CERIA....Seorang OKU kelihatan ceria dan gembira menerima cenderamata daripada Azizah.
Oleh : ABDUL BAKAR ESAH
JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna (KPMHEP) telah menjalankan pelbagai aktiviti dan program untuk meletakkan hak orang kelainan upaya (OKU) tetap seimbang dalam masyarakat.
Ini membuktikan kesungguhan serta komitmen tinggi kerajaan untuk membawa bersama OKU menuju ke era kegemilangan dan kecemerlangan di samping mewujudkan sebuah masyarakat penyayang dan prihatin terhadap semua golongan masyarakat.
Baru-baru ini Karnival OKU Peringkat Negeri Sabah telah diadakan di kompleks Sukan Beaufort yang disertai 300 peserta daripada sembilan kontinjen. Program tersebut dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Hajah Azizah Hj Mohd Dun.
Azizah yang ditemui selepas program itu berkata karnival itu dilihat mampu membuka perhatian umum untuk meningkatkan kesedaran masyarakat supaya memberi lebih perhatian kepada isu-isu berkaitan kepada golongan OKU.
Di samping itu juga, program ini akan meniup semangat golongan OKU untuk berusaha dengan lebih gigih dan sama berdaya saing bersama masyarakat umum dan dapat menyumbang dalam pembangunan negara.
“Karnival OKU ini mampu memupuk penghayatan hak dan kesaksamaan masyarakat terhadap OKU di negara ini dalam memastikan penyertaan penuh dan mengisi peluang dalam pelbagai bidang kehidupan untuk OKU berteraskan falsafah bahawa OKU mempunyai hak yang sama dengan warganegara-warganegara lain,” katanya.
Beliau berkata, terdapatnya peluang pekerjaan yang menyeluruh seperti penyertaan sama dalam membuat sesuatu keputusan, normalisasi dan sosialisasi, perluasan kemudahan khas (accessibility) dan juga wujudnya kemudahan rekreasi dan aktiviti kebudayaan untuk OKU.
Azizah yang juga Adun Klias itu berkata, ketidakupayan seseorang bukanlah penghalang untuknya maju dan bergerak sama dalam membangunkan sesebuah negara.
“Kelainan upaya tidak perlu dilihat sebagai suatu masalah dalam konteks pembangunan sosial ataupun ekonomi. Iklim serta suasana keliling masyarakat yang mempunyai penerimaan positif kepada orang kelainan upaya daripada segi penerimaan dan sokongan yang diberi serta memahami keperluan dan kehendak OKU memungkinkan pelbagai potensi pencapaian; yang kita sendiri tidak menduganya pada suatu masa dahulu,” katanya.
Beliau berkata ramai golongan kelainan upaya yang mampu mencapai kecemerlang dan menempah nama sehingga ke peringkat global
“Suka untuk saya memberi contoh untuk menyuntik motivasi para OKU tentang salah seorang tokoh negara, Allahyarham Senator Prof. Dato’ Dr. Ismail Md. Salleh yang merupakan Senator pertama di negara ini daripada OKU penglihatan. Beliau merupakan pakar ekonomi negara yang bermula sebagai tenaga pengajar IPTA, pernah menjawat Timbalan Ketua Pengarah ISIS selama hampir dua tahun (1993-94) dan kemudian menjadi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif dan akhirnya Naib Canselor Kolej Universiti Antarabangsa Twintech,” katanya.
Beliau turut memberitahu sempena Perhimpunan Hari Pekerja 2011, Mahadzir Derani Abdul Ghani telah menerima Anugerah Pekerja Cemerlang (OKU) yang terserlah dalam kerjayanya dan bidang sukan catur.
BUDAYA SIHAT...Azizah (empat kiri), Herbert (dua kiri), Asnimar (tiga kiri), Paiman (dua kanan) dan Wong (kanan) bersenamrobik bersama kontinjen dan orang ramai pada Karnival OKU Peringkat Negeri di Beaufort.
UJI BAKAT....Seorang OKU menguji bakat dalam pertandingan karaoke.
DAFTARLAH....Dari kiri; Etong, Azizah, Herbert dan Asnimar menunjukkan risalah kempen pendaftaran OKU dan Kad Pendaftaran OKU.
“Walapun cacat penglihatan namun siapa sangka bahawa beliau telah menjuarai pelbagai pertandingan catur di dalam dan luar negeri. (Antaranya mewakili Malaysia pada Sukan Para Asean ke-4 di Korat, Thailand pada 2008 dan mewakili Malaysia dalam Pertandingan Catur Peringkat Asia di Mumbai, India pada 2003.)
Azizah juga turut berbangga dengan kejayaan seorang anak muda OKU dari kawasan Beaufort iaitu Sauji Mohamad berserta kumpulan OKU yang telah mewakili Malaysia menjuarai sukan bola Paralimpik peringkat dunia baru-baru ini.
Beliau berkata kejayaan yang dicapai oleh golongan OKU itu jelas menunjukkan kebolehan untuk mengecapi kejayaan dan kecemerlangan melalui segala usaha dan mengasah bakat dan kecenderungan masing-masing.
Azizah berkata seramai 18,142 OKU telah berdaftar dengan jabatan sehingga Oktober tahun ini.
Bagaimanapun katanya beliau percaya masih ramai lagi OKU yang belum mendaftar. Sehubungan itu beliau menyeru mereka yang mempunyai ahli keluarga OKU agar segera mendaftar bagi membolehkan kerajaan menyalurkan sebarang bantuan, kemudahan dan peluang kerjaya.
Program itu diisi dengan pelbagai acara seperti pameran hasil produk OKU, pertandingan karaoke OKU, senam robik, persembahan silap mata dan sebagainya.
Pihak penganjur juga turut menyediakan kaunter pendaftaran OKU di samping pemeriksaan kesihatan oleh Jabatan Kesihatan.
Hadir sama Pembantu Menteri Pembangunan dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Herbert Timbun Lagadan; Setiausaha Tetap KPMHEP, Datuk Asnimar Sukardi; Pegawai Daerah Beaufort, Wong Foo Tin; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Etong Terang dan Pegawai Kebajikan Beaufort, Rokiah Salleh.
No comments:
Post a Comment