Monday 28 November 2011

MISTERI PERUNTUKAN RM120 JUTA SDC



WAWANCARA...Liew sedang diwawancara oleh Sabahkini.net mengenai isu naik taraf Lapangan Terbang Sandakan.

Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI

TIMBALAN Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk V.K Liew berkata projek naik taraf Lapangan Terbang Sandakan sudahpun diajukan kepada menteri yang berkenaan untuk dilaksanakan pada bila-bila masa sahaja.

“Peruntukan sudahpun ada hanya menunggu lampu isyarat hijau untuk memulakan pelaksanaan projek itu dimulakan dalam masa terdekat ini,” kata V.K.Liew.

Kata V.K.Liew, memang amat penting Lapangan Terbang Sandakan dinaik taraf kerana menjadi pintu masuk ke Sabah, khususnya para pelancong dari dalam dan luar negara.

Beliau berkata demikian kepada media sejurus selepas memeriksa Tapak Projek Ruang Letak Kereta Teksi di Terminal Bas Kota Kinabalu-Sandakan kelmarin.

“Kita sedar kelewatan projek tersebut telah menimbulkan pelbagai reaksi dan menjadi isu di kalangan masyarakat khususnya parti-parti pembangkang yang sering menghentam para pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Rahim Bakri telahpun menyalurkan peruntukan projek naik taraf Lapangan Terbang Sandakan sebanyak RM120 juta kepada Sabah Development Corridor (SDC) baru-baru ini untuk pelaksanaan projek tersebut. ” jelas V.K Liew.

Sebagai Ahli Parlimen Sandakan, kata V.K.Liew, memang menjadi impian beliau agar lapangan terbang ini dinaik taraf segera kerana daerah Sandakan merupakan destinasi pelancongan terkemuka dalam kalendar pelancongan dunia.

Bagaimanapun, kata V.K.Liew, beliau akan menyusul isu ini kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia untuk mempastikan bila agaknya projek naik taraf Lapangan Terbang Sandakan boleh dimulakan dan diharap rakyat di Sandakan bersabar, bertenang dan jangan mudah mendengar hasutan-hasutan songsang daripada pihak pembangkang yang sering memutarbelitkan isu-isu remeh sebagai propaganda demi kepentingan politik mereka.

No comments:

Post a Comment