Wednesday, 23 November 2011

FSM ANGGAP BAJET SABAH 2012 REALISTIK



PERSEKUTUAN Pengeluar Sabah (FSM) menyifatkan bajet negeri 2012 amat realistik dan prihatin terhadap keperluan setiap sektor.

Presidennya, Datuk Seri Wong Khen Thau berkata bajet berjumlah RM4 bilion itu, terbesar pernah dibentangkan di Sabah, adalah belanjawan yang baik yang akan menjaga kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri.

"Pertama, ia disasarkan dapat melonjakkan negeri ke arah mencapai agenda pembangunan negara ekonomi berpendapatan tinggi US$15,000 per kapita menjelang 2020.

"Kedua, ia bertujuan melindungi negeri ini daripada kesan buruk yang berpunca daripada kegawatan ekonomi global, terutamanya di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah. Malaysia, sebagai negara perdagangan, tidak boleh melarikan diri daripada kesan krisis kewangan global.

"Apabila ini berlaku, banyak wang akan diperlukan untuk merangsang ekonomi. Oleh itu, kita lihat peruntukan bajet yang besar sebagai strategi yang bijak oleh kerajaan untuk berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi dengan mengukuhkan ekonomi sendiri," kata Wong pada sidang akhbar di sini Selasa.

Beliau juga berkata Sabah memerlukan belanjawan pembangunan yang besar untuk seiring dengan negeri-negeri lain di Semenanjung.

"Kami percaya peruntukan bajet negeri perlu meningkat dalam beberapa tahun akan datang selaras dengan aspirasi negara untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif seperti Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi dan Model Baru Ekonomi.

"Dalam hal ini, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah akan berkembang pada kadar yang lebih pantas berbanding KDNK negara.

"Mudah-mudahan, kita boleh mencapai pertumbuhan yang lebih baik daripada angka unjuran antara 4.5 peratus dan lima peratus," katanya.

Wong berkata cadangan Bajet 2012 berjumlah RM4,048.28 juta berbanding hasil sebanyak RM3,690.53 juta.

"Defisit sedikit ini tidak membimbangkan kerana hasil sebenar negeri bagi 2012 berkemungkinan akan lebih banyak daripada apa yang diramalkan dalam bajet, terutamanya dengan harga semasa yang baik bagi minyak sawit dan getah asli.

"Dana negeri berada dalam kedudukan yang baik dengan lebihan sebanyak RM730 juta tahun lepas," katanya, sambil menambah bahawa kerajaan telah mengurus kewangannya dengan baik. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment