Thursday 24 November 2011

PAJAK 350 RIBU HEKTAR KONTRA AKTA FELDA



Oleh : MUHAMMAD FAIZAL

TINDAKAN Felda ingin memajak tanah miliknya seluar 350 ribu hektar kepada Felda Global Ventures Holding Sdn Bhd (Felda Global Ventures) adalah bercanggah dengan Akta Felda.

Pajakan tanah seluas 350 ribu hektar ini dilakukan bertujuan bagi menjadikan Felda Global Ventures sebagai syarikat perladangan kedua terbesar di Malaysia selepas Sime Darby yang memiliki tanah seluas 392 ribu hektar.

Bercakap pada satu sidang media di Parlimen, Ahli Parlimen Telok Kemang, Datuk Kamarul Baharin Abbas menjelaskan Felda Global Ventures tidak mempunyai hak milik ke atas tanah tersebut.

"Tanah seluas 350 ribu hektar itu adalah milik Felda ataupun 500 ribu hektar adalah kepunyaan para peneroka. Felda Global Ventures hanya sekadar mengurus tanah-tanah tersebut.

"Felda Global Ventures hanya memiliki tanah seluas 42 ribu hektar untuk tujuan ladang sawit di Kalimantan yang masih di peringkat penanaman dan semaian.

"Kami berpendirian usaha memajakkan tanah Felda kepada Felda Global Ventures untuk tujuan penyenaraian bercanggah dengan Akta Felda, tujuan kerajaan negeri memberi tanah kepada Felda semata-mata adalah untuk tujuan dibangunkan dan menempatkan para peneroka di kawasan tersebut sejajar dengan semangat Akta Kemajuan Tanah sebagaimana yang dihasratkan Allahyarham Tun Razak sebelum ini," jelasnya.

Tambahnya lagi, berdasarkan Akta Kemajuan Tanah, kerajaan negeri tidak sewajarnya menyediakan tanah kepada Felda untuk diniagakan apatah lagi untuk tujuan penyenaraian di bursa saham.

"Oleh kerana itu kami menentang keras usaha untuk memajak tanah seluas 350 ribu hektar milik Felda kepada Felda Global Ventures untuk tujuan penyenaraian di bursa saham.

"Kami juga difahamkan dalam perjanjian Pajakan di antara Felda Global Ventures dengan Felda yang cuba disorokkan dari pengetahuan umum dan warga Felda di antara melibatkan tanah-tanah perladangan Felda yang diuruskan oleh Felda Plantation berjumlah 360 hektar.

"Serta tanah tambahan sedia ada Felda (additional existing land) yang telah dibenarkan oleh kerajaan negeri untuk dibangunkan oleh Felda bagi tujuan pertanian mahupun perniagaan serta perumahan generasi kedua," katanya lagi.

Dalam pada itu Kamarul Baharin memberitahu dalam Perjanjian Pajakan tersebut juga menyatakan bahawa jika tanah sudah mendapat geran maka ia akan diserahkan kepada Felda Global Ventures secara automatik dan jika belum ia akan dipajakkan kepada Felda Global Ventures untuk tiga tahun dan disambungkan pajakan secara automatik sehingga 99 tahun.

"Sekiranya peneroka pada masa ini menjalankan kegiatan perniagaan, pertanian atau sosial di atas tanah milik Felda maka ia akan diambil alih oleh Felda Global Ventures.

"Warga peneroka Felda perlu bersedia mengosongkan tanah-tanah tersebut atau membayar sewa jika diperlukan atau dirampas oleh Felda Global Ventures bagi aktiviti lebih menguntungkan Felda Global Ventures.

"Tanah-tanah masa hadapan (Future Land) yang bakal dibeli atau dimiliki Felda akan diserahkan kepada Felda Global Ventures," sambungnya lagi.

Kamarul Baharin juga menegaskan agar para peneroka mendapatkan khidmat peguam bagi menuntut Felda mengemukakan salinan Perjanjian Pajakan Tanah Felda untuk ditelitikan dan mengesahkan jaminan ini sebelum 1 Januari 2012.

Sebelum itu dalam ucapan Belanjawan 2012 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan penyenaraian Felda Global Ventures Sdn Bhd (Felda Global Ventures) di bursa saham pada separuh pertama tahun 2012.

Bagi tujuan penyenaraian itu, Felda berhasrat berhasrat memajak tanah miliknya.

No comments:

Post a Comment