Tuesday, 29 November 2011

JAMBATAN PULAU BUM-BUM, SATU KEPERLUAN



MENTERI di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Nasir Tun Sakaran menyifatkan cadangan pembinaan jambatan menghubungkan tanah besar Semporna dan Pulau Bum-Bum, yang pernah diumumkan kerajaan persekutuan sebelum ini, adalah satu keperluan penting untuk masyarakat di Semporna.

Nasir yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Senallang berkata, kini penduduk Pulau Bum-Bum bergantung penuh kepada perkhidmatan bot untuk berulang alik antara pulau itu dan tanah besar Semporna bagi urusan harian.

"Harapan daripada masyarakat Semporna, khususnya penduduk Pulau Bum-Bum, ingin melihat sebuah jambatan dapat dibina. Mereka yang tinggal di Pulau Bum-Bum bilangannya bukan kecil. Penduduknya melebihi 20,000 orang," katanya kepada pemberita ketika melawat lokasi tragedi feri karam di Sungai Manis, Lihak-Lihak, dekat sini hari ini.

Beliau berkata penggunaan bot di kalangan masyarakat Semporna di Pulau Bum-Bum kini bukan sahaja untuk membawa penumpang malah ia turut digunakan bagi mengangkut kenderaan dari tanah besar Semporna ke pulau itu.

Nasir mengakui menggunakan bot untuk mengangkut kenderaan ke Pulau Bum-Bum dari tanah besar Semporna memang berbahaya dan berisiko tinggi namun penduduk terpaksa berbuat demikian kerana mereka tidak mempunyai banyak pilihan.

"Kita akan berusaha memohon kepada kerajaan bagaimana untuk menyediakan pengangkutan atau laluan agar masyarakat dari tanah besar Semporna ke Pulau Bum-Bum dan sebaliknya lebih selesa dan pada masa yang sama keselamatan mereka terjamin," katanya. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment