Tuesday 22 November 2011

FELDA TIDAK TIPU SIAPA-SIAPA



Saudara Pengarang,

SAYA ingin merujuk kenyataan Timbalan Pengerusi LDP Silam, Chong Su Vun dalam ruangan Sabahkini.net bertarikh 21 November 2011 bertajuk ’Felda Tipu Masyarakat Tiong Hua’.

Tindakan Chong membuat kenyataan seperti itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali. Seolah-olah beliau langsung tidak tahu cerita sebenar, sedangkan beliau adalah Mantan Ketua Pegawai Perhubungan Ahli Parlimen Silam.

Saya pernah bersama beberapa orang pegawai daripada pejabat Daerah Lahad Datu, Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (SDO-dulunya JPPS) dan FELDA semasa mesyuarat sambutan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Yang saya ingat dan tahu, sebenarnya FELDA hanya memberi sumbangan dalam bentuk wang sahaja untuk pembangunan program Pembasmian Kemiskinan Negeri Sabah (PPRT) kepada Kerajaan Negeri Sabah.

Perlaksanaan Projek dan urusan tapak adalah diuruskan oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah (sekarang dikenali sebagai Pejabat Pembangunan Negeri Sabah) dan Kerajaan Negeri Sabah.

FELDA langsung tidak terlibat dalam pengurusan projek tersebut.

Oleh itu, Chong sewajarnya bertanya dan menuding jari kepada Pejabat Pembangunan Negeri Sabah atau terus kepada Pengarah SDO, Datuk Matusin Sunsang atau Kerajaan Negeri Sabah.

Adalah dinasihatkan supaya Chong jangan cepat mengeluarkan kenyataan yang tidak pasti pokok pangkalnya. Sebagai pemimpin, sepatutnya tanya dahulu pihak yang berkenaan, termasuk FELDA untuk mendapatkan penjelasan. Kalau tidak tahu mahu buat kerja, belajarlah dahulu dan jangan terburu-buru!

Salam Hormat,

BEKAS AHLI LDP,

No comments:

Post a Comment