Thursday 24 November 2011

RAKYAT PENSIANGAN BUKAN FAKIR MISKIN


Oleh : ROZIE JUMAT

RAKYAT di kawasan Sook dan Pensiangan tidak memerlukan ‘pemain import’ kerana generasi di kawasan ini mempunyai pelapis pemimpin yang berkaliber.

AJK Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) N.37 Sook, Edwin Laimin berkata, kenyataan Hisammudin, Yang Dipertua PAS Pensiangan boleh diibaratkan sebagai satu penghinaan kepada generasi masyarakat Sook dan Pensiangan yang seolah-olah memerlukan seseorang ‘pemain import’ sedangkan generasi Sook mempunyai pelapis pemimpin yang berkaliber yang dibimbing oleh pemimpin di kawasan itu melalui PBRS-BN.

“Kita minta manifesto dia pula minta laluan walau sehari memerintah kawasan Sook/Pensiangan, ia sangat kedengaran seperti ‘terdesak’ untuk mahu berkuasa,” kata Edwin dalam satu kenyataan balas kepada Ketua Pas Pensiangan, Hishamuddin Sulaiman.

Edwin yang juga Ketua Pemuda PBRS Cawangan Kg.Sinua, Mukim Lanas berkata, PAS seolah-olah kehilangan idea, perancangan atau sememangnya ketiadaan kebijaksanaan serta kebolehan urus tadbir Sook dan Pensiangan akibat kegagalan mengeluarkan manifesto pilihanraya dan memang sengaja menggunakan agenda pembangunan material serta modal insan sebagai senjata, yang sememangnya diberiperhatian dan keutamaan BN.

“KDM tidak dapat menerima PAS dan Agama sebagai satu landasan pentadbiran di dalam masyarakat KDM. Tapi saya cabar sekali lagi keluarkan manifesto anda,” ujar Edwin.

Katanya, Sook mahupun Pensiangan tidak memerlukan pemain import, Kita mahu pemimpin KDM yang akan memimpin masyarakat KDM itu sendiri yang lebih memahami asal usul serta adat resam KDM.

“Kami mahu pemimpin yang memahami keperitan dan masalah rakyat dan hadir menyelesaikan masalah rakyat bukannya yang hanya tahu menghina masyarakat kami sebagai ’Fakir Miskin’ jahil dan sebagainya lalu membawa sumbangan beras sekampit meriuhkan sekampung.

Kata Edwin, niat biarlah ikhlas untuk memberi sumbangan, bukannya menghina kemiskinan dengan menggelar penerima sumbangan itu sebagai fakir miskin.

“Pembangkang boleh menjanjikan bulan dan bintang, tetapi mampukah mereka memberikannya? Keinginan mereka untuk berkuasa sangat tinggi hingga sanggup meminta laluan walau sehari.”

Seorang pemimpin yang baik, kata Edwin, seorang pemimpin yang sabar dalam perjuangannya. Tetapi bukanlah sesuatu yang pelik kata Edwin, Pas boleh dikatakan masih bayi di Sook/Pensiangan, berbanding dengan apa yang telah dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) melalui Parti Bersatu Rakyat Sabah(PBRS).

Oleh itu kata Edwin, PAS tidak perlu memutarbelitkan fakta mengenai dengan kebolehan PBRS mengurustadbir Sook dan Pensiangan, kerana telah terbukti PBRS-BN mengotakan manifesto pilihanraya musim lalu dan tidak dinafikan walaupun ada keterlewatan perlaksanaan mungkin akibat daripada logistiknya namun menampakkan kearah yang positif.

Sebagai contoh kata Edwin, pada tahun 2010, Ahli Parlimen Pensiangan mengumumkan sebuah Masjid untuk daerah Kecil Sook akan dibina.

“Pada pertenghan tahun ini kita sudah nampak Masjid Sook sedang giat dibina dan dijangka siap hujung tahun ini. Ini menunjukkan YB Ahli Parlimen Pensiangan prihatin dengan agama Islam di Sook dan tidak seperti yang digambarkan oleh pihak PAS,” ujar Edwin.

Malahan kata Edwin, Presiden PAS sendiri pernah melawat tapak cadangan pembinaan sebuah gereja di sebuah kampung di daerah Sook dan berjanji untuk mendirikan sebuah gereja untuk kegunaan masyarakat beribadat namun sehingga kini penduduk kampung yang dijanjikan masih menantikan bilakah janji itu dikotakan.

“Saya bukan pengampu pemimpin, saya bukan pengampu ketua seperti yang dikatakan oleh Hisammudin, saya cuma menyedari yang kehadiran PAS di Sinua dan amnya Sook Pensiangan mempunyai agenda politik peribadi dan melaga-lagakan rakyat demi untuk kepentingan agenda politik mereka.

Namun kata Edwin, terserah kepada PAS atau mana-mana pembangkang dari luar untuk turun gelanggang apabila tiba masanya.

“Kami genarasi baru di Sook dan Pensiangan sudah faham dan mampu melihat senario apakah yang seharusnya dilakukan oleh kerajaan pimpinan BN dan kami masih percaya bahawa PBRS dan BN masih releven dan mampu membela nasib rakyat di Sook dan Pensiangan,” kata Edwin.

No comments:

Post a Comment