Saudara Pengarang,
KAMI penduduk Labuan kecewa dan ingin bertanya kepada Menteri Pengangkutan di mana dua buah Feri Ro-Ro yang telah diluluskan oleh kerajaan untuk beroperasi dari Labuan ke Menumbok?
Kami difahamkan lesen feri telah diluluskan sejak tahun lepas kepada dua syarikat tetapi hingga sekarang ekor feri pun kami tidak nampak, seolah-olah penduduk Labuan senang dipermainkan atau ditipu.
Minggu lepas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhiddin Yassin telah memberitahu sebuah surat khabar tempatan semasa beliau melawat ke labuan bahawa jambatan dari Labuan ke Menumbok tidak akan dibina kerana kos terlampau tinggi.
Kami penduduk Labuan amat setuju dengan TPM membatalkan projek jambatan tersebut kerana jika ada jambatan, perniagaan di pulau ini akan susah dan tutup kedai.
Kami hanya minta supaya Kerajaan menambahkan dua buah feri kenderaan secepat mungkin kerana syarikat yang diberi lesen tidak mampu membeli feri untuk menjalankan operasi.
Dalam hal ini, kerajaan harus menarik balik lesen itu dan diberi kepada syarikat yang benar-benar layak dan bukan kroni atau proksi menteri yang hanye menjual air liur basi. Kami harap Feri baru akan muncul dan beroperasi sebelum PRU13 ini.
Salam Hormat.
AFENDI LAMMIT.
No comments:
Post a Comment