Wednesday 23 November 2011

JANGAN PANDANG RINGAN ANCAMAN PENGGANAS



PAKATAN pembangkang PKR-DAP-PAS atau lebih dikenali sebagai Pakatan Rakyat tidak sepatutnya memandang ringan ancaman pengganas dengan menyifatkan undang-undang baru, yang bertujuan mencegah keganasan dan kegiatan militan, yang menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai 'wain lama dalam botol baru'.

Pengerusi MCA Sabah, Datuk Edward Khoo berkata beliau kecewa dengan pembangkang yang dengan mudah melupakan bahawa dalam sejarah negara, Malaysia turut berdepan dan terpaksa menangani masalah kegiatan subversif serta pengganas.

"Sebagai penduduk Sabah, saya masih ingat bagaimana terkejut dan sedihnya saya ketika Pulau Sipadan, satu daripada lokasi terbaik dunia untuk menyelam, telah direntap ketenangannya dengan kasar pada 2000, apabila kumpulan Abu Sayyaf dari Filipina secara berani menculik pekerja resort dari Malaysia, penyelam serta pelancong asing," katanya dalam satu kenyataan Selasa.

Beliau berkata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein telah menjelaskan bahawa 13 individu yang ditahan di bawah ISA di Tawau baru-baru ini, ditangkap bersama senjata serta bahan letupan, dan penahanan itu hasil kerjasama antara Malaysia dan Indonesia.

Khoo berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengotakan janjinya untuk mengambil langkah memansuhkan ISA serta mengumumkan bahawa akta itu akan diganti dengan dua undang-undang baru bagi memerangi keganasan.

"Di Amerika sekalipun, banduan yang disyaki mempunyai hubungan dengan Kumpulan Al Qaeda ditahan tanpa dibicarakan, manakala United Kingdom dan Australia turut mempunyai undang-undang antikeganasan mereka sendiri," katanya. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment