Wednesday 16 November 2011

AKADEMIK PENANDA ARAS KECEMERLANGAN




TAHNIAH…..Jamawi ketika menyampaikan Sijil Malaysia Book Of Record kepada Pengetua SMK Entabuan Sintarajoo a/l Sivasingham setelah pelajar sekolah tersebut mencipta rekod untuk Tarian Magunatip terpanjang di Malaysia.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

KEHADIRAN lebih dari 4,000 orang ibubapa ke majlis sambutan Sedekad (10 Tahun) SMK Entubuan baru-baru ini membuktikan semangat kerjasama serta sokongan mereka terhadap setiap program yang dianjurkan oleh pihak sekolah, berjaya mencapai matlamatnya

Bersandarkan kepada semangat berkerja berpasukan inilah telah meletakkan SMK Entabuan antara sekolah di daerah Tenom yang berjaya meletakkan kecemerlangan sekolah tersebut pada tahap yang memberangsangkan dengan pelbagai pencapaian baik dalam bidang kurikulm dan ko kurikulum.

Majlis yang dirasmikan oleh Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Jamawi Jaafar itu turut diserikan dengan penampilan beberapa orang artis tempatan antara Adam AF, Ebby AF, Abu Bakar Elah serta artis tempatan yang lain.

Berucap merasmikan majlis tersebut, Jamawi yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tenom mahukan agar pihak sekolah di daerah ini disarankan agar mewujudkan sistem pengawalan pelaksanaan kurikulum yang berkesan, selari dengan keperluan Dasar Pendidikan Negara.

Katanya, kejayaan sesebuah organisasi pendidikan diukur berdasarkan kecemerlangan pencapaian akademik untuk menghasilkan kemajuan para pelajar.

"Pada masa sama pegawai dan kakitangan sokongan turut memberikan sumbangan idea secara kreatif serta inovatif sesuai dengan profesionalisme masing-masing dalam usaha mencemerlangkan pencapaian akademik sekolah yang terlibat,'' katanya ketika berucap merasmikan sambutan ‘Sedekad SMK Entabuan’ di Tenom, malam kelmarin.

Hadir sama di majlis tersebut Pegawai Pelajaran Daerah Tenom, Ajmal Haji Jumah, Pengetua SMK Entabuan Sintarajoo a/l Sivasingham dan Ketua Daerah OKK David Jani.

Menurut Jamawi lagi, para guru juga perlu kreatif dan inovatif dalam memastikan 'lompang pendidikan' yang disebabkan pelbagai faktor dapat ditangani sekali gus mencapai visi sekolah masing-masing.

Katanya, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam pentadbiran kerajaan adalah amalan penting pengurusan prestasi bagi menilai dan mengukur sasaran yang ditetapkan sesuatu organisasi secara objektif.

Jelasnya, ia secara langsung membolehkan rakyat khususnya ibubapa pelajar dapat menilai perkhidmatan secara menyeluruh daripada aspek kuantitatif dan kualitatif.

Katanya, langkah kerajaan memperkenalkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) memberi kelebihan dalam meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan.

Justeru, beliau meminta para pendidik berusaha menggembleng tenaga bagi mewujudkan perkhidmatan pendidikan yang adil, cekap dan cemerlang.

Selain itu beliau juga turut meminta pihak sekolah, pelajar dan ibubapa agar membudayakan konsep berkerja berpasukan bagi mempastikan tahap kecermalangan sekolah dan juga kecemerlangan akademik pelajar dapat diperkasakan.

Sambil memuji usaha yang dilakukan oleh SMK Entabuan menganjurkan majlis sambutan sedekad iaitu selama 10 tahun sekolah tersebut diwujudkan, beliau berharap kerjasama berterusan antara pihak sekolah persatuan ibubapa guru dan ibubapa perlu diteruskan kerana dalam tempoh 10 tahun lalu, pelbagai kejayaan telah dicapai dan perlu terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

No comments:

Post a Comment