Sunday, 27 November 2011

BLOGGER ‘KOMOT’ DILUMPUHKAN QEH



Saudara Pengarang,

SEORANG Blogger Sabah yang juga Ahli Persatuan Blogger Sabah (PBS) No 77 yang menggunakan nama Komot Bin Simpodon nama sebenar Raily Ritus Bin Munsin, 20, kini ditahan di Hospital Queen Elizabeth kerana lumpuh akibat kecuaian pihak hospital.

Beliau telah pergi mendapatkan rawatan susulan penyakit TB di Wad C5, Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu pada 18 November 2011. Ketika rawatan sedang dijalankan, beliau mengadu sakit di bahagian perut.

Beliau kemudian dirujuk untuk membuat scan/imbasan dan mendapati ada saluran usus yang sempit dan perlu pembedahan teleskopik. Oleh kerana pihak keluarga tidak diberitahu terlebih dahulu akan pembedahan tersebut, maka adalah amat mengejutkan apabila pihak hospital menghubungi melalui telefon yang pesakit berada dalam keadaan tidak stabil dan meracau-racau.

Setelah ditenangkan oleh doktor dengan memberi ubat dipercayai ubat pelali, maka Pesakit tersebut hanya dapat berbaring di atas katil. Oleh kerana menyangkakan bahawa pesakit tersebut masih di bawah pengaruh ubat, maka pihak keluarga tidak bertindak apa-apa ketika melihat pesakit ini tidak mampu untuk duduk dan tangan di sebelah kiri lumpuh.

Bagaimanapun setelah pesakit ini ditempatkan di wad biasa, doktor yang bertugas gagal memberi jawapan apa sebenarnya yang berlaku dan apa jenis rawatan yang bakal diberikan.

Menurut beliau segala tindakan seterusnya akan hanya dapat dibuat pada hari selasa 30 November 2011 kerana pada hari itu, barulah semua Doktor bertugas kerana cuti.

Persoalannya sekarang, kami amat terkejut kerana seorang pesakit yang boleh berjalan sendiri pergi ke Hospital tiba-tiba menjadi lumpuh kerana rawatan di Hospital.

Dari pengamatan saya, layanan oleh para doktor hanya melepas batuk ditangga kerana beranggapan orang yang datang ke Hospital kerajaan hanya orang miskin dan tidak boleh berbuat apa-apa terhadap mereka.

Tambahan pula, mereka tidak berani untuk memutuskan apa tindakan seterusnya di atas kecuaian mereka ini.

Pihak keluarga telah membuat Laporan Polis di Balai Polis Karamunsing pada 26 November 2011, jam lebih kurang 2.30 petang melalui laporan bernombor Tanjung Aru/005634/11.

Pihak keluarga masih mencari Peguam atau badan-badan tertentu yang dapat membawa perkara ini ke pihak atasan supaya tidak akan berlaku di masa akan datang sekiranya kerajaan benar-benar prihatin kepada rakyat.

Untuk makluman semua Blogger, Raily Ritus Munsin adalah Pelajar tahun akhir di Politeknik Kota Kinabalu yang sedang dalam peperiksaan akhir dan mewakili Sabah dalam pertandingan mencipta Robot di Univesiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pada 2010.

Raily (pesakit) masih berada di katil No.5, Wad C5, Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu dan Ahli PBS yang ingin melawat boleh menghubungi keluarga beliau di talian 013 8817736 Duali (Abang Pesakit) atau saya sendiri.

Salam Hormat,

AHMAD JANIUS ABDULLAH (Abang Kepada Pesakit)

HP-013 8999993

(NOTA : Diharap agar semua Ahli PBS mendoakan agar Raily cepat sembuh dan keluarga mendapat pembelaan sebenarnya. PBS akan menganjurkan tabung untuk membantu Raily. Ahli PBS boleh melawat Raily dan menghulurkan derma terus kepada mangsa untuk membantu meringankan beban dan mendapatkan peguam untuk membela nasib beliau.)

1 comment: