Wednesday 30 November 2011

NAJIB MAHU UMNO SEDIA HADAPI PRU ‘LUAR BIASA’


Oleh : CLARA CHOOI (TMI)

DATUK Seri Najib Razak mahu Umno mengutamakan perpaduan dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13, yang presiden parti itu melihat sebagai “sesuatu yang luar biasa” bagi perikatan yang mengepalai kerajaan pusat.

Najib yang juga Perdana Menteri mengarahkan pemimpin-pemimpin kanan parti pada satu taklimat di sini agar tidak memandang mudah atau mengambil ringan pilihan raya umum akan datang.

Sehubungan itu katanya, pemimpin-pemimpin parti seharusnya bertindak agak luar biasa kali ini.

“Beliau telah meminta pemimpin-pemimpin peringkat bahagian dan akar umbi agar bekerja luar biasa sebab pilihan raya ini adalah sesuatu yang luar biasa... banyak cabaran dan beliau mahu kami utamakan perpaduan,” kata Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid berkata demikian pada sidang media bersama dua rakan sejawatannya Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal selepas taklimat presiden sempena Perhimpunan Agung Umno 2011 di sini hari ini.

Beliau menambah bahawa Najib juga telah mengarahkan pemimpin-pemimpin Umno agar menyelesaikan kesemua konflik dalaman bagi memastikan bahawa tiada sabotaj atau unsur menikam dari belakang apabila tibanya pilihan raya.

Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, mesej itu dikeluarkan di sebalik peringatan berkali-kali daripada Najib bahawa hanya calon-calon yang boleh menang akan mewakili Barisan Nasional (BN).

“Konflik mesti diselesaikan bagi memastikan kejayaan kita sama ada kerusi peringkat kerusi ataupun parlimen,” kata beliau.

“Hanya ada satu pasukan iaitu Pasukan Umno,” kata Zahid.

Ketika bercakap kepada pemberita kemudian, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata, BN meletakkan sasaran untuk menawan balik empat negeri dikuasai Pakatan Rakyat sekarang iaitu Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment