Friday 25 November 2011

MAHATHIR SOKONG RUU PERHIMPUNAN AMAN



MANTAN Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyokong Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 yang dibentangkan di Parlimen semalam dan menyifatkan sebagai penting untuk mengawal perhimpunan supaya bebas daripada unsur-unsur keganasan atau perbuatan yang membawa kerugian kepada pihak lain.

"Tujuan akta ini baik...di samping untuk mencegah pihak tertentu mengambil kesempatan di tempat tertentu agar keganasan tidak menjadi masalah kepada negara," katanya apabila diminta mengulas pembentangan Rang Undang-undang itu.

Rang Undang-undang itu yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz semalam mengandungi antara lain transformasi terhadap kerangka undang-undang sedia ada berkaitan hak dalam perlembagaan untuk warga negara berhimpun dan menyertai perhimpunan secara aman tanpa senjata.

Dr Mahathir yang juga pengerusi Dairei Asia Sdn Bhd ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian pembuatan -60°C Super Freezer antara Dairei Asia Sdn Bhd (Dairei) dan Zun Utara Industri Sdn Bhd (Zun Utara) di kawasan perindustrian Bandar Darulaman di sini hari ini, berkata kerajaan bertanggungjawab melindungi hak orang ramai.

Di majlis menandatangani itu Dairei Asia diwakili dua Pengarah Eksekutifnya, Jiro Suzuki dan Yoshiaki Kurita manakala Zun Utara diwakili Pengarah Urusannya, Lim Hock Huat dan pengarah, Johnny Lim.

Mengenai saranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) diadakan serentak untuk menjimatkan perbelanjaan, masa dan tenaga, Dr Mahathir berkata ia adalah wajar.

Katanya mengadakan PRU secara berasingan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya membazir wang kerana ia membabitkan kos yang tinggi dan perbelanjaan kewangan negara akan meningkat.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata semalam, beliau akan menemui kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, kerajaan DAP Pulau Pinang dan kerajaan PAS Kedah dan Kelantan untuk menerangkan cadangan mengadakan PRU serentak bagi Parlimen dan DUN.

Pada 17 November lepas, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata DUN Selangor tidak akan dibubarkan pada awal tahun depan meskipun kerajaan persekutuan membubarkan Parlimen dan hanya bersedia menyertai PRU-13 jika diadakan selepas Jun 2012.

Mengenai pendirian Menteri Besar Selangor berhubung isu itu, Dr Mahathir berkata parti lawan tidak akan puas hati jika tidak membuat masalah kepada kerajaan. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment