Saturday 26 November 2011

BAJET SABAH ATASI BAJET NEGERI MAJU


BANTUAN……..Abdul Rahman (dua dari kanan) menyampaikan Bantuan Khas Persekolahan Rm100 kepada salah seorang bapa pelajar sambil disaksikan oleh Abdul Rahman (kanan sekali), Midi (dua dari kiri).

Oleh : ISMAIL MOHD ROSLI

SETIAUSAHA Barisan Nasional Sabah, Datuk Abdul Rahman Datuk Dahlan meminta kepada pihak yang mempertikaikan bajet negeri Sabah yang baru diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Sabah seharusnya melihat bajet itu dari aspek yang lebih meluas.

Abdul Rahman mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman kerana telah meluluskan bajet yang begitu bersejarah sebanyak 4 billion ringgit sekaligus menjawab segala tomahan yang mengatakan negeri Sabah sebuah negeri yang miskin dan mundur.

Menurutnya, bajet 4 billion ringgit untuk tahun hadapan merupakan sejarah dan ianya lebih baik kalau dibandingkan dengan negeri yang dianggap paling maju dan paling kaya di Malaysia iaitu negeri Selangor.

“Negeri Selangor hanya mempunyai bajet tahunan untuk tahun 2012 sebanyak RM1.6 billion ringgit ini menunjukkan bahawa Sabah mempunyai kemampuan yang cukup besar, Bajet RM4 billion negeri Sabah itu jauh lebih besar daripada bajet kerajaan negeri Selangor.

“Begitu juga dengan reserve negeri Sabah yang mencapai lebih daripada 3 billion ringgit tunai dalam akaun kerajaan negeri Sabah, sementara negeri Selangor hanya melebihi sedikit 1 billion ringgit.

“Ini menunjukkan satu jawapan yang cukup kuat dan jelas kepada tohmahan yang mengatakan bahawa pemimpin-pemimpin dan keraajaan Barisan Nasional negeri Sabah boros dan membelanjakan wang ringgit, banyak ketirisan, banyak rasuah dan sebagainya.”

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Khas Persekolahan RM100 Tahun 2012 di SK. Tempasuk I, di Kota Belud, baru-baru ini

Seramai 457 pelajar dari tahun 1 hingga tahun 6 di sekolah itu mendapat Bantuan Khas tersebut daripada pihak kerajaan.

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Kota Belud berkata mana mungkin sebuah kerajaan boleh menyediakan bajet begitu besar jauh lebih besar daripada bajet negeri Selangor dan jauh lebih besar daripada bajet Pahang yang hanya mempunyai bajet 600 juta ringgit jika pemimpin-pemimpin negeri Sabah rasuah, ketirisan yang tidak terurus dan salahguna kuasa.

Beliau amat yakin jawapan kepada segala tohmahan pembangkang terhadap pemimpin-pemimpin kerajaan negeri Sabah dapat dijawap sekaligus oleh bajet yang begitu besar dan juga dengan pengiktirafan tertinggi daripada Ketua Audit Negara yang telah memuji pengurusan kewangan kerajaan negeri Sabah tiga tahun berturut-turut.

“Ini juga adalah jawapan yang cukup jelas dan tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapapun, mana mungkin sebuah kerajaan dapat diurus dengan begitu baik kalau laporan Ketua Audit Negara telah memberikan pengiktirafan yang tertinggi kepada kerajaan negeri Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

“Saya percaya kejayaan demi kejayaan akan dapat dikecapi di tahun-tahun akan datang dibawah pemerintahan BN negeri Sabah,” tambahnya lagi.

No comments:

Post a Comment