Monday 28 November 2011

PAS BANTU MANGSA KEBAKARAN TG ARU BARU


Oleh : MOHD FIRDAUS MUHAMMAD NOOR

MANGSA kebakaran 55 buah rumah di Kampung Tanjung Aru Baru, dekat sini Khamis lalu menerima sumbangan daripada PAS Kawasan Putatan pagi tadi.

Sumbangan yang berbentuk pakaian dan keperluan harian itu disampaikan sendiri oleh Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Hatta Ramli yang juga AJK PAS Malaysia.

Dr. Hatta berkata, sumbangan yang diberikan itu diharap dapat membantu meringankan beban yang ditanggung mangsa.

Menurutnya, selain bantuan tersebut, pihaknya juga menggesa kerajaan Sabah agar lebih memberi perhatian termasuklah mengenai kesihatan, kemudahan tempat tinggal dan sebagainya.

“PAS menyampaikan ucapan dukacita dan simpati kepada mangsa kebakaran. Setakat hari ini, apa yang telah kita ketahui bahawa masa depan mereka ini masih tidak terjamin.

“PAS mengharapkan kerjasama agensi kerajaan seperti Jabatan Kesihatan untuk terus memantau kesihatan mangsa bagi memastikan air yang digunakan itu selamat untuk diminum dan digunakan.

“PAS khuatir, kemungkinan terdapat jangkitan penyakit berjangkit sekiranya langkah awal pemeriksaan ini tidak dilakukan,” katanya.

Menurut Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu yang turut menemui wakil mangsa kebakaran berkata, pihaknya bersimpati atas musibah yang dialami dan berusaha untuk membantu sedaya upaya bagi meringgankan beban yang terpaksa dihadapi.

“Kita juga dapat maklum bahawa, ada calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mengambil peperiksaan tahun ini terpaksa mengulangkaji dalam keadaan yang kurang selesa,” ujarnya yang juga Naib Yang DiPertua PAS Putatan.

Turut hadir menyampaikan sumbangan tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminuddin Aling; Naib Ketua Muslimat PAS Sabah, Faizah Antong dan Setiausaha PAS Sabah, Awang Laiman serta beberapa pimpinan PAS Sabah.

Khamis lalu, lebih 1,000 orang kehilangan tempat tinggal apabila sekurang-kurangnya 55 buah rumah di kampung tersebut musnah dalam kebakaran yang berlaku menjelang subuh pada jam 2.15 pagi.

Kebakaran itu bagaimanapun berjaya dikawal sepasukan bomba yang menggunakan lima buah jentera daripada Balai Bomba Sembulan, Lintas dan Penampang. Kebakaran itu juga berjaya dikawal pada jam 5.15 pagi dan operasi tamat sepenuhnya kira-kira jam 6.30 pagi.

Dalam kejadian itu, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan kerana semua penghuni berjaya menyelamatkan diri.

No comments:

Post a Comment