Sunday 27 November 2011

FLATFROM TARIK ORANG MUDA



MENEPUNG TAWAR….Jamawi diberikan peluang untuk menepung tawar kanak-kanak yang menyertai majlis khatan tersebut.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

EXCO PERGERAKAN Pemuda Umno Malaysia, Jamawi Jaafar menyarankan agar para perwakilan dari Sabah, khususnya anggota Pergerakan Pemuda Umno menjadikan Perhimpunan Agung Umno pada 29 November hingga 3 Disember ini sebagai platform untuk menonjolkan bahawa UMNO benar-benar mesra kepada orang muda.

Menurut beliau, adalah satu kerugian kepada parti kerana perhimpunan yang amat teristimewa itu tidak digunakan sepenuhnya untuk membincang serta merangka apa yang terbaik untuk golongan muda.

“Ini adalah tanggungjawab semua dan kita perlu pastikan adanya satu tarikan dan sebagainya terutama untuk menarik mereka yang bukan ahli parti khususnya untuk bersama dengan kita.

“Isu ini penting kerana seiring dengan komitmen Perdana Menteri sendiri yang kini dilihat mesra orang muda selain tidak mengenepikan pihak-pihak lain,” katanya semasa ditemui selepas menghadiri Majlis Berkhatan Beramai-ramai anjuran Biro Agama Umno Bahagian Tenom yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi.

Lebih seratus orang kanak-kanak menyertai majlis tersebut dan mereka diarak dari Masjid Ar-Rahman, Tenom, menuju ke Hospital Daerah Tenom yang diketuai oleh Raime bersama-sama ibubapa anak-anak yang terlibat.

Jamawi yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno bahagian Tenom berkata demikian ketika diminta mengulas perjalananan Perhimpunan Agung Umno yang akan berlangsung di Dewan Pusat Dagangan Dunia Putra minggu depan.

Umno Sabah dijangka akan menghantar lebih kurang 600 orang perwakilan pada persidangan tahun ini.

BERARAK…Ahli Parlimen Tenom Raime Unggi bersama Jamawi antara kenamaan yang mengetuai majlis perarakan sebelum kanak-kanak tersebut dikhatankan.

BINCANG....Kelihatan Ramie sedang memperkatakan sesuatu kepada Jamawi sebelum majlis tersebut dirasmikan.

Sehubungan itu, beliau mahu perwakilan pemuda mengunakan perhimpunan kali ini, sebaik mungkin untuk manfaat semua, bukan sahaja kepada ahli parti atau Pemuda itu sendiri tetapi untuk anak-anak muda di luar sana.

Dalam perkembangan lain, Jamawi juga meminta anggota pergerakan pemuda dari semua bahagian di negeri ini agar dapat memberikan maklumbalas bagi memperkasakan ekonomi rakyat di negeri ini, khususnya golongan muda.

Katanya, beliau merupakan wakil pergerakan Pemuda Umno Malaysia, yang akan turut membahaskan usul Eknonomi pada perhimpunan kali ini.

“Saya memerlukan maklum balas, pandangan serta cadangan agar usul yang dibahaskan ini lebih menyeluruh sifatnya untuk kepentingan semua rakyat di Sabah khususnya golongan muda,” katanya.

Menurut Jamawi, bagi mereka yang ingin memberikan cadangan idea mereka boleh menghantar Mesej ke Halaman Sosial (FB) beliau dan segala cadangan serta pandangan akan diteliti dan disemak bagi menjadi nilai tambah untuk membahaskan usul ekonomi pada kali ini agar ianya relevan dengan keperluan rakyat khususnya golongan muda di Sabah.

No comments:

Post a Comment