Monday 21 November 2011

MASWINGS PENTING BAGI SABAH, SARAWAK



MASwings, syarikat penerbangan yang berpangkalan di Malaysia timur, telah menunjukkan perkembangan kukuh, berubah daripada sebagai pengendali pesawat Fokker kepada syarikat dengan pesawat baru dan canggih seperti ATR 72-500.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata kekerapan penerbangan juga meningkat dengan ketara dan berharap syarikat penerbangan itu akan terus berkembang.

"Saya dimaklumkan bahawa MASwings kini beroperasi lebih daripada 950 penerbangan seminggu, membawa lebih 1.2 juta penumpang setahun.

"Setelah menyaksikan perkembangan MASwings sejak empat tahun lepas, tidak diragukan lagi bahawa syarikat penerbangan ini akan terus berkembang dan mencatatkan laluan baru dalam menawarkan perkhidmatan yang menarik kepada pelanggan.

"Ini penting memandangkan syarikat penerbangan perlu sentiasa selaras dengan keperluan pengguna dan pasaran," kata beliau pada majlis makan malam ulangtahun keempat MASwings di sini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Masidi Manjun.

Musa juga menyatakan keyakinan bahawa MASwings akan terus menyumbang ke arah pembangunan pelancongan di Sabah dan Sarawak.

"Sesungguhnya, bagi pelancongan berkembang, perjalanan udara termasuk ke pekan kecil amat diperlukan. Terdapat pelbagai produk pelancongan dan warisan di kawasan-kawasan yang dekat dengan Sandakan, Tawau dan Lahad Datu, dan bagi pengembara mengakses kawasan ini, perjalanan udara adalah penting.

"Saya pasti MASwings dapat terus memenuhi keperluan ini berdasarkan kepada kemampuan pesawatnya 10 ATR 72-500 dan 04 DHC-6 Twin Otters. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment