Tuesday 8 November 2011

BURUH MDLD BERLAGAK PEGAWAI?



Saudara Pengarang,

SAYA tujukan surat terbuka ini kepada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Haji Hajiji Bin Haji Noor kerana saya sangat berdukacita dengan sikap pegawai-pegawai kanan Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD), terutama pegawai Perjawatan yang pilih kasih dan nepotisme.

Apabila saya dan orang awam yang lain memohon kerja atau bertanyakan jawatan kosong, mereka pasti jawab tiada jawatan kosong. Saya sendiri pernah menghantar borang permohonan kerja untuk anak saya, tetapi tidak dilayan atau dijawab, malah borang tersebut disimpan seperti azimat.

Pada tahun ini pula tiba-tiba anak-anak dan ahli keluarga mereka pula telah melapor diri bekerja dengan MDLD sekalipun jawatan buruh. Anak saya juga memohon jawatan buruh tetapi tidak dapat, tetapi apabila anak mereka memohon terus dapat dan semua bertugas di pejabat sedangkan jawatan mereka hanyalah buruh.

Yang menghairankan saya sampai ada ibubapa pekerja yang baru dilantik mengamuk dan memaki hamun Pegawai Kanan MDLD di Bahagian Operasi apabila beliau mengarahkan anak kakitangan yang baru bertugas itu bertugas di luar selama satu bulan.

Senario pentadbiran MDLD sudah berubah kerana pekerja bawahan mengarah pegawai untuk menempatkan anak mereka di pejabat sedangkan jawatan mereka adalah buruh. Jika tidak dituruti, terus mengugut pegawai kanan berkenaan sehingga pegawai kanan tertentu terus membuat laporan polis.

Yang amat saya kesali, pekerja bary yang dilantik ini terdiri daripada anak kakitangan MDLD juga tidak ada pun kerja dibuat, malah melepak di pejabat, menghadap computer bermain game atau melayari facebook dan internet serta merokok di luar pejabat; tetapi setiap hujung bulan mereka mendapat gaji tanpa penat lelah.

Apabila ditegur oleh Pegawai Kanan Operasi, mereka tidak peduli, malah berlaku kurang ajar dan melawan. Pegawai Eksekutif MDLD pula tidak berani mengambil tindakan keran takut dengan ibubapa pekerja baru itu yang merupakan kakitangan MDLD juga.

Baru-baru ini terjadi pergaduhan gara-gara penempatan anak-anak kakitangan itu di luar pejabat, tetapi Pegawai Eksekutif tidak memanggil kakitangan berkenaan, malah berbaik-baik pula sehingga Pegawai Kanan operasi yang menjadi mangsa rungutan dan kebencian mereka.

Selama Kusnadi bertukar ke Beaufort, penggunaan kenderaan MDLD juga tidak terkawal. Sebelum ini hanya pegawai yang layak sahaja boleh menggunakan kenderaan MDLD dan pemandu yang dilantik atau kakitangan yang diberi kebenaran sahaja boleh memandu kenderaan tersebut.

Tetapi sekarang ini buruh pun boleh memandu kenderaan MDLD seperti Waja tanpa menggunakan buku log dan kunci tidak dikembalikan. Tidak ada tindakan diambil terhadap buruh tersebut yang selama mendapat pembelaan Pegawai Eksekutif dan Ketua Kerani MDLD; sekalipun buruh berkenaan berlagak pegawai.

Saya juga termasuk dalam golongan kakitangan yang dibenci sudah hampir lebih 20 tahun tetapi tidak pernah dihargai malah sentiasa dicari kesalahan saya. Tetapi jika buruh yang ada di dalam Bilik Fail itu pula mendapat perhatian sepenuhnya sehingga kenderaan pun boleh dipandu sesuka-suka hati tanpa tujuan rasmi.

Baru-baru ini Pegawai Kanan di Bahagian Pentadbiran telah dibunuh dan yang paling saya sedih, baru sahaja jenazah arwah Ali Jamal dikebumikan pagi itu, terus buruh berkenaan kemas semua barang-barang peribadi arwah yang ada di dalam bilik. Kenapa tidak tunggu sampau 3 atau 7 hari arwah disemadikan baru dikemas.

Balik sahaja dari kuburan, Pegawai Eksekutif terus mengarah buruh mengemas bilik arwah seolah-olah tidak langsung berperikemanusiaan dan tidak berhati perut. Mungkin mereka menganggap arwah sebagai sampah sarap yang bertimbun di Lahad Datu, terus dibuang begitu sahaja. Mana tidaknya, barang-barang arwah dikemas dan terus diserahkan kepada keluarga arwah pada petang hari arwah dikebumikan.

Saya juga kesal dengan sikap Pegawai Eksekutif MDLD kerana apabila orang luar memohon lesen perniagaan di MDLD akan dijawab oleh Pegawai Eksekutif akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Lesen; tetapi jika keluarganya sendiri yang memohon terus sahaja diluluskan tanpa dibawa ke mesyuarat jawatankuasa lesen.

Sejak bertugas sebagai Pegawai Eksekutif MDLD, Bandar Lahad Datu yang agak terurus sebelum ini telah menjadikan seperti Bandar Bungao, Tawi-Tawi Filipina kerana semua tempat digunakan terutama ketika musim perayaan sehingga tidak ada tempat meletak atau laluan kereta.

Sejak lima bulan lalu, MDLD sudah menjadi Majlis Keluarga kerana mereka yang mempunyai anak, mertua, menantu, adik beradik dan anak buah bekerja di bawah satu jabatan. Apa-apa perkara atau tugasan tidak dibuat oleh anak-anak dan menantu mereka tidak diambil peduli, tetapi apabila kami yang tiadak kaitan ini tidak buat kerja atas sebab tertentu, kami terus dipinggirkan dan dibenci.

Sekalipun kami pekerja lama, namun tidak pernah dihargai. Tetapi dengan kedatangan buruh baru yang merupakan anak kakitangan tetapi malas bekerja malah menjadi ‘Boss’ tanpa potfolio atau melantik diri mereka sendiri, tidak ada sebarang tindakan diambil.

Lebih memalukan ada buruh yang mengaku mereka mendapatkan jawatan ‘makan gaji buta tersebut’ dengan merasuah RM500 kepada Stephen Sunduk yang kononnya akan menyerahkan wang tersebut kepada Setiausaha Tetap kerana kedudukan Stephen Sunduk sebagai anak saudara Setiausaha Tetap KKTP.

Stephen juga memberitahu saya bahawa beliau boleh mengaturkan perjawatan di KKTP dengan kos perkhidmatan RM500.

Sehubungan itu, saya berharap agar Datuk Hajiji campurtangan dalam menyelesaikan masalah perjawatan di MDLD kerana perlantikan buruh sudah melebih keperluan disebabkan mereka tidak menjalankan sebarang kerja yang produktif sejak lima bulan lalu, sehingga membazir dana awam dan menjatuhkan imej MDLD sebagai pihak berkuasa tempatan yang berintegriti sebelum ini.

Salam Hormat,

MANGSA BIROKRASI MDLD

No comments:

Post a Comment