Friday 25 November 2011

RM41.7 JUTA UNTUK 'AKHIRI ZAMAN MISKIN'


KERAJAAN Sabah membelanjakan RM41.7 juta untuk program 1Azam (Akhiri Zaman Miskin) setakat bulan Oktober tahun ini yang melibatkan 7,555 peserta.

Jumlah keseluruhan peruntukan untuk tujuan itu ialah RM120 juta, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datu Nasrun Datu Mansur ketika menjawab soalan Kamarlin Ombi (BN-Lumadan) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini Khamis.

Program 1Azam Tani bertujuan membantu penduduk luar bandar mengusahakan projek-projek pertanian termasuk ternakan ayam kampung, lebah madu, tanaman cendawan, limau bali, pisang dan tanaman herba, serta rempah dan aromatik seperti vanila dan halia.

Datu Nasrun berkata bagi mendukung usaha kerajaan dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah dipertanggungjawabkan bertindak sebagai agensi peneraju bagi membangunkan prasarana luar bandar di bawah pakej Bidang Keberhasilan Utama Negara bagi tempoh 2010 hingga 2012.

Projek-projek yang dilaksanakan meliputi program jalan luar bandar, program bekalan air luar bandar, program bekalan elektrik luar bandar dan program bantuan rumah.

Nasrun berkata Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah pula memberi penekanan kepada pelaksanaan program-program peningkatan pendapatan dan kualiti hidup kumpulan sasar secara mapan.

Ini termasuk penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas luar bandar serta bantuan untuk membina dan membaik pulih rumah golongan termiskin, katanya. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment