Thursday 24 November 2011

BAJET 2012 RINGAN BEBAN IBUBAPA



BERUCAP...Ampong saran ibubapa guna RM100 sebaik-baiknya untuk keperluan persekolahan.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

IBUBAPA disaran agar menggunakan sebaik mungkin bantuan RM100 untuk memastikan persiapan anak-anak yang akan memasuki persekolahan pada awal tahun hadapan dapat berjalan lancar.

Walaupun bantuan tersebut tidak sebanyak mana tetapi setidak-tidaknya mampu meringankan beban sesebuah keluarga khususnya mereka yang berpendapatan rendah dan mempunyai ramai anak bersekolah.

Bantuan diumumkan dalam Bajet 2012 itu sebagai tanda keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi meringankan beban ibu bapa yang sekarang ini sedang sibuk untuk menyekolahkan anak-anak mereka.

Ketua Bahagian UMNO Sandakan Tan Sri Haji Ampong Hj Puyon berkata demikian ketika berucap pada majlis Penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan bagi Sekolah Menengah Kebangsaan Bestari (SMK) Sandakan kelmarin

Katanya, bantuan ini hendaklah digunakan sebaik mungkin supaya nanti apabila musim persekolahan sudah bermula maka keperluan sekolah seperti alat-alat tulis, pakaian, beg dan kasut sudah dapat disediakan selengkap-lengkapnya.

"Kita tidak mahu bila sesi persekolahan sudah bermula, ada pula anak-anak yang menghadapi masalah seperti kurang alat-alat tulis atau dari segi pakaian sekolah mereka. Kita mahu mereka lengkap kerana inilah sebenarnya matlamat kerajaan," jelasnya.

Ampong yang juga selaku Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Sandakan Bestari menjelaskan keikhlasan kerajaan BN yang memberikan bantuan seumpama ini menunjukkan bahawa kesungguhan untuk membela nasib rakyat tanpa mengira fahaman politik mahupun latar belakang sosial.

Ini katanya, BN tidak pernah mengabaikan tanggungjawab apatah lagi yang melibatkan pendidikan tentu bantuan-bantuan terus dihulurkan menerusi pelbagai pakej semata-mata untuk meringankan beban golongan ibubapa.

"Kerajaan kita tahu permasalahan rakyat. Sebab itulah bantuan berkenaan layak kepada setiap ibubapa tanpa mengira kaum dan fahaman masing-masing," ujarnya.

Majlis yang di langsungkan di Dewan SMK Bestari Sandakan telah dihadiri Pengetua SMK Bestari Sandakan Hajah Rodiah Hj Ahmad Untung, Penolong Kanan Pentadbiran Esmadi Ismail dan para ibubapa pelajar berkenaan.

No comments:

Post a Comment