Wednesday 23 November 2011

POLIS SEMPORNA ABAIKAN KES JENAYAH



Oleh : JAYANTHI GEETHA SUKUMARAN

SEORANG pekebun berusia 54 tahun dari Kampung Kabimbangan, Pulau Bum Bum, Semporna, Jaafar Lamburakan, telah cedera dipukul empat orang lelaki, termasuk anggota polis, kesal kerana pihak polis Semporna yang dipertanggung jawabkan Mahkamah Majistret Tawau membuat pertuduhan terhadap pihak yang diadu masih belum menyediakan kertas pertuduhan, ketika laporan ini ditulis.

Menurut Jaafar, beliau telah membuat laporan polis pada 21 September 2009 dan kes aduan peribadi beliau telah diputuskan diserahkan kepada polis Semporna pada 23 April 2010, tetapi sehingga kelmarin (22 November 2011), beliau atau peguamnya belum menerima sebarang laporan daripada polis Semporna.

“Kes ini membuktikan polis Semporna cuai menjalankan tugas dan tidak mempedulikan arahan mahkamah. Saya mahu kes ini segera selesai, tetapi tidak tahu kenapa polis lengahkan kes ini sedangkan Mahkamah Majistret Tawau memutuskan ada unsur jenayah dan bukannya kes sivil,” kata Jaafar yang kesal kerana polis gagal membela rakyat teraniaya sepertinya.

Tegas Jaafar, dalam kejadian pada 21 September 2009, semasa beliau dalam perjalanan menuju ke rumah sepupunya, Hajjah Mariam, beliau telah ditumbuk, dipukul dan ditendang oleh empat lelaki yang dikenalinya iaitu Rosli Rusian (anggota polis), Hassan Rusian, Aman Akad dan Suhaimi Hassan.

Selepas serangan tersebut, Jaafar membuat laporan polis dan hasil pemeriksaan Pegawai Perubatan Hospital Semporna, Dr Soo Leet Keat, mengesahkan Jaafar mendapat kecederaan di pergelangan tangan, kepala sebelah kiri dan di bahagian badan.

Manakala Peguam Kanan Persekutuan Sabah, Salim Bin Soib @ Hamid dalam suratnya kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Semporna bil SBH/TPR/JLD01/2010 bertarikh 25 Oktober 2010 mengarahkan agar Polis Semporna mengemukakan kertas siasatan, tetapi sehingga kelmarin belum ada sebarang makluman balas daripada Balai Polis Semporna.

Dalam pada itu, laporan polis SED/RPT/4655/2009 yang dibuat pada jam lebih kurang 2.55 petang 21 September 2009, Jaafar mendakwa bahawa;

“Pada 21 Oktober 2009, jam lebih kurang 10.00 pagi, bertempat di Kg. Kabimbangan, Pulau Bum Bum, Semporna, semasa sedang berjalan untuk menuju ke rumah sepupu saya bernama Hajjah Mariam, dengan tiba-tiba saya nampak Rosli bin Rusian telah turun daripada rumah dan menuju ke arah saya dan berkata, “Apa Kau Tengok Saya?” dan saya juga menjawab “Apa Kau Tengok Saya, Saya Pun Manusia.” Pada masa itu Rosli telah cuba menumbuk saya, tetapi saya telah tangkis dengan menggunakan tangan sebelah kanan sehingga saya jatuh ke atas tanah. Pada masa itu juga 4 orang lelaki yang saya kenali telah memukul saya di bahagia kepala, badan serta ditendang. Setelah saya disabar oleh orang kampung dan saya terus balik ke rumah. Akibat daripada pukulan mereka, saya mendapat cedera di bahagian pergelangan tangan kanan, kepala sebelah kiri sakit serta sakit di bahagian badan dan setelah itu saya datang ke Balai Polis Semporna untuk membuat laporan polis. Saya membuat laporan untuk tindakan pihak polis selanjutnya. Sekian laporan saya.”

Satu aduan peribadi telah difailkan Jaafar melalui peguamnya di Mahkamah Majistret Tawau pada 23 Mac 2010 dan telah dibicarakan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Mahkamah Tinggi Tawau, Puan Ferhanshah Farene Binti Mohd Ferdaus.

Dalam perbicaraan tersebut, mahkamah telah memutuskan bahawa kes ini seterusnya dirujuk kepada pihak polis untuk penyiasatan selanjutnya berdasarkan adanya unsure jenayah yang dilakukan oleh tertuduh bersama rakannya.

Berikut rakaman penuh Perbicaraan tersebut;

Coram :

Puan Ferhanshah Farene binti Mohd Ferdaus, Penolong Kanan Pendaftaran, Mahkamah Tinggi Tawau.

Stand-in Counsel : Cik Norkamaria binti Sarif

Pendakwaraya : J. Jhon (bagi pihak)

Pihak Pengadu : Jaafar bin Lamburakan

Pihak yang diadu : Rosli bin Rusian & 3 orang yang lain

Kenyataan Pihak-Pihak:-

Pengadu:

Stand-in Counsel : Apa tujuan pakcik buat aduan ini?

Pengadu : Saya buat aduan ini untuk mohon tuntutan gantirugi di atas kecederaan yang saya alami ketika dipukul

* Mahkamah merujuk kepada laporan perubatan dan laporan polis

Orang yang diadu (Rosli bangun memberikan keterangan)

Mahkamah : Pihak pengadu mohon tuntutan gantirugi, ada apa-apa yang kamu ingin cakap?

Rosli : Iya ada. Sebenarnya begini puan, masa itu saya cuti kerja dari Sarawak. Jam 10.00 pagi saya masih tidur dirumah. Saya dengar riuh rendah dalam rumah dan bangun tengok. Bini Pengadu datang mengamuk di rumah saya. Saya nasihatkan isteri pengadu pulang untuk runding baik-baik. Pengadu halau saya dari kampung, hina keluarga saya. Semasa saya berdiri di jambatan, pengadu datang mahu pukul saya jadi saya tolak dia ke tanah untuk elak pengadu dari jatuh di bawah jambatan. Bila saya tolak dia, tiba-tiba dia bangun cekik anak buah saya. Selepas itu, abang saya Hasan datang ke tempat tersebut untuk tarik anak buah saya untuk leraikan. Tetapi pengadu masih pegang leher anak buah saya. Selepas itu dalam keadaan tarik menarik itu, ketiga-tiga rebah, abang saya di bawah, pengadu diatas. Abang saya ada lebam dihidung.

Mahkamah : Kamu ada bukti bahawa abang kamu cedera?

Rosli : Iya ada. Ini dia gambar, laporan perubatan dan laporan polis abang saya.

*Gambar dan laporan perubatan ditunjukkan kepada mahkamah

Mahkamah : Ada apa-apa lagi yang ingin kamu cakap?

Rosli : Iya, lepas itu pergaduhan pun dapat dileraikan. 20 minit kemudian pengadu datang semula ke tempat itu mahu mengamuk. Jiran-jiran kampung tahan dan nasihatkan Pegadu. Selain bukti abang saya, gambar tempat kejadian pun polis IPD Semporna SM Aziz sudah datang ambil gambar.

Mahkamah : Itu sahaja keterangan kamu?

Rosli : Iya Puan.

Pengadu :

Stand-in Counsel : Pakcik sudah dengar keterangan Rosli, adakah itu benar? Pakcik akun atau setuju?

Pengadu : Saya tidak akun dengan keterangan Rosli. Aduan Polis dan laporan perubatan saya itulah yang benar.

Mahkamah :

Polis : Atas keterangan pihak-pihak, kes ini ada unsur jenayah dan tindakan sivil adalah tidak sesuai Puan.

Keputusan : Have a criminal element and past to police for investigation.

No comments:

Post a Comment