Wednesday, 23 November 2011

NYAWA 50 PELAJAR TAHFIZ TERANCAM



NYAWA lebih 50 pelajar-pelajar tahfiz dan makmum Masjid Bandar Kota Kinabalu bakal terancam apabila masjid itu yang terletak di lereng bukit dan turut menempatkan asrama serta tempat pengajian mereka, tanahnya runtuh malam pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, hujan lebat sejak lebih dua jam sebelum itu menyebabkan bahagian dapur asrama itu runtuh dibawa arus deras air.

Kini asrama mereka seperti berada di hujung tanduk apabila ia betul-betul terletak di tepi runtuhan tanah itu yang pada bila-bila masa boleh runtuh sekiranya hujan lebat sekali lagi turun.

Sekiranya ia berlaku, bukan sahaja nyawa pelajar-pelajar berkenaan diancam maut tetapi ia turut akan membahayakan beberapa buah rumah dan kedai yang berada di tepi lereng bukit itu.

Langkah drastik perlu segera dilakukan oleh pihak berkuasa bagi mengelak kejadian tanah runtuh yang mengorbankan 16 orang di Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Hulu Langat, Selangor Mei lalu, kembali terjadi di Sabah.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin yang melawat masjid itu hari ini melahirkan rasa kebimbangannya kerana runtuhan itu agak teruk dan ia boleh bertukar menjadi lebih serius memandangkan keadaan cuaca yang sering hujan sejak kebelakangan ini.

Beliau yang juga pengerusi masjid itu meminta Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat memantau keadaan runtuhan itu dan melakukan tindakan segera bagi mengelak ia menjadi lebih serius hingga boleh mengorbankan nyawa.

“Saya harap pihak Jabatan Kerja Raya melihat keadaan runtuhan ini termasuk segera bertindak bagi mengawal runtuhan ini supaya tidak merebak, ia amat penting sebagai tindakan jangka pendek sebelum langkah susulan dilakukan.

“Jangan apabila adanya nyawa terkorban baru hendak bertindak, apabila ia berlaku, segalanya sudah terlambat,” katanya yang meminta pihak pengurusan Pusat Pengajian Tahfiz al-Quran As-Syatibiyah masjid itu memantau dan mengawal pergerakan pelajarnya seramai 55 orang itu.

Masjid ini sebenarnya sedang dalam proses pembaikan berperingkat beberapa bahagian bangunan yang uzur setelah diluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta oleh Kerajaan Pusat pada tahun lalu.

Tambah Lajim, sekiranya keadaan runtuhan itu semakin serius, pihaknya akan memindahkan kesemua pelajar itu ke asrama dan pusat pengajian sementara di ibu pejabat Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia).

Ditanya mengenai kos kerugian, beliau berkata, kos dapur itu dianggarkan hanya beberapa ribu sahaja tetapi sekiranya kesemua bangunan itu runtuh, ia boleh menelan sehingga ratusan ribu.

No comments:

Post a Comment