Tuesday 29 November 2011

MANGSA TERAKHIR FERI KARAM DIJUMPAI


MANGSA kedua dan terakhir tragedi feri karam di Sungai Manis, Lihak-Lihak Semporna, dijumpai pasukan mencari dan menyelamat pada Isnin.

Mayat Mohd Annawawi Nunhati,14, dijumpai kira-kira 8.30 pagi, tiga kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang, oleh pasukan mencari dan menyelamat yang dianggotai Tentera Laut Diraja Malaysia, Pasukan Gerakan Marin dan Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat.

Ketua Polis Daerah Semporna DSP Mohd Azim Abdullah ketika dihubungi berkata jenazah Mohd Annawawi, seorang pelajar tingkatan dua, dihantar ke Hospital Semporna sebelum diserahkan kepada anggota keluarganya untuk urusan pengebumian.

Ibu Mohd Annawawi, berumur 44 tahun, yang turut terkorban dalam tragedi berkenaan dijumpai kira-kira 11.45 pagi semalam.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Nasir Tun Sakaran yang meninjau lokasi kejadian pagi tadi mengucapkan takziah kepada anggota keluarga mangsa dan berharap mereka menerima ujian Allah berkenaan dengan penuh kesabaran.

Beliau yang turut menziarahi keluarga mangsa juga mengucapkan terima kasih kepada semua anggota keselamatan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat sejak kejadian pada Sabtu lalu itu sehingga kesemua mangsa ditemui.

Sementara itu, Nasir yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Senallang berkata kerajaan melalui Pejabat Daerah Semporna akan memulihkan sistem perhubungan darat dari Lihak-Lihak dengan mengadakan feri baru atau lebih dikenali sebagai rakit oleh masyarakat setempat di Sungai Manis bagi menggantikan feri lama yang digunakan sejak dua tahun lalu dan musnah dalam tragedi itu.

Bagaimanapun, beliau berharap penduduk akan lebih berhati-hati dan menggunakan perkhidmatan feri atau rakit berkenaan berasaskan kapasiti rakit tersebut demi keselamatan mereka dan agar kejadian pada Sabtu lalu itu tidak berulang.

Menurut Nasir pembinaan feri baru berkenaan merupakan penyelesaian sementara kepada masalah pengangkutan penduduk Lihak-Lihak sementara menunggu pembinaan jambatan konkrit bernilai RM7 juta menyeberangi Sungai Manis yang dijangka siap pada pertengahan tahun depan.

No comments:

Post a Comment