Friday, 25 November 2011

BIL PERHIMPUNAN AMAN TAK AKAN DIMANSUH



Oleh : HAZLAN ZAKARIA

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata kerajaan tidak akan melayan tuntutan supaya Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 ditarik balik.

Ditanya oleh wartawan sama ada beliau sedia mempertimbangkan desakan dan rayuan daripada pelbagai pihak yang mahu rang undang-undang itu dikaji semula dan dipinda, Hishamuddin berkata beliau tidak bersetuju.

"Tidak," katanya sambil berkata adalah terlalu awal bagi pembangkang membuat desakan menentang rang undang-undang itu sedangkan ia belum dibahaskan di parlimen.

Selasa lalu, rang undang-undang itu buat pertama kalinya dibacakan di Dewan Rakyat.

Hishamuddin yang juga naib presiden Umno, mendakawa pembangkang menggunakan isu itu demi kepentingan politik mereka.

Beliau juga menafikan rang undang-undang yang akan dibahas petang ini bertujuan menyekat orang ramai daripada berhimpun dan memberi kuasa yang lebih kepada pihak polis.

Sementara itu, Bernama melaporkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata rang undang-undang Perhimpunan Aman 2011 yang dibentangkan di Dewan Rakyat dua hari lalu perlu mendapat sokongan daripada semua ahli parlimen kerana ia akan mengelak berlakunya demonstrasi jalanan.

Katanya, langkah kerajaan memperkenalkan undang-undang itu menunjukkan kesediaan pimpinan kerajaan BN untuk memberi ruang lebih luas kepada rakyat untuk menyuarakan pendapat tanpa ada sekatan dan halangan tetapi dalam keadaan terkawal.

"Ini sepatut dilihat sebagai perkembangan proses transformasi politik yang lebih besar,” katanya kepada pemberita.

Menurut Muhyiddin, jika pembangkang tidak menyokong dan tidak berpuas hati dengan undang-undang baru itu, ia mungkin diandaikan mereka melihat ia sebagai sekatan dan halangan untuk mereka.

"Ada perlakuan mereka tidak disenangi rakyat seperti demonstrasi jalanan. Dengan rang undang-undang baru ini, demonstrasi jalanan tidak dibenarkan. Kalau nak suarakan, (mestilah) ikut peraturan... ini sudah disediakan ruang lebih luas untuk rakyat suarakan pandangan,” katanya. (MKINI)

No comments:

Post a Comment