Sunday 13 November 2011

ANJAKAN PARADIGMA DI SMK ENTABUAN



SUMPIT….Raimie melakukan sumpitan sebagai simbolik perasmian.

Oleh : MOHD ZAKI EMPIN @ MOZE

AHLI PARLIMEN Malaysia (Tenom), Datuk Raimie Unggi menyifatkan usaha Sekolah Menengah Kerajaan Entabuan (SMKE) menganjur Tarian Mangunatip Terpanjang sejauh 120 meter sempena dengan ulang tahun kali ke-10 penubuhan sekolah tersebut, merupakan satu anjakan paradigma dari aspek pendidikan, khususnya ko-kurikulum kerana pencapaian yang di luar dugaan.

Katanya, pencapaian tersebut bukannya suatu perkara mudah, sebaliknya ia memerlukan kecekalan dan ketekunan di pihak warga pendidik yang membimbingnya, sehingga mencapai kejayaan kerana Raimie tidak ragu-ragu menyatakan bahawa pencapaian itu boleh dimasukkan ke dalam ‘Malaysian Book of Record’.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan perayaan ‘Sedekad 10’ atau ulang tahun kewujudan SMKE ke-10, kira-kira 5 kilometer dari pekan Tenom Jumaat lalu, yang turut dihadiri Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Ajmal Haji Jumah; Penolong Pegawai Daerah Clarence Puin Pinduruh; Pegawai Penerangan Pedalaman Arthur Teng; Pengerusi PIBG Steven Jimin; para ibubapa ibubapa dan para pemimpin masyarakat tempatan.

Tegasnya, kecemerlangan pendidikan SMKE dalam tempoh 10 tahun diwujudkan tidak dapat dinafikan khususnya dalam bidang ko-kurikulum kerana sekolah tersebut pernah melahirkan atlet dalam acara Silambam dan pernah melakar sejarah kecemerlangannya di peringkat Kebangsaan.

Raimie menegaskan, seperti yang diketahui umum bahawa sekolah merupakan wadah penyampai ilmu kepada masyarakat untuk mencapai kemajuan dalam hidup kerana pendidikan adalah sebahagian daripada agenda penting negara, khususnya dalam usaha menjana pembangunan, meningkatkan mertabat dan maruah Negara.

CUBA…..Raimie turut mencuba melakukan tarian Magunatip.

TERPANJANG…..Tarian Magunatip sepanjang 120 meter layak dimasukkan dalam Malaysia Book of Record.

Tambahnya, untuk merealisasikan objektif tersebut, sewajarnyalah warga sekolah bergerak cergas dalam mengikuti perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi demi untuk melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu yang boleh mendatangkan menfaat kepada diri, bangsa, agama dan negara.

Justeru, Raimie menegaskan bahawa kepimpinan SMKE pasti silih berganti namun yang penting SMKE terus meraih kemajuan pembelajarannya dari masa ke semasa yang membanggakan pada setiap tahun.

Dalam pada itu, Raimie turut mengingatkan para pelajar khususnya ibubapa bahawa kerajaan dalam laporan Bajet 2012, para pelajar tidak ketinggalan akan mendapat bayaran RM100 setiap pelajar dalam usaha kerajaan melahirkan modal insan yang terbaik.

Beliau menambah, melihat kepada kepesatan pelajar dalam pencapaian pendidikan di peringkat SPM tetapi mengalami kekurangan untuk menduduki kelas STPM kerana setakat ini hanya dua sekolah menengah yang mempunyai Tingkatan 6 iaitu SMK Tenom dan SMK Kemabong, adalah wajar pihak Kementerian Pelajaran Malaysia menimbangkan penambahan tersebut khusus di Tenom.

Tarian Magunatip sepanjang 120 meter, dikendalikan 250 orang penggerak batang buluh, 250 orang penari terdiri daripada pelajar pelajar SMKE di bawah bimbingan Pengetuanya Suntharajoo A/L Rengasamy telah menjalankan latihan kira-kira sebulan yang lalu.

Ini merupakan satu lagi sejarah yang boleh dicatatkan di dalam ‘Malaysian Book of Record’ kerana julung kali berlaku setakat ini. Sebelum itu sebuah sekolah di Sandakan hanya mencapai 77 meter panjangnya, manakala Kota Marudu hanya mencatat masa selama 48 jam menggayakan tarian tersebut tanpa henti.

No comments:

Post a Comment