Wednesday 30 November 2011

PAU 2011 TERAKHIR SEBAGAI PARTI PEMERINTAH?



Oleh : SUARA PAKATAN RAKYAT

KELMARIN, lebih 5,477 delegasi UMNO dari seluruh negara akan berhimpun di ibu pejabat UMNO, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebagai menandakan bermulanya Perhimpunan Agung UMNO 2011 (PAU 2011) yang dijangka akan berakhir pada 3 Disember nanti.

Dengan proses pemilihan yang ditangguhkan sehingga 2013, penulis tidak menjangkakan banyak perkara yang akan berlaku dalam perhimpunan kali ini melainkan perbincangan tentang isu-isu berkaitan dengan pilihanraya umum yang bakal diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

Pastinya, tumpuan akan lebih terarah kepada Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung tarikh pembubaran parlimen bagi membolehkan pilihanraya umum ke-13 diadakan.

Tapi persoalan yang lebih penting ialah kemampuan UMNO terus menerajui Barisan Nasional (BN) sebagai parti yang menguasai kerajaan persekutuan dalam pilihanraya yang akan datang. Mampukah persidangan kali ini memberi impak kepada perubahan sokongan orang melayu yang sekarang semakin condong ke arah Pakatan Rakyat?

Sudah ada banyak petunjuk yang menunjuk kepada peralihan sokongan itu. Kegagalan UMNO menjelaskan banyak isu, terutama sekali yang berkaitan dengan salah guna kuasa dan penyelewengan yang melibatkan pemimpinnya adalah tunjang kepada semua permasalahan yang menyebabkan peralihan sokongan berlaku.

Antara masalah penyelewengan dan salahguna kuasa yang disebutkan ialah berkaitan dengan National Feedlot Corporation (NFC) dan pengambilan tanah rizab melayu (sekadar menyebut beberapa).

Najib sejak mengambil alih teraju kepimpinan UMNO pada 2009 dilihat terlalu mementingkan kepada isu-isu berkaitan dengan ekonomi global dengan tumpuan terarah kepada meningkatkan pelaburan terus asing (FDI).

Sedangkan dalam masa yang sama, kerajaan gagal untuk memastikan harga barangan berada dalam lingkungan yang mampu dibeli oleh majoriti rakyat yang rata-rata masih berada dibawah garis kemiskinan nasional.

UMNO juga gagal untuk menyaingi usaha kerajaan-kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat untuk mengurangkan beban kehidupan rakyat seperti dalam hal pemberian air percuma di Selangor.

Di samping itu, terlalu banyak ‘gula-gula’ ekonomi diberikan kepada masyarakat melayu luar bandar seperti FELDA dalam soal penyenaraian Felda Global Ventures (FGV), sehinggakan orang Melayu bandar terasa dipinggirkan.

Walaupun penyenaraian itu sendiri mempunyai masalah tersendiri yang sedang dalam perhatian khusus Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) pimpinan Mazlan Aliman, tapi persepsi masyarakat Melayu bandar ialah mereka dipinggirkan dari arus kenikmatan negara dibawah kepimpinan Najib.

Mungkin Najib merasakan pengenalan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan Kedai Ikan Rakyat 1Malaysia (KIR1M) sebagai cubaan terbaik untuk mengurangkan kos kehidupan masyarakat bandar (termasuk orang melayu), tapi tanpa sedar Najib telah memulakan pergeseran dengan kaum cina yang selama ini menguasai bidang peruncitan di negara ini – UMNO gagal melaksanakan janji untuk berlaku adil kepada semua kaum seperti yang sering dicanangkan Perdana Menteri.

Sebenarnya ada banyak isu berkaitan orang melayu dimana UMNO gagal untuk menanganinya dengan baik. Oleh itu tidak terlalu mengejutkan kenapa ramai pihak melihat PAU kali ini adalah yang perhimpunan terakhir UMNO sebagai parti tunjang Barisan Nasional (BN) yang memerintah.

Apa pula kata anda pula?

No comments:

Post a Comment