Oleh : MOHD FIRDAUS MUHAMMAD NOOR
ANGGOTA keluarga mangsa yang ditahan pihak polis di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Sabah baru-baru ini menyerahkan satu memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).
Penyerahan itu dibuat di pejabat suruhanjaya itu di Kota Kinabalu kepada Pesuruhjaya SUHAKAM, Jannie Lasimbang kira-kira jam 9 pagi kelmarin.
Turut mengiringi penyerahan itu AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman, Pesuruhjaya PAS Sabah Mohd Aminuddin Aling, Ketua Penerangan, Hisammudin Sulaiman serta Ketua Pemuda Lahirul Latigu.
Dalam pertemuan sejam dengan SUHAKAM itu, anggota keluarga menuntut pihak SUHAKAM campur tangan dengan mendesak tahanan dibebaskan segera.
"Keluarga mahu pihak SUHAKAM jumpa tahanan. Kita dapat maklumat, kemungkinan mereka yang ditahan akan dipaksa mengaku bersalah," katanya yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.
Menurutnya, keluarga juga melahirkan kebimbangan jika mangsa yang ditahan itu dibawa keluar dari Kota Kinabalu sama ada ke Kuala Lumpur atau ke luar Sabah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam mendakwa kumpulan 13 individu yang ditahan pihak berkuasa di Tawau, Sabah awal minggu ini amat berbahaya kepada keselamatan negara dan serantau.
Menurut beliau, kumpulan 13 individu terbabit termasuk enam warga asing ’tidak takut mati’ dan ’mahu mati jihad’ dan menyifatkan isu penahanan 13 individu terbabit sebagai ’amat serius’ dan berkata, pada ketika ini mereka sedang ditahan di Pusat tahanan di Tawau.
Hishammuddin juga mendedahkan, operasi penahanan 13 individu yang dilaksanakan oleh unit khas anti keganasan polis turut menemui sejumlah besar senjata api dan bahan letupan.
Tuduhan jahat
Mengulas lanjut, Mazlan berkata tuduhan oleh Hishammuddin itu berniat jahat dan mendahului siasatan.
Menurutnya, anggota keluarga dalam pertemuan dengan SUHAKAM juga memaklumkan, mereka yakin mangsa tidak terlibat dengan aktiviti keganasan seperti didakwa oleh pihak KDN.
"Saya yakin mereka ditangkap untuk disiasat, tetapi bagaimana boleh menteri membuat kesimpulan mendahului siasatan polis.
"Bagi saya, ini sangkaan berniat jahat yang memalukan mangsa dan keluarga mangsa," katanya sambil mendesak mangsa tahanan dibawa ke mahkamah segera jika dibuktikan bersalah.
No comments:
Post a Comment