Oleh : NIK MUHAMMAD KHAIRUL NIK MUHAMMAD NOR
GABUNGAN Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) Negeri Sarawak hari ini menyambut baik keputusan Muktamar GAMIS Pusat yang berlangsung baru-baru ini. Keputusan pemilihan yang telah dibuat secara kaedah Syura tersebut telah mengangkat Akram Ikrami Taib Azamuddin sebagai Presidennya kali ini untuk mengemudi GAMIS bagi sesi 2011-2012.
Pengerusinya, Mohd Ishack Abbas berkata, GAMIS Sarawak merakamkan sekalung tahniah atas kejayaan pemilihan kali ini dan GAMIS Sarawak akan memberi sepenuh iltizam bagi berusaha membantu mengerakkan GAMIS selaku gerakan mahasiswa Islam yang terbesar di Malaysia.
“Kami di peringkat negeri Sarawak berdiri teguh di atas keputusan pemilihan kali ini dan berpuas hati dengan kaedah pemilihan secara Syura yang dilihat masih releven dijalankan sehingga ke hari ini setelah meneliti beberapa aspek-aspek tertentu” katanya.
Mengulas polemik yang tercetus baru-baru ini khususnya menyentuh mengenai kaedah pemilihan GAMIS oleh beberapa pihak, beliau menyatakan bahawa GAMIS Sarawak juga bersikap seperti GAMIS Pusat yang menyambut baik saranan tersebut sebagai satu cadangan yang baik untuk diteliti.
“Walaupun ada cadangan untuk mengubah mekanisme sistem pemilihan GAMIS, namun pengekalan terhadap sistem yang sedia ada itu perlu.
“Tapi itu bukan bermakna saranan itu tidak bagus, mungkin pemilihan secara demokrasi itu akan diteliti dan dikaji untuk dibuat pada sesi akan datang” ujarnya.
Menurutnya, apa yang lebih membimbangkan sebenarnya ialah kewujudan golongan yang tidak sealiran dalam mengembangkan idealisme mahasiswa dan sering saja menongkah arus bagi mengangkat populariti individu semata.
“Kita tidak mahu ada agenda tertentu disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab secara halus dan licik. Mereka seringkali menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat kampus” katanya.
GAMIS Sarawak sekali lagi bertegas tidak sesekali akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjadi ’parasit’ dalam membuat provokasi dengan mengelirukan dunia pemikiran intelek mahasiswa.
No comments:
Post a Comment