Oleh: MATURIN MOHAMMAD
PEMBENTANGAN Bajet 2012 kini sudah berlalu beberapa hari lalu, namun DUN Melalap kempunan tidak disebut-sebut pun di sepanjang persidangan itu untuk mendapat limpahan peruntukan pembangunan; sedangkan Bajet kali ini merupakan yang tertinggi dalam sejarah, untuk menjana pembangunan tahun 2012 iaitu sejumlah RM4.048 billion.
Malangnya, kawasan DUN Melalap yang diwakili Naib Presiden PBS, Datuk Radin Malleh seakan-akan terus tercicir dari senarai agehan projek pembangunan; apatah lagi kelibatnya tidak kedengaran bersuara di sepanjang persidangan itu untuk mendapatkan agehan kek Bajet 2012.
“Ramai yang tertanya-tanya, apakah kerajaan tidak sedar berapa banyak cadangan pembangunan yang pernah dijanjikan mereka sebelum PRU12, seperti bangunan kedai Pekan Kecil Melalap, pembinaan sebuah sekolah menengah dan banyak lagi yang berkaitan dengan pembangunan ekonomi di kawasan ini, tetapi kenapa masalah tersebut terus disenyapkan,” kata Pengerusi Pergerakan Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP) Zon Pedalaman, Rudy Sulaiman Mairi.
Rudy yang juga Naib Ketua Pemuda SAPP Pusat seterusnya berkata, beliau menyifatkan jentera kerajaan BN telah gagal memenuhi aspirasi rakyat yang selama ini amat mengharapkan BN mampu melestarikan pembangunan yang mampan di setiap kawasan khususnya di DUN Melalap dengan begitu pesat sekali; namun sebaliknya harapan mereka telah hancur berkecai kerana nampaknya setiap pembangunan yang dijanjikan ia sekadar ‘Janji Terang Bulan’ yang bermaksud, janji kosong.
Beliau berkata, kelewatan mendapatkan hak milik tanah yang dibeli daripada sebuah syarikat GLC seluas lebih 200 hektar untuk dijadikan tapak Pekan Kecil Melalap menunjukkan kecacatan jentera kerajaan.
Kata Rudy lagi; sepatutnya kerajaan menggunakan tapak tanah milik Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) yang kini tidak digunakan sebagai tapak permulaan untuk membina prasarana utama, khususnya bangunan pejabat kerajaan.
“Kalau bangunan kecil-kecilan sudah bermula, adalah sudah cukup mengatakan bahawa pekan kecil Melalap sudah bermula operasinya; daripada keadaan sekarang yang kelihatan senyap, lebih teruk daripada 48 tahun lalu. Walhal nama pekan kecil Melalap sudah gah tersebar luas,” tegas Rudy.
Menurut Rudy, pihaknya faham karenah birokrasi kerajaan kerana tidak dapat meluluskan permohonan dalam sekelip mata; apatah lagi wakil rakyat tidak memiliki kuasa ajaib seperti lampu Aladdin, tetapi dalam masa hampir lima tahun, ‘Habuk Pun Tarak!’
Rudy turut menyarankan ADUN Melalap agar mengikut jejak langkah yang dilakukan ADUN Pantai Manis, Datuk Rahim Ismail yang tidak putus-putus menyuarakan permohonannya untuk mendapatkan agehan pembangunan pada setiap kali persidangan DUN berlangsung.
No comments:
Post a Comment