Oleh : JAYANTHI GEETHA SUKUMARAN
SEJAK November 2010 hingga Oktober 2011 terdapat 3,571 orang anggota IMM-13 yang mana anggota baru adalah 151 orang yang mana terdiri daripada anak-anak IMM-13, yang selebihnya yang lama adalah 3,420 orang iaitu yang mendapat lanjutan. Tiada pengeluaran anggota baru dari luar yang datang ke Labuan.
Ahli Parlimen Labuan yang juga Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Haji Yusof Haji Mahal berkata demikian ketika membahaskan Butiran 020600 – Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam di Dewan Rakyat baru-baru ini.
”Seperti mana yang kita sedia maklum, sejumlah RM1.68 bilion bajet telah diperuntukkan. Berapakah bajet yang diperuntukkan untuk penyediaan rumah transit ataupun tempat transit tetap untuk pelarian-pelarian Filipina yang berada di Sabah dan juga yang berada di Labuan,” tanya Yusof yang memaklumkan pelarian tersebut tergolong dalam kumpulan IMM-13.
Menurut Yusof, apa yang merisaukan beliau ke manakah hala tuju anak-anak IMM-13 ini dan juga anggota yang lama kerana semakin bertambah setiap tahun, bukan sahaja di Labuan, malah di Sabah.
Yusof turut mempersoalkan perancangan kerajaan kerana sudah lebih daripada 20 tahun, mereka yang berstatus IMM-13 ini telah wujud dan berada di Sabah dan di Labuan.
”Sehingga kini kalau setiap tahun bertambah 100 orang, 200 orang ataupun 1,000 orang, ini bermakna yang akan datang sebahagian daripada penduduk Labuan itu terdiri daripada IMM-13,” kata Yusof yang keliru dengan cara penyelesaian KDN disebabkan sehingga kini seolah-olah tidak ada penyelesaian, tidak ada pengurangan dan juga tidak ada perancangan yang mantap untuk menentukan ke mana hala tuju mereka ini.
Tegas Yusof, memandangkan mereka ini orang luar daripada Labuan dan Sabah tetapi dapat tinggal dan menikmati apa juga perancangan kerajaan seperti hospital dan keistimewaan yang sama seperti orang tempatan.
”Jadi seolah-olah kita telah pun membelanjakan beratus-ratus juta untuk membiayai kehidupan mereka di Sabah dan juga di Labuan. Jadi kita mengharapkan sekurang-kurangnya pada suatu masa nanti ataupun dengan waktu yang singkat kerajaan harus memikirkan apakah cara penyelesaiannya untuk kehidupan mereka-mereka IMM13 ini,” kata Yusof.
Kerajaan Persekutuan kata Yusof, wajib mencari jalan penyelesaian berhubung persekolahan anak-anak IMM13 dan juga kehidupan mereka di masa yang akan datang.
”Oleh kerana mereka sentiasa bersaing terutama daripada segi pekerjaan bersaing dengan penduduk-penduduk tempatan. Jadi apakah mereka ini akan diberikan keistimewaan contohnya bukan kita menggalakkan untuk dijadikan warganegara, akan tetapi sekurang-kurangnya ada satu penyelesaian dalam hal kedudukan IMM13 di Labuan,” ujar Yusof yang menggesa agar KDN melihat isu ini dari perspektif rakyat Sabah dan Labuan yang terancam akibat kewujudan mereka.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Malaysia (Tuaran), Datuk Seri Panglima Wilfred Mojilip Bumburing turut mencelah berhubung isu IMM13 kerana sejak beberapa tahun ini apabila soalan dikemukakan mengenai jumlah mereka ini, jawapan daripada kerajaan melalui beberapa agensi berlainan.
”Ada mengatakan 60,000, ada yang mengatakan 80,000. Bolehkah Yang Berhormat kita minta sebenarnya jumlah sebenarnya pemegang IMM13 ini. Oleh sebab kita mahu tahu sebab jawapan dalam satu, dua tahun ini berbeza-beza. Kita tidak tahu berapa jumlahnya,” kata Bumburing yang mengakui baru menerima jawapan ’Denial Syndrome’ daripada KDN berhubung Memorandum yang dikemukakan kepada KDN tahun lalu.
No comments:
Post a Comment