Monday 28 November 2011

APA JADI DENGAN AGAMA ISLAM?


Saudara Pengarang,

RAMAI umat Islam, terutama di luar bandar terkesima dengan sumbangan Kerajaan Negeri sejumlah RM28 juta kepada Sekolah Mubaligh, Persendirian, Pertubuhan Agama Bukan Islam di Sabah.

Baru-baru ini, Kerajaan Sabah menyerahkan lebih RM10.789 juta kepada 258 sekolah persendirian Cina dan sekolah mubaligh serta lebih RM17.275 juta kepada 440 pertubuhan agama bukan Islam di negeri ini.

Kami, Umat Islam yang tinggal di Telupid sentiasa menghadapi trauma jika ada saudara mara atau umat Islam yang meninggal di sini kerana tidak ada tanah perkuburan untuk menyemadikan jenazah umat Islam dan terpaksa dikuburkan di Beluran atau Ranau.

Sewajarnya BaitulMal dan Pusat Zakat Nasional melakukan tinjauan keperluan umat Islam di Sabah termasuk prasarana ibadat seperti Surau, Madrasah, Masjid, Kelas Fardu Ain, Sekolah Agama dan sebagainya yang bukan sahaja seperti reban ayam, malah tidak mempunyai guru, imam; berbanding dengan kemudahan yang dinikmati oleh Penganut Agama Kristian yang Gerejanya bukan sahaja ’Mewah’, malah Papantandanya seragam dan mahal.

Walaupun sudah 48 tahun merdeka, tetapi kami Umat Islam yang tinggal di Telupid hanya mendapat sebuah masjid di tapak bekas Lapangan Terbang tetapi tidak mempunyai sekolah agama, tanah kubur dan segala kemudahan asas ibadah yang lain.

Mungkin kesemua Wakil Rakyat kami bukan beragama Islam, maka Umat Islam tertindas di Telupid? Sedangkan di negara Komunis seperti China dan Russia, Islam semakin mendapat tempat dan terbela, inikan pula di Sabah yang walaupun tidak ada agama rasmi, tetapi semua pemimpin BN sedia maklum akan keperluan penganut agama Islam.

Semoga selepas ini, Wakil Rakyat kami tidak lagi temberang di Parlimen dan DUN kerana agama Islam semakin berkembang di pedalaman, seiring dengan kemiskinan yang meranjau rakyat Sabah.

Salam Hormat,

PENUNGGU KUBUR

No comments:

Post a Comment