Tuesday 22 November 2011

BAJET 2012, SATU KEJUTAN TERISTIMEWA?


Oleh: MATURIN MOHAMMAD

NAIB Ketua Pergerakan Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP) CLC Melalap Tenom, Roger Stimin menyifatkan belanjawan Negeri Sabah untuk tahun 2012 sejumlah RM4.048 billion sebagai ‘teristimewa’ kerana merupakan satu satunya belanjawan yang terbesar setakat ini di Sabah.

Bagaimana pun tegas Roger, dengan jumlah yang begitu besar beliau mengharapkan agar kerajaan memberi penekanan kepada pembangunan infrastruktur yang melibatkan kerja-kerja membaikpulih bangunan-bangunan kerajaan yang terlalu daif; membaikpulih dan menaiktaraf jalan jalan kampung, khususnya di Pedalaman.

“Kita yakin dan percaya bahawa Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah yang diberi geran sebanyak RM 67.04 juta untuk perbekalan, manakala RM99.72 juta untuk pembangunan; meskipun ia dirasakan tidak dapat menampung pada keseluruhannya namun masalah di pedalaman, terutamanya DUN Melalap harus diberi perhatian sewajarnya,” tegas Roger.

Rakyat di pedalaman, kata Roger, semakin kecewa apabila kerajaan pernah berjanji membina infrastruktur bangunan kerajaan yang baik, termasuk deretan kedai untuk Pekan Kecil Melalap dan sebuah sekolah menengah; namun agak malang kerana janji yang dibuat sebelum PRU12 itu belum ditunai lagi.

Beliau seterusnya menegaskan bahawa, dengan jumlah belanjawan yang besar pada kali ini, tidak ada sebab kerajaan masih gagal untuk menunaikan janji pembangunan yang pernah mereka ungkapkan sebelum PRU12 seperti Koridor Pembangunan Sabah (SDC) wilayah Pedalaman yang kini dinanti-nantikan rakyat sehingga sekarang.

Roger menambah, beliau tidak bermaksud untuk mengajar itik berenang, namun niatnya sekadar mengingatkan kerajaan agar setiap perbelanjaan harus mengikut keutamaan yang mendahulukan kepentingan rakyat, terutamanya di kawasan luar bandar di pedalaman Sabah.

Tegasnya, banyak kelemahan pelaksanaan projek kerajaan yang hampir terbengkalai kerana urus tadbir yang lemah seperti projek menaiktaraf landasan keretapi dari Tanjung Aru ke Tenom yang telah menerima peruntukan sejumlah RM400 juta tetapi masih belum siap sepenuhnya sehingga ke hari ini.

Dalam pada itu, Roger turut mempertikaikan kewajaran pemberian bantuan rumah mesra rakyat kerana seharusnya sasaran itu kepada masyarakat yang benar-benar tidak berkemampuan kerana kemiskinan dan keuzuran. Malangnya, kebanyakan yang dapat di kalangan mereka yang sihat dan berkemampuan.

“Ramai yang telah melihat kepincangan ini dan ia bukan suatu maklumat semboronoh tetapi ternyata berlaku di sana sini. Jadi, keadaan sebegini pasti tersasar daripada kumpulan sasaran,” tegas Roger.

Roger turut mengharapkan agar agehan belanjawan yang diberikan kepada Kementerian Pembangunan Infrastruktur iaitu perbekalan sebanyak RM679.31 juta, manakala pembangunan RM 310.40 juta mampu untuk membaikpulih dan menaiktaraf beberapa batang jalanraya di kawasan DUN Melalap; terutamanya Jalanraya Tumantalik-Binsilon sejauh lima kilometer, yang sudah dijanjikan untuk dinaiktaraf lebih tiga tahun lalu.

Hakikatnya, kata Roger, rakyat merasa kebosanan jika setiap kali belanjawan dibentangkan, ada sahaja agehan peruntukan untuk membangun kawasan kawasan luar bandar, namun hasilnya tersangat minima.

No comments:

Post a Comment