini telah mencecah 2.09 juta pelancong, meningkat sebanyak 14.5% berbanding jumlah ketibaan pelancong dalam tempoh yang sama pada tahun lepas. Oleh itu, sejumlah RM59.50 juta adalah pemberian kepada Lembaga Pelancongan Sabah, Lembaga Kebudayaan Sabah dan Taman-taman Sabah untuk memastikan peningkatan berterusan dalam sektor pelancongan baik dalam jangka pendek mahupun jangka panjang.

Pembangunan Sektor Pembuatan

Tuan Speaker,

37. Dalam Bajet 2012, peruntukan sejumlah RM98.15 juta disediakan untuk pembangunan sektor pembuatan. Peruntukan ini bertujuan untuk meningkatkan usaha-usaha yang akan memacu pertumbuhan sektor pembuatan supaya sumbangannya kepada nilai eksport negeri Sabah akan bertambah.

38. Bagi merealisasikan peningkatan sumbangan sektor pembuatan kepada ekonomi negeri Sabah, projek-projek sokongan sektor pembuatan seperti penyediaan infrastruktur asas perindustrian akan terus dipergiat. Pembangunan kawasan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), POIC Lahad Datu dan POIC Sandakan akan diberi tumpuan yang khusus agar sumbangannya terhadap pertumbuhan ekonomi negeri Sabah dapat direalisasikan. Untuk itu, peruntukan sebanyak RM35.05 juta disediakan. Kawasan-kawasan perindustrian ini diharapkan akan terus menjadi pusat operasi kilang-kilang yang dapat meningkatkan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada belia dan usahawan muda negeri ini.

Meningkatkan Taraf Hidup Rakyat Luar Bandar Dan Membasmi Kemiskinan Tegar

Tuan Speaker,

39. Keperitan hidup golongan kurang berkemampuan sentiasa menggamit keperihatinan kepimpinan kerajaan Barisan Nasional Negeri dan Pusat. Pembasmian kemiskinan terus menjadi antara agenda utama Kerajaan di bawah RMK10 di mana program-program Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat mensasarkan pensifaran miskin tegar dan pengurangan miskin relatif. Pelbagai program pembasmian kemiskinan telah dan akan terus dilaksanakan untuk meningkatkan taraf hidup golongan miskin, sekaligus merapatkan jurang pendapatan antara penduduk bandar dan luar bandar.

40. Program-program Kerajaan Negeri seperti Mini Estet Sejahtera (MESEJ), Ladang PPRT serta Program Peningkatan Ekonomi Setempat (PPES) berjaya melibatkan ramai Ketua Isi Rumah Miskin Tegar (KIRMT) sekaligus meningkatkan pendapatan mereka bagi melepasi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) miskin tegar.

41. Sejak awal tahun 2010 sejumlah 1,167 KIRMT di daerah Tongod dan Tawau telah mula dibayar dividen sebanyak RM400 sebulan melalui Ladang PPRT tanaman Kelapa Sawit di Kalabakan dan Tongod. Rumah-rumah juga telah disiapkan di kedua-dua ladang tersebut bagi menempatkan KIRMT yang bersedia bekerja dalam ladang di samping menerima dividen. Ladang-ladang tersebut adalah usahasama antara Kerajaan Negeri dan Sawit Kinabalu Berhad.

42. Pada masa ini, sejumlah 30 buah MESEJ pertanian dan 8 buah MESEJ akuakualtur yang sedang dalam pelbagai tahap pelaksanaan antaranya di Kg. Lok Butun Semporna; Kg. Nala Tungku; Kg. Panimbawan Tuaran; Kg. Pangi Kunak; Pulau Sakar Lahad Datu; dan Pulau Jambongan Paitan telah mula mendatangkan pendapatan kepada peserta. Pada keseluruhannya sejumlah 1,600 KIRMT dijangka akan dapat menikmati faedah dan berjaya dikeluarkan daripada kemiskinan tegar apabila kesemua projek-projek tersebut beroperasi sepenuhnya. Sebagai meneruskan kesinambungan usaha kita dalam tahun 2012, sejumlah RM168.95 juta akan disediakan.

Pembangunan ICT

Tuan speaker,

43. Teknologi maklumat adalah penggerak nadi kehidupan kita masa ini. Kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi masa kini menjadikan dunia yang luas tanpa sempadan. Kerajaan dan rakyat semakin dekat; jurang digital antara bandar dan luar bandar juga dapat dirapatkan melalui State ICT Blueprint yang merangkumi Infostruktur ICT seperti Portal ekonstituensi dan Portal Masyarakat Elektronik (eMas). Di samping itu, beberapa pusat e-Desa akan terus dibangunkan demi memperkasakan rakyat selaras dengan usaha kerajaan membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan (K-based economy). Untuk itu, sejumlah RM 71.91 juta akan diperuntukkan dalam Bajet 2012.

Modal Insan dan Belia

Tuan Speaker,

44. Modal insan adalah menjadi satu landasan, khazanah dan pemangkin untuk mencetuskan suatu idea baru bagi melonjakkan kesejahteraan dan kemakmuran negeri Sabah sebagai salah sebuah negeri yang maju di Malaysia menjelang tahun 2020. Oleh yang demikian kualiti dan nilai murni modal insan akan terus diterapkan kepada kakitangan kerajaan dan rakyat terutamanya golongan belia. Dalam merealisasikan usaha ini, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM204 juta untuk program pembangunan modal insan.

45. “Belia tunjang negara, mantap belia, kukuhlah negara”. Kerajaan sentiasa berusaha menyedia dan meneroka setiap ruang untuk menjana potensi belia agar mempunyai jati diri yang kukuh, berketrampilan, berkeperibadian mulia, berkemampuan melaksanakan semua bidang yang diceburi secara kreatif dan terus kompetitif, sama ada dalam sektor awam atau sektor swasta termasuk penglibatan dalam perniagaan dan keusahawanan. Golongan ini perlu disediakan hala tuju yang jelas dan diberikan peluang mendapatkan kemahiran dan kerjaya supaya mereka akan menjadi modal insan yang boleh memberi sumbangan positif kepada masyarakat. Untuk ini, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM58.27 juta pada tahun 2012 bagi menjalankan pelbagai Program Pembangunan Belia seperti penganugerahan Biasiswa, Program-Program Kemahiran, Program Bersama Persatuan Belia Akar Umbi, Program Kempen Pendaftaran Persatuan Belia Akar Umbi, Program Patriotisme dan Kenegaraan, Program Kemasyarakatan dan Kesukarelawan, Program Cinta Alam, Program Cabaran dan Rekreasi, Program Gaya Hidup Sihat, Program Bersama Persatuan Beruniform dan Program Bersama Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta serta Sekolah.

46. Menyedari kepentingan dan keutamaan rangkaian berpersatuan, Kerajaan Negeri akan menambah peruntukan sumbangan kepada badan-badan belia supaya Gerakan Budaya Berpersatuan di negeri ini dapat dimantapkan lagi. Berdasarkan statistik daripada Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS), setakat Julai 2011 terdapat 299 Persatuan Belia Akar Umbi yang sah berdaftar dengan Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) di seluruh negeri Sabah. Untuk ini, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM7.5 juta pada tahun 2012.

47. Sememangnya menjadi hasrat kerajaan untuk merealisasikan dan mewujudkan belia yang progresif, inovatif, sihat, cergas, berdisiplin dan berdaya saing. Ini seiring dengan aspirasi kerajaan untuk memperbanyakkan lagi atlit yang mampu mengharumkan nama negeri sekaligus negara di persada antarabangsa. Untuk membangunkan Sukan Prestasi Tinggi, Kerajaan akan terus menghantar atlit ke kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa, melatih jurulatih sambilan dan sepenuh masa, menganjurkan kejohanan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Dalam masa yang sama, kerajaan akan terus menubuhkan pusat-pusat cemerlang di peringkat daerah dan negeri serta melaksanakan aplikasi Sains Sukan di semua peringkat. Adalah suatu yang membanggakan kerana dengan bilangan kompleks sukan sebanyak tigabelas buah, negeri Sabah telah dicatatkan sebagai negeri yang mempunyai bilangan kompleks sukan yang terbanyak di negara ini. Kerajaan akan terus membina prasarana sukan di semua peringkat, di seluruh negeri Sabah agar semua lapisan masyarakat dapat melibatkan diri dalam aktiviti membudayakan sukan. Untuk memfokuskan kepada pembangunan sukan berprestasi tinggi, Kerajaan akan memperuntukkan RM35.45 juta bagi tahun 2012.

Pembangunan Sosial Dan Kebajikan Am

Tuan Speaker,

48. Bak kata pepatah, ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’, ‘cubit peha kiri, peha kanan terasa juga’. Justeru, bajet yang disediakan ini akan merangkumi semua lapisan masyarakat. Kerajaan sentiasa prihatin, mendengar rintihan serta denyutan nadi dan sama sekali tidak lupa terhadap kesejahteraan golongan yang istimewa, warga tua, papa dan keluarga yang bermasalah. Kerajaan Negeri akan sentiasa menyediakan perkhidmatan, kemudahan dan bantuan melalui pelbagai program seperti Skim Bantuan Am, Skim Bantuan Anak Yatim, Tabung Derma, Bantuan Alat-alat Ortopedik dan sebagainya untuk meringankan beban rakyat yang kurang berkemampuan. Untuk itu, sejumlah RM89.34 juta diperuntukkan dalam bajet tahun hadapan.

Pembangunan Wanita Dan Institusi Kekeluargaan

Tuan Speaker,

49. Kerajaan Negeri tidak meminggirkan penyertaan kaum wanita dalam pentadbiran dan pembangunan di negeri ini. Malah Kerajaan Negeri tetap menghargai peranan dan sumbangan kaum wanita dalam semua segi, baik dari sektor awam atau pun swasta, kecil atau pun besar, yang berjawatan tinggi atau pun yang berpangkat rendah; kerajaan tetap mengiktiraf peri pentingnya peranan kaum wanita, sebagaimana juga peranan yang dimainkan oleh kaum lelaki.

Kembang melati di kebun nyonya,

Harum mewangi di tengah laman;

Sumbangan wanita tinggi nilainya,

Kekal abadi sepanjang zaman.

50. Justeru, bagi meningkatkan lagi penyertaan wanita dalam pasaran tenaga kerja, pelbagai usaha akan dilaksanakan sama ada bersifat jangka pendek mahupun jangka panjang. Program-program latihan kemahiran yang bersesuaian akan digerakkan dengan mengambil kira keperluan pihak industri dan bidang tumpuan di Sabah. Begitu juga dengan program-program keusahawanan melibatkan wanita yang terus dipergiat dan dikembangkan bersesuaian dengan kecenderungan golongan wanita dalam bidang perniagaan. Bagi menyokong usaha ini, Kerajaan Negeri telah menyediakan pelbagai galakan dan insentif sama ada dalam bentuk bantuan kewangan, khidmat nasihat dan latihan yang bersesuaian untuk manfaat golongan wanita.

51. Kerajaan mengambil berat betapa pentingnya pengukuhan dalam institusi kekeluargaan kerana keluarga adalah asas pembentukan masyarakat yang bertanggungjawab. Bagi tahun 2012, antara program keluarga bahagia yang dirancangkan adalah kesedaran mengenai isu-isu dan cabaran keluarga masa kini. Kerajaan akan melaksanakan programprogram seperti Persidangan Keluarga, Program Kesejahteraan Remaja dan seminar Keibubapaan. Bagi melaksanakan program pembangunan wanita dan institusi kekeluargaan seperti yang disebutkan tadi serta peruntukan kepada Pertubuhan-pertubuhan Wanita bukan Kerajaan dan Yayasan Usaha Maju (YUM), sejumlah RM10.98 juta akan diperuntukkan untuk tahun 2012. Kerajaan Tempatan

Tuan Speaker,

52. Kerajaan Tempatan memainkan peranan penting dalam menyokong agenda-agenda pembangunan Kerajaan Negeri dan Persekutuan seperti memberi perkhidmatan dan menyedia kemudahan awam yang bermutu tinggi dalam sektor perumahan, pelancongan, perniagaan, kesihatan, keselamatan, alam sekitar dan lain-lain. Untuk memenuhi peranan yang disebutkan, sebanyak RM122.97 juta akan disediakan kepada pihak Berkuasa Tempatan pada tahun 2012. Daripada jumlah peruntukan tersebut, sejumlah RM88.48 juta adalah untuk perbelanjaan di bawah perbekalan dan RM34.49 juta untuk program pembangunan seperti penyediaan infrastruktur, kemudahan-kemudahan asas dan membangunkan pekan-pekan baru dan perumahan di beberapa daerah di

negeri Sabah.

Peruntukan Persekutuan

Tuan Speaker,

53. Selain peruntukan daripada sumber negeri, kita juga akan mendapat sumbangan peruntukan sebanyak RM1,520.76 juta untuk pembangunan daripada Kerajaan Pusat pada tahun 2012. Sumbangan tersebut akan disalurkan dalam bentuk Bayaran Balik Persekutuan sebanyak RM 40.46 juta, Pinjaman Persekutuan sebanyak RM36.18 juta dan Pemberian Secara Langsung (Geran) sejumlah RM1,444.12 juta. Pemberian secara langsung berjumlah RM1,444.12 juta adalah untuk pelbagai program dan projek seperti berikut:

Bekalan Air Luar Bandar ……… RM572.77 juta

Bekalan Elektrik Luar Bandar ……… RM382.50 juta

Jalan raya dan Jambatan ……… RM444.35 juta

Keretapi ……… RM 33.50 juta

Lembaga Industri Getah ……… RM 5.00 juta

Hutan ……… RM 4.80 juta

Perikanan ……… RM 1.20 juta

54. Tidak dinafikan bahawa peruntukan ini akan meletakkan keupayaan negeri ke tahap yang lebih tinggi untuk membangunkan negeri Sabah. Oleh itu, saya bagi pihak Kerajaan Negeri ingin mengucapkan setinggitinggi penghargaan kepada Kerajaan Pusat di atas sumbangan ini.

Peranan Badan Berkanun Dan Syarikat Kerajaan Negeri

Tuan Speaker,

55. Semasa pelancaran buku Tadbir Urus Korporat Untuk Badan Berkanun Negeri pada 17 Oktober 2011, saya telah menekankan bahawa Badan-badan Berkanun dan Syarikat Kerajaan Negeri kini berada dalam persekitaran ekonomi dan sosial yang mencabar. Adalah penting bagi setiap Badan Berkanun dan Syarikat Kerajaan Negeri mempunyai Perancangan Perniagaan yang teratur dan Key Performance Indicator (KPI) sebagai pengukur pencapaian organisasi.

56. Kerajaan Negeri akan terus mengambil inisiatif untuk memastikan Badan-badan Berkanun dan Syarikat-syarikat Kerajaan Negeri supaya terus relevan, berdaya maju dan mempunyai hala tuju yang jelas dalam melaksanakan dasar dan polisi kerajaan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi Negeri.

57. Kerajaan Negeri menerusi Kementerian Kewangan akan mengaktifkan semula Jawatankuasa Pemandu yang bertanggungjawab melaksanakan kajian dan penilaian komprehensif terhadap pencapaian, kedudukan dan perancangan masa depan Badan-badan Berkanun dan Syarikat-syarikat Kerajaan Negeri.

Tuan Speaker,

58. Saya merakamkan penghargaan kepada Badan-badan Berkanun dan Syarikat-syarikat Kerajaan Negeri yang telah membayar dividen pada tahun 2011. Antara mereka yang telah mengisytiharkan dividen kepada Kerajaan Negeri ialah Rakyat Berjaya Sdn. Bhd, Sabah Berjaya Sdn.Bhd, Sawit Kinabalu Bhd, Warisan Harta Sabah Sdn Bhd, Borneo Samudera Sdn.Bhd, Sabah Development Bank Berhad, Perbadanan Pinjaman Sabah, Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah, Sabah Energy Corporation Sdn.Bhd dan Progressive Insurance Bhd. Saya berharap dividen ini akan terus meningkat di masa hadapan. Ke arah ini, Badanbadan Berkanun dan Syarikat-syarikat Kerajaan Negeri hendaklah berkerja dengan lebih gigih lagi dan menunjukkan komitmen dalam meningkatkan prestasi masing-masing.

Pengumuman Khas

Tuan Speaker,

59. Dengan keadaan ekonomi yang memberangsangkan pada ketika ini, Kerajaan Negeri yakin bahawa kutipan hasil sebenar pada tahun hadapan boleh menampung perbelanjaan yang dianggarkan. Oleh itu, pada tahun 2012, kita akan terus berusaha untuk mengurangkan beban rakyat, dan sebagai kerajaan yang prihatin serta bertanggungjawab, suka saya menegaskan bahawa tiada cukai baru yang akan diperkenalkan pada tahun hadapan.

60. Sebagaimana yang kita sedia maklum, bahawa dalam Bajet 2011 Kerajaan telah pun menaikkan peruntukan khas Ahli-ahli Yang Berhormat daripada RM600 ribu sebelum itu kepada RM1.0 juta. Menyedari akan keperluan rakyat yang kian bertambah dan bagi membantu meringankan bebanan mereka, sukacita saya memaklumkan bahawa melalui Bajet 2012, peruntukan ‘sentuhan kasih’ sebanyak RM500 ribu akan diberikan kepada setiap kawasan Dewan Undangan Negeri, iaitu tambahan kepada peruntukan khas sebanyak RM1.0 juta yang sedia ada, sebagai tanda keprihatinan dan penghargaan kita kepada rakyat yang dikasihi.

Tuan Speaker,

61. Saya bersetuju dengan Y.A.B Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Malaysia yang kita kasihi, bahawa tahap kesihatan dan jangka hayat rakyat negara kita telah meningkat di mana kemahiran dan kepakaran penjawat awam dalam bidang masing-masing telah bertambah dan masih relevan untuk kemajuan negara. Oleh itu, Kerajaan Negeri turut menyokong keputusan kerajaan pusat untuk melanjutkan umur bersara wajib penjawat awam daripada 58 tahun kepada 60 tahun.

62. Kerajaan Barisan Nasional menganggap bahawa penjawat awam adalah rakan kongsi pentadbiran negeri dan negara yang perlu dibela dan dihargai sumbangan mereka. Oleh itu, penjawat awam tidak akan dilupai jasa dan bakti mereka yang turut sama bertungkus lumus, mentadbir serta memajukan negeri dan negara yang tercinta.

Hujung minggu makan ambuyat,

Dihidang dengan air kelapa;

Dalam berjuang membela rakyat;

Warga pekerja tidak dilupa.

63. Sehubungan dengan itu, bagi menghargai sumbangan dan jasa para penjawat awam negeri, saya dengan sukacitanya mengumumkan pemberian bonus setengah bulan gaji atau dengan bayaran minimum RM500 sebagai tambahan kepada jumlah yang telah diberi pada bulan Ogos yang lalu. Pembayaran ini akan dibuat bersekali dengan gaji bulan Disember tahun ini.

Penutup

Tuan Speaker,

64. Kerajaan Barisan Nasional Negeri bertanggungjawab untuk menyediakan masa depan yang cemerlang untuk rakyat negeri ini. Saya bersama rakan-rakan Barisan Nasional Negeri akan memastikan semua program pembangunan yang dirancang melalui Bajet 2012 ini akan dilaksanakan dengan jayanya demi kesejahteraan dan kemakmuran semua.

65. Sayugia diingat, bahawa dalam memikul amanah dan tanggungjawab yang berat ini, Kerajaan sentiasa berhadapan dengan pelbagai cabaran dan rintangan. Pihak pembangkang tidak akan berhenti daripada terus menidakkan segala kebaikan dan kemajuan yang Kerajaan telah lakukan. Golongan pembangkang juga tidak akan memperakui kejayaan dan pencapaian cemerlang Kerajaan. Pun begitu, Kerajaan Barisan Nasional percaya, rakyat kini sudah pandai menilai dan bijak menganalisis – yang mana intan dan yang mana kaca, yang mana batu dan yang mana permata. Kemajuan yang telah kita capai dan kemakmuran yang kita kecapi selama ini, adalah berpunca daripada kerja keras kita yang tidak kenal penat lelah untuk terus berkhidmat dan berbakti demi rakyat dan negeri tercinta, sesuai dengan tingginya makna pantun ini :

Sajak dicipta bersimpul ayat,

Ilham datang di waktu pagi;

BN berjuang membela rakyat,

Bukan BN siapa lagi?

Tuan Speaker,

66. Dengan prestasi dan rekod yang cemerlang, Kerajaan Barisan Nasional akan terus berjuang dan berbakti, membela dan memakmurkan rakyat dan negeri bertuah ini. Tidak kira di kota atau di desa, nasib rakyat akan terus dibela. Sesungguhnya, Kerajaan Barisan Nasional amat memahami keperluan dan kehendak rakyat. Lantaran itu, kita mewajibkan amalan ’turun padang’ bagi semua wakil rakyat Barisan Nasional, dengan sokongan padu para penjawat awam, supaya keluhan dan harapan golongan akar umbi dapat didengar, dibantu dan dipenuhi sesuai dengan agenda dalam Gagasan 1 Malaysia – Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Naik perahu pergi ke seberang,

Bawa pukat panjang berjela;

Dari dahulu hingga sekarang,

Rakyat jelata terus dibela.

Tuan Speaker,

67. Kerajaan Barisan Nasional yakin, di tahun-tahun yang mendatang, Sabah akan terus bergerak maju, membangun dan progresif dengan hebatnya, sebagaimana yang kita semua harapkan. Waima berhadapan dengan gelombang ekonomi global yang tidak menentu, namun kita tetap bertekad dan terus berusaha demi memastikan ekonomi Sabah diurus dengan cekap dan efisien, berdasarkan pengalaman serta kepakaran, di samping ‘political will’ yang kuat untuk kita pertingkatkan pembangunan dan kemakmuran demi kebahagiaan dan kesejahteraan rakyat seluruhnya.

68. Suka saya mengingatkan sekali lagi, bahawa bagi memastikan kejayaan dan pencapaian sepenuhnya matlamat dan objektif Bajet 2012, sokongan padu rakyat serta semua pihak, adalah sangat mustahak. Sesungguhnya, perjalanan kita memerlukan gandingan dan kerjasama erat semua pihak untuk melonjakkan dan menjadikan negeri kita yang tercinta ini sejahtera dan makmur selama-lamanya.

69. Justeru, dalam menunaikan apa yang telah dijanjikan; dalam memenuhi apa yang dikehendaki; dan sebagaimana peribahasa ibunda yang berbunyi “Kata Mesti Dikota”, maka Kerajaan Barisan Nasional ini bertekad menyusun segala perancangan dan strategi agar rakyat dan negeri tercinta ini sentiasa dalam kesejahteraan dengan menikmati kemajuan, keamanan dan kemakmuran yang berkekalan.

70. Bersempena Pembentangan Bajet 2012 pada hari Jumaat yang mulia ini dan penuh keberkatan, sama-samalah kita berdoa semoga Allah SWT akan terus memberikan hidayah dan kekuatan serta melimpahkan kemakmuran kepada rakyat dan negeri yang tercinta ini demi kesejahteraan kita dan generasi yang akan datang. Kita merancang, kita berusaha dan kita memerintah dengan hati yang satu dan ikhlas, kerana kesatuan dan keikhlasan itulah, tunjang kekuatan dan keteguhan kita selama ini.

Tuan Speaker,

Saya mohon mencadangkan.

No comments:

Post a Comment