DETIK BERSEJARAH...Lajim bersama Timbalannya Kamarlin serta barisan ahli majlis tertinggi (PBBS) menunjukan isyarat 1 malaysia selepas melakukan majlis pecah tanah tersebut.
Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID
KEHADIRAN Tahun Baru Islam (Maal Hijrah 1433) tahun ini membawa pengertian yang amat bermakna bagi masyarakat Bisaya di Sabah kerana satu lagi sejarah dicipta bagi Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) yang kini berusia 44 tahun kerana bakal memiliki bangunan Pusat Kebudayaan dan Keseniannya sendiri, sekali gus akan menempatkan ibu pejabat persatuan tersebut.
Majlis pecah tanah bagi tapak bangunan tersebut telah disempurnakan sendiri oleh Presidennya, Janang Gayuh Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin pagi kelmarin serentak dengan sambutan Maal Hijrah; membawa pengertian yang jelas bahawa penghijrahan PBBS khususnya masyarakat Bisaya di negeri ini telah melangkah setapak lagi ke hadapan dalam mengangkat martabat suku kaum Bisaya di negeri ini.
Sejumlah RM3 juta diperuntukkan oleh kerajaan persekutuan bagi membina Pusat Kebudayaan Dan Kesenian Bisaya di atas tapak seluas 2.4 hektar dan merupakan Pusat Budaya ketiga seumpama itu di negeri ini selepas Pusat Kebudayaan Dusun (KDCA) di penampang dan Pusat kebudayaan Murut di Tenom.
Menurut Lajim pembinaan pusat tersebut mampu mengangkat martabat seni budaya tempatan khususnya masyarakat Bisaya ke persada antara bangsa.
LAKARAN...Lakaran pelukis Dewan Pusat Kebudayaan dan Kesenian Bisaya apabila siap sepenuhnya nanti.
Sambil menzahirkan penghargaan dan terima kasihnya kepada kerajaan di bawah Kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd.Najib Tun Abdul Razak yang meluluskan peruntukan untuk membina pusat tersebut, Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berharap pusat tersebut akan menjadi platform kepada masyarakat Bisaya; dengan menjadikannya sebagai institusi bagi menjalin perpaduan dan mempertahankan nilai-nilai budaya masyarakat Bisaya agar tidak pupus ditelan zaman
Menurut Lajim, projek tersebut dijangka siap pertengahan 2013 melibatkan pemilihan 10 kontraktor tempatan untuk melaksanakannya. Plan rekabentuk bangunan ini adalah hasil kreativiti anak jati daerah Beaufort
Jelasnya, jika projek tersebut siap mengikut jadual, ia akan dilengkapi bangunan blok pentadbiran, dewan kecil, dewan galeri dan pameran serta pusat kraftangan dan restoran yang menghidangkan masakan tradisi popular di kalangan masyarakat Bisaya seperti 'Ambuyat' yang diperbuat daripada sagu.
Sementara itu beberapa orang yang sempat ditemui turut menzahirkan rasa bangga dan terima kasih mereka kepada kerajaan yang meluluskan peruntukan untuk membina pusat tersebut dimana menurut mereka ianya merupakan satu pengiktarafan kerajaan kepada masyarakat bisaya walaupun suku kaum bisaya merupakan suku kaum minoriti di negeri ini namun inilah keikhlasan kerajaan membuktikan slogan ‘1Malaysia’ diterjemahkan sepenuhnya.
No comments:
Post a Comment